http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Rabu, 8 Julai 2009

Umno lepas geram, tuduh tok guru nyanyuk

CHUCHUH PUTERI, 8 Julai - Kenyataan Umno-BN yang menuduh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai nyanyuk kerana tidak bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan mencerminkan keadaan mereka yang sedang melepaskan geram.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu dalam satu ceramah ketika kempen calon di Padang Chuchuh Puteri A semalam, menyifatkan kenyataan tersebut lahir daripada mereka yang sedang marah serta tidak rasional.
"Itu kenyataan orang yang lepas geram, kalau saya nyanyuk bagaimana saya boleh menyampaikan ceramah pada malam ini?" tegasnya kepada lebih 3,000 orang yang datang mendengar padang ceramah tersebut.
Tuan guru juga menceritakan mengenai kenyataan seorang menteri besar kepadanya ketika menghadiri satu mesyuarat Menteri-menteri Besar bersama Majlis Raja-raja, yang terkesan selepas mendengar kaset ceramah yang disampaikan beliau mengenai parti politik yang dipilih ketika pilihan raya.
"Ada seorang menteri besar memberitahu saya, bahawa dia telah mendengar kaset ceramah saya. Kata menteri besar itu, apa yang paling beliau terasa dan terkesan ialah 'apabila mati kelak, Allah akan tanya masa hidup sebelum ini, apabila kamu mengundi, kamu pilih apa?" jelasnya.
Oleh yang demikian beliau menyeru dan menyatakan harapan yang penuh agar pengundi di Manek Urai dapat membuat pilihan yang baik untuk terus menyokong kepimpinan Islam.
"Saya penuh harap pengundi di sini dapat membuat pilihan yang terbaik. Setelah Umno kalah di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau, kenapa kita mahu pilih dia(Umno) lagi?" katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pihaknya telah mengirimkan surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak untuk mendapatkan respon mengenai alasan Umno menolak Islam.
"Saya telah mengirimkan surat kepada Perdana Menteri yang mengandungi soalan, 'kenapa Umno tolak Islam? Islam itu bukan PAS yang buat, tetapi kenapa Umno tetap mahu menolak Islam? Sebab itu saya berkempen dan berdakwah hingga ke hari ini untuk Islam," tegasnya.
Turut menyampaikan ceramah pada malam itu, Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Husam Musa, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif termasuk calon PAS Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah.

Tiada ulasan: