http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Rabu, 7 April 2010

Skuad Kenari diharap ulangi kejuaraan

SUNGAI PETANI - Ahli Parlimen Jerai merangkap Timbalan Presiden Bola Sepak Melayu Kedah, Mohd Firdaus Mohd Jaafar berharap agar pasukan bola sepak Kedah, Skuad Kenari terus mengungguli Kejohanan Bola Sepak TM Piala FA yang bakal berlangsung di Bukit Jalil tidak lama lagi.

Mohd Firdaus berkata, beliau memohon Skuad Kenari agar terus membawa harapan rakyat Kedah dan peminat pasukan hijau kuning untuk mengulangi kejuaraan di Piala FA seperti dua tahun berturut-turut sebelum ini.

Menurutnya, beliau berharap imbuhan bukan faktor utama kepada tuntutan kemenangan skuad terbabit namun perlu diberikan perhatian kepada sejarah mengulangi kemenangan dan kejuaraan Piala FA agar pasukan bola sepak Kedah terus gemilang dalam arena bola sepak negara.

“Dengan kejuaraan yang sangat diharapkan oleh peminat, pasukan Kedah ini juga akan dijadikan sebagai hadiah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sendiri iaitu Menteri Besar Kedah.

“Jadi saya berharap Skuad Kenari akan bermain secara bermati-matian untuk memastikan kejuaraan Piala FA terus kekal milik Kedah dan imbuhan yang diperoleh bukan satu ukuran namun kejuaraannya adalah yang paling penting,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian dari sini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Firdaus berkata, beliau menyeru peminat dan penyokong pasukan hijau kuning ini untuk turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini untuk memberikan sokongan kepada Skuad Kenari yang bakal bertarung dengan pasukan daripada Negeri Sembilan.

Menurutnya, beliau berharap pasukan peminat dan penyokong hijau kuning dapat menjaga imej penyokong Kedah dan tidak menimbulkan kekecohan.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Skuad Kenari yang telah berjaya ke peringkat akhir Piala FA dan berharap dapat menunaikan harapan penyokong Kedah untuk menjadi juara pada perlawanan itu,” katanya yang turut akan bersama peminat pasukan hijau kuning di Bukit Jalil pada hari berkenaan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apalah susah-susah nak fikir bab bola di Bukit Jalil. Selesaikan dulu masalah peniaga abuah di jalan Yan tu. Dah samapai ke atas jalan depa letak buah-buah tu.