Kecoh 1 Malaysia dengan ceritera "firaun kecil" terbitan MP Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menjadi pencetus ketegangan dalam Pakatan Rakyat semenjak dua menjak ini.
MP KBB itu tak menyatakan secara khusus siapa sebenarnya "firaun kecil" yang dimaksudkan, tetapi pemuda Umno melalui ketua penerangannya Reezal Merican, meminjam kalimah itu untuk dipadankan dengan KM Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Anugerah ini adalah pengiktirafan pemuda Umno kepada LGE kerana jasanya membatalkan perarakan Maulidur Rasul yang sudah sinonim dengan masyarakat Islam di negara ini, dan juga kerana arahan tidak mengizinkan pelawat sebiadap Ibrahim Ali dan pemuda Umno yang berselindung di sebalik NGO melayu merempuh masuk ke pejabatnya seperti yang berlaku baru-baru ini.
Kalau aspek itu yang diambil kira oleh Reezal Merican, gelaran "firaun kecil" sudah seharusnya dianugerahkan juga kepada Adnan Yaakob (MB Pahang), Isa sabu (MB Perlis) dan Ghani Othman (MB Johor) yang sehaluan dengan LGE untuk tidak menganjurkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul.
Cumanya ketiga-tiga 'firaun kecil" tidak pula mengeluarkan arahan melarang pelawat ke pejabat mereka kerana ketiga-tiganya tidak pernah berhadapan dengan demonstran yang sebiadap pemuda-pemuda Umno yang macam "monyet" seperti yang terjadi kepada LGE.
Sekiranya insiden demonstran merempuh masuk pejabat pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini dijadikan iktibar, tindakan LGE itu selayaknya dicontohi MB dan KM di negeri-negeri lain termasuk PM di Putrajaya itu sendiri kerana pihak keselamatan kini dilihat gagal bertindak menghalang mereka yang berdemontrasi secara emosi.
Jika kita imbau kembali zaman kegemilangan reformasi seketika dulu, pihak keselamatan (polis) dilihat cukup bertenaga dan meyakinkan apabila berhadapan dengan jumlah demonstran yang besar, tapi apa yang berlaku sekarang ini, polis seolah-olah tak ada kudrat dan ketakutan bila berdepan dengan pemuda Umno yang sangat kecil bilangannya.
Apa yang dah jadi dengan pasukan keselamatan negara (polis) yang diketuai mantan Ketua Pemudi Umno itu? Apakah polis juga dah jadi 'sikit lembut' seperti mana sifat menteri yang bertanggungjawab ke atas mereka?
Mengapa polis mengizinkan pemuda Umno dan NGO melayu itu bermaharajalela seolah-olah merelakan perlakuan biadap dan tak bertamadun mereka yang kononnya berhimpun secara aman itu?
Mengikut rekod, sejak tumbangnya Umno dan BN di lima buah negeri dalam PRU 12 yang lalu, pemuda Umno dan NGO-NGO yang berasaskan bangsa melayu di kelima-lima negeri itu aktif berdemontrasi dengan beragendakan isu-isu perkauman hingga ada ketikanya tergamak menghina penganut agama lain dalam keghairahan mereka berdemontrasi.
Malangnya, tak ada satu pun demontrasi itu berakhir dengan tembakan gas pemedih mata dan siraman air asid ataupun tangkapan ke atas penganjur demontrasi walaupun secara terang-terang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Malah, ada kalanya demonstran berpeluang menegakkan 'benang basah' dan membetulkan niat yang terpesong kepada menteri 'sikit lembut' itu.
Berbeza sekali dengan demontrasi aman anjuran Pakatan Rakyat yang tidak langsung menyentuh sensitiviti kaum di negara ini kerana disertai kesemua kaum utama tapi selalunya berkesudahan dengan pesta mandian air asid dan tembakan beratus-ratus das gas pemedih mata termasuk tangkapan ke atas peserta dan penganjur demontrasi.
Jika ini diambil kira, amatlah tepat tindakan LGE melarang pelawat yang tak diundang menjejakkan kaki ke pejabatnya memandangkan pasukan keselamatan yang diketuai menteri 'sikit lembut' dah tak mampu lagi mengawal para demonstran yang beremosi dan biadap seperti Ibrahim Ali dan pemuda-pemuda Umno yang berselindung di sebalik NGO-NGO melayu.
Molek sangat tindakan LGE itu dicontohi semua MB, KM dan PM itu sendiri selagi wujudnya demonstran-demonstran yang bertunjangkan assobiyah dan semangat perkauman yang terbukti mengancam keselamatan negara dan perpaduan kaum di Malaysia yang tercinta ini.