http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Selasa, 20 April 2010

Azizan: Bubar DUN jika ramai ADUN keluar parti

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak khuatir jika masih ada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan pembangkang bertindak keluar parti sehingga menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

Sebaliknya beliau telah bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika ianya benar-benar berlaku.

"Saya dengar macam-macam cerita sehingga sudah ada di antara Adun Umno yang bercakap siapa bakal menteri besar, tetapi saya langsung tidak khuatir, kerana jika ini (lompat parti) benar-benar berlaku, saya akan bubar DUN dan kita pulang semula kepada rakyat untuk menjadi hakim," katanya kepada Bernama hari ini.

Azizan diminta mengulas desas-desus yang semakin kuat kedengaran bahawa beberapa lagi wakil rakyat pakatan pembangkang di Kedah akan keluar parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri hilang majoriti.

Sehingga kini kerajaan yang dipimpin pakatan pembangkang itu sudah kehilangan dua wakil rakyatnya apabila dua Adun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan Tan Wei Shu (Bakar Arang) bertindak keluar parti.

Kedua-duanya mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas.

Kerajaan Kedah kini menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN. Daripada jumlah itu PAS menguasai 16 kerusi, PKR (3 kerusi) dan DAP satu kerusi.

Barisan Nasional mempunyai 14 kerusi termasuk Kota Siputeh yang masih berada pada peringkat Mahkamah Rayuan selepas Speaker DUN Datuk Dr Abdul Isa Ismail tidak mengiktiraf Datuk Abu Hasan Sarif sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum itu memutuskan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah selepas Abu Hasan didapati gagal menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut.

1 ulasan:

ilhamsyakima berkata...

Tuan Alfurqan,

Kesimpulan yang dapat dibuat sesudah membaca jawapan dan huraian tuan tentang permasalahan peniaga buah di Guar Chempedak sangat dikesali seolah-olah tuan dan pihak tuan sangat berputus asa menanganinya. Sebaliknya tuan meminta kami sendiri berjumpa dengan para peniaga tersebut, tapi atas 'kapasiti' apa?

Kami mengemukakan masalah ini kepada YB kerana beliau wakil kami dan atas kapasiti Wakil Rakyat, tentulah apa permasalahan yang dikemukakan mendapat perhatian Majlis Daerah ataupunPegaai Daerah. Kami bukan minta bulan dan bintang, kami bukan minta tanah 4 atau 5 ekar, kami hanya minta diberi keselesaan menggunakan jalanraya yang tidak sepatutnya dieksploitasikan oleh golongan berkepentingan ini.

Kalau betul mereka tidak mahu berpindah kerana infrastruktur tidak bersesuaian, takkan hendak dibiarkan begitu sahaja tanpa ada usaha meminta mereka berundur ke belakang dan mengosongkan ruang pejalan kaki serta jalanraya? Kalau itupun menjadi masalah dan tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diusahakan, apalah gunanya bercakap berdegar-degar menyentuh perkara-perkara yang lebih besar.

Jika kami sendiri hendak disuruh berjumpa dengan mereka dan mengemukakan masalah ini, apalah gunanya Pusat Khidmat Wakil Rakyat yang beroperasi berdekatan? Apalah gunanya 'suara' Wakil Rakyat di dalam perjumpaan atau Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah yang diadakan di Pejabat Daerah setiap bulan?