http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Khamis, 1 Julai 2010

Pusat digesa majukan pelancongan Kedah

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar meminta Kementerian Pelancongan menjelaskan agenda kerajaan Pusat dalam menggiatkan aktiviti perlancongan di Kedah.

Menurut beliau, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri seakan tidak mendapat kerjasama langsung dari urusetia pelancongan yang dilantik oleh kementerian dalam mempromosi semula Pusat Rekreasi Gunung Jerai, sejak setahun yang lalu.

"Berkaitan kerja sama urusetia pelancongan dengan Exco (kerajaan) negeri, saya lihat seperti tidak ada kerja sama langsung," ujar beliau pagi tadi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Bagi beliau, keindahan flora dan fauna yang terserlah pada alam Gunung Jerai sebenarnya berpotensi menjadi produk perlancongan negeri.

Jika taman rekreasi itu dipelihara dan dipulihara semula, beliau berkata, sekaligus menjadikan Gunung Jerai sebagai produk pelancongan negara dalam menarik pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan jumlah peruntukan kementerian untuk memajukan industri pelancongan di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat itu.

Menjawab soalan itu, timbalan menterinya, Datuk Dr. James Dawos Mamit mengaku bahawa kerajaan telahpun memulihara semula Gunung Jerai dengan peruntukan serta projek khusus tertentu melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mambong turut menafikan khabar angin yang dibangkitkan kononnya kementerian bersikap dingin dengan kerajaan negeri.

Tegasnya lagi, kerajaan pusat melalui Agensi Pelancongan Malaysia sebelum ini pun terbukti membantu kerajaan negeri mempromosi produk pelancong Kedah.

"Penyelenggaraan fasiliti telah pun dijalankan, itupun bergantung pada permintaan kerajaan negeri selepas ini," ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: