https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 5 Mac 2012

Masalah banjir di Yan diatasi


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEitQ2WVNfK7UkpbaxNjugEWG2eOWOVK8CxZ6kODcQStum2zbVsfe1nHpBDdH8OMC_D30Af5mR5fFh5sKHjXjNGqQPF-v4Yt8kXjyO5xZ0rpurbW8GYG4hySQy_U-yLCHl909CAnbKqSWo_s/s1600/Lumrah+1.jpg
YAN - Peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Pusat bertujuan untuk mendalam, meluaskan serta menyediakan ban banjir dari Sungai Kepala Bukit hingga ke Sungai Udang, di sini.

Pegawai Khas Kepada Menteri Besar, Muzaini Azizan berkata, masalah banjir sering berlaku di Daerah Yan sejak 50 tahun lalu.

"Dengan adanya peruntukan itu, ia secara tidak langsung dapat mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Daerah Yan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri terus memberikan penekanan dalam usaha membangunkan Daerah Yan dengan menyediakan peruntukan bagi kemudahan infrastruktur yang lengkap untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu disediakan untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik serta keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, YAB. Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak.

Muzaini berkata, Kerajaan Negeri tetap berusaha untuk membangunkan negeri Kedah dan ia diharap dapat menarik lebih ramai pelabur datang ke negeri ini.

"Pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil dapat menampung seramai 10,000 pelajar yang menawarkan 40 kursus di situ," jelasnya.

Beliau memberitahu, Kerajaan Negeri juga turut menyampaikan sumbangan dan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan seperti anak yatim dan fakir miskin.

"Sumbangan dan bantuan yang diberikan itu, diharap mampu meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan," katanya.

Tambahnya, pendapatan daripada hasil balak juga turut menyumbang kepada sektor ekonomi negeri.

Khamis, 23 Februari 2012

'Tarik balik logo 1Malaysia pada tiga barang kawalan'

MOHD-FIRDAUS

BUKIT BESAR - Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menarik balik penggunaan logo 1Malaysia pada tiga barang kawalan iaitu gula, tepung dan minyak masak yang dijangka akan berkuat kuasa pada Mac hadapan.

Mohd Firdaus berkata, beliau mendesak kementerian berkenaan menarik balik arahan yang dikeluarkan melalui satu kenyataan Timbalan Menterinya bahawa pengusaha tiga barangan kawalan itu diwajibkan memaparkan logo 1Malaysia pada pakej produk yang dijual mulai bulan ini, jika mereka mahu terus menikmati subsidi kerajaan.

Menurutnya, desakan itu dibuat kerana memikirkan tentang nasib pengilang tiga barangan terbabit yang terpaksa menanggung kerugian akibat arahan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa itu.

"Saya sudah menghubungi pengilang yang membekalkan bahan terbabit, mereka memberitahu pada saya, sebenarnya kalau nak (guna logo 1Malaysia) pada bulan Mac, kami (pengilang) kena membungkus pada Ogos (2011). Kalau nak bulan Mac kena beritahu (arahan kuat kuasa) pada Jun (2011).

"Pengilang nak cetak bungkusan plastik (untuk logo 1Malaysia pada paparan produk), tapi kalau nak (guna logo 1Malaysia) pada Mac, gula dijual untuk bulan Mac sudah ada dalam pasaran," katanya ketika ditemui di Pertandingan Memancing Sungai Sala, di sini.

Mohd Firdaus berkata, apabila tiga barangan berkenaan yang difahamkan oleh pengilang sudah berada di dalam pasaran untuk Mac ini iaitu sudah ada dalam stok pemborong, beliau bimbang sekiranya pemborong akan menghentikan edaran gula dalam pasaran kerana tidak memaparkan logo 1Malaysia.

Menurutnya, tiga barang kawalan itu berkemungkinan akan berkurangan ataupun tidak ada di dalam pasaran pada Mac ini kerana tidak memaparkan logo 1Malaysia. [Sinar Harian]

Khamis, 16 Februari 2012

Cukuplah dengan pengalaman logo halal

Kerajaan Umno/BN semakin dilihat hilang kewarasan dalam mentadbir Malaysia dengan mula bertindak yang 'bukan-bukan'.

Bermula dengan mengubal undang-undang yang menekan rakyat sehinggalah kepada kenyataan yang boleh menimbulkan huru-hara. Itu belum lagi diambil kira dengan perlaksanaan undang-undang yang hanya mengikut 'sedap tekak'.

Yang terbaru apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe mengeluarkan kenyataan bahawa pengusaha tiga barangan kawalan - tepung, gula dan minyak masak - diwajibkan memaparkan logo 1Malaysia pada pakej produk-produk yang dijual bermula bulan ini, jika mereka mahu terus menikmati subsidi kerajaan.

Berapa banyak pengilang-pengilang yang akan terlibat di dalam perlaksanaan ini dengan mengambil kira kos yang perlu mereka tanggung dek kerana arahan yang dilihat tergesa-gesa, walaupun beliau menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan bagi memberi pengeluar lebih banyak masa untuk mematuhi peraturan tersebut.

Apa jaminan kerajaan terhadap tempoh penangguhan sedangkan sudah pastinya para pengilang sudah pun menyimpan stok 'label' produk mereka dalam tempoh yang panjang. Mahukah kerajaan menanggung segala kerugian mereka hanya kerana tiada logo 1Malaysia?

Perlaksaaan ini juga boleh menyebabkan timbulnya masalah birokrasi memandangkan track record kerajaan yang sememangnya terkenal dengan masalah ini. Cukuplah logo 'Halal' sebagai contoh. Jadi apakah kerajaan boleh 'mendabik dada' dalam memastikan perlaksanaan ini akan berjalan dengan adil?

Barang-barang yang diwartakan pula semuanya barang kawalan yang sepatutnya rakyat menikmatinya dengan harga yang murah namun ianya menimbulkan tanda tanya mengapa ianya mesti bersyarat?

Bagaimana kalau pucuk pimpinan bertukar seperti mana Islam Hadhari ditukar kepada 1Malaysia. Bukankah ini akan menimbulkan masalah yang lain kerana umumnya tahu bagaimana dengan perangai pimpinan Umno/BN yang 'rajin' menukar tagline mengikut citarasa tersendiri.

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS) menasihati kerajaan, janganlah cuba untuk menjadi ibarat 'berhala moden' yang perlu 'disembah' untuk mendapatkan sesuatu akan tetapi jadilah sebuah kerajaan yang sepatutnya sudah matang sekiranya 57 tahun memerintah dijadikan ukuran.

Rakyat sudah boleh menilai.

Rakyat kini hidup di zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan. Jalankanlah tanggungjawab dengan jujur,adil dan amanah sebelum 'menyerahkan' tampuk pemerintahan kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya ke 13 nanti.

Mohd Firdaus Jaafar