http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Selasa, 11 Mei 2010

BN jangan main api perkauman di Sibu

JERAI, 11 Mei: Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak bermain dengan api perkauman semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata tindakan BN menggunakan api perkauman adalah satu tindakan yang amat merbahaya kepada negara.

Katanya, pemimpin BN berkempen dengan menyatakan sekiranya DAP menang, maka akan wujudnya negara Islam yang bertujuan menyekat pengundi Cina daripada memberikan undi kepada calon DAP.

"Kita ingin bertanya kepada pemimpin Islam dalam BN, kenapakah mereka begitu takut dengan negara Islam sedangkan Islam itu jugalah yang menjadi anutan pemimpin Umno.

“Kenapa Umno sanggup untuk menutup kehebatan kerajaan Islam pada rakyat terutamanya kaum Cina dan India,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Soalnya lagi, di manakah letaknya kelemahan kerajaan Islam sedangkan PAS berusaha menerangkan peranan kebaikan daulah Islamiah manakala Umno pula mengajak rakyat menentang pemerintahan Islam.

Beliau berkata, Umno sepatutnya tidak memprovokasikan isu Islam yang akan merugikan Islam itu sendiri.

Tambah beliau, sekiranya hendak berkempen sekali pun janganlah sehingga merugikan agama sendiri.

Ini, katanya amat memalukan kerana Umno yang melabelkan mereka sebagai parti yang turut memperjuangkan Islam sanggup untuk memperkecil dan memperlekehkan sistem pemerintahan Islam yang dituntut oleh agama.

"Janganlah kerana hendakkan kemenangan di Sibu, maka Umno dan BN sanggup untuk menggadaikan kedudukan agama Islam setelah melihat apa yang dibawa oleh PAS itu disenangi dan diterima oleh sebahagian besar dari penduduk dan masyarakat di Sibu," ujarnya lagi.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei ini memperlihatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Richard Wong Ho Leng, Robert Lau Hui Yew (BN) dan Narawi Haron (Bebas).

Tiada ulasan: