Khamis, 2009 November 05

PBSMK yakin bawa pulang piala emas

YAN - Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah (PBSMK) yakin akan membawa pulang Piala Emas Raja-Raja pada perlawanan yang akan berlangsung di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Pengurus Pasukan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Firdaus Jaafar berkata, Kedah yang akan dibarisi beberapa pemain Liga Super dan pemain berpengalaman pada kali ini.

“Saya yakin pasukan Kedah sudah bersedia sepenuhnya untuk membawa pulang piala tersebut dan kemenangan ini kami tujukan kepada Sultan Kedah kerana sentiasa menyokong perkembangan sukan.

“Saya berharap agar semua penyokong pasukan negeri Kedah memberi sokongan sepanjang kejohanan yang berlangsung tidak lama lagi,” katanya

Pasukan ini juga akan dilatih oleh beberapa pemain legenda Kedah bagi membuat persiapan sebelum kejohanan berlangsung.

“Berdasarkan gabungan orang lama dan baru ini, saya harapkan agar satu pasukan mantap dari segi fizikal serta mental dapat dibentuk dalam masa terdekat ini,” katanya.

Firdaus juga menasihatkan agar semangat penyokong bola sepak Kedah tidak luntur berikutan prestasi malap yang ditunjukkan pasukan negeri yang ditunjukkan sepanjang kempen liga musim ini.

“Kita kena bersatu hati dan sentiasa memberi sokongan kepada pasukan ketika mereka berjaya serta ketika mereka melalui keadaan sukar.

“Saya yakin pasukan Kedah perlu memperbaiki sedikit kekurangan yang terdapat dalam pasukan untuk meningkatkan semula prestasi mereka agar tidak terus tercicir,” katanya ketika merasmikan gelanggang takraw di Kampung Gelam Tiga, Bukit Besar.

Gelanggang tersebut dibina atas kelulusan Menteri Besar bagi memberi ruang kepada golongan pemuda untuk melakukan aktiviti riadah pada masa lapang.

Perbahasan menarik bajet 2010 : MP Pokok Sena




ISU ROYALTI - PM BOHONGI RAKYAT

Bajet 2010 tidak mesra remaja - MP JERAI



Selasa, 2009 November 03

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN AGENDA MUSUH

Oleh : Tuan Ibrahim Tuan Man

ISNIN, 02 NOVEMBER 2009 | 14 ZULKAEDAH 1430H

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.

Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal. Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landsasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:
  • Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
  • Bagaimana persiapan bilik gerakan,
  • Semakan daftar pemilih terkini
  • Semakan rang yang dibentangkan,
  • Bantahan yang perlu dibuat
  • Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya,
  • Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU.

Apa tidakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.


Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.

Khamis, 2009 Oktober 29

SAMBUTAN JUBLI EMAS PAS JERAI

Pas Jerai akan menganjurkan sambutan jubli emas 50 tahun pada 19-22 November akan datang bertempat di Padang Awam Guar Chempedak.


Berbagai acara menarik telah disusun sempena sambutan jubli emas ini yang dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Harun Din, manakala acara penutupnya dijangka akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri TG Haji Hadi Awang.

Program sambutan pada siangnya akan diisi dengan aktiviti kemasyarakatan seperti pameran dan pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter khidmat masyarakat, larian Jerai, senamrobik, pertandingan memasak, sukan rakyat, pertandingan bola sepak, kenduri sepak raga, sukaneka kanak-kanak dan gerai-gerai jualan produk.

Manakala pada sebelah malamnya akan dipenuhi dengan konsert kesenian Islam dan siri-siri ceramah penerangan isu-isu semasa yang akan disampaikan oleh pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.

Penganjur juga ada menyediakan 50 tapak niaga untuk tempahan. Peniaga-peniaga yang berminat boleh menghubungi Saudara Bokhari Ali di talian 019-4722339 sementara kekosongan masih ada.

Untuk maklumat lanjut berkaitan program jubli emas PAS Jerai boleh hubungi Ustaz Mussodak Ahmad, Ketua Penerangan PAS Kawasan Jerai di talian 012-4827563.

ADUN Pelabuhan Klang diminta letak jawatan

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR supaya ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan wakil rakyat kawasan tersebut.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

Berikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi.