http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Selasa, 30 Jun 2009

Debat jalan terakhir selesai masalah ummah - Nik Aziz

KOTA BHARU, (Hrkh) - Umno kini benar-benar gelabah dengan pelawaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat mengenai isu mengapa Umno tolak Islam.
Rata-rata pemimpin Umno menolak pelawaan tersebut kecuali Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Puad Zakarshi yang kononnya sedia berdebat dengan Mursyidul Am PAS.
Sedangkan pada awal tahun ini beliau gagal hadir pada wacana di Kota Bharu dengan alasan yang diadakan-adakan, biar pun pada peringkat awal menyatakan persetujuan datang.
Menteri Besar berkata, kenapa pemimpin Umno menolak pelawaan untuk berdebat sedangkan debat merupakan cara yang paling baik untuk menyelesaikan sesuatu masalah sebagaimana tuntutan Islam dan demokrasi.
"Seperti mana di mahkamah, dua orang peguam berhujah mengemukakan bukti atau berdebat untuk menentukan samada salah atau tidak seseorang tertuduh," katanya pada persidangan media di pejabatnya hari ini.
Sabtu lalu beliau mempelawa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak berdebat mengenai sebab apa pemimpin parti itu menolak Islam.
Bagaimanapun pemimpin Umno termasuk bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menolak cadangan tersebut.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, calon-calon presiden di Amerika Syarikat termasuk Barrack Obama sebelum ini berkempen secara debat.
"Begitu juga di Indonesia debat melibatkan calon-calon presiden dan calon-calon wakil presiden bagi menghadapi pilihan raya Presiden tidak lama lagi. Jadi mengapa pemimpin Umno menolak," kata beliau.
Sedangkan katanya, debat ialah jalan terakhir setelah nasihat dan pelbagai cara yang digunakan sebelum ini tidak diendahkan.
"Semasa Allah swt menjadikan Nabi Adam as, Tuhan berdialog dengan Malaikat seperti diceritakan dalam al-Quran.
"Islam menyuruh kita berdebat mengenai dasar kerana dunia ini kepunyaan Allah swt, maka kita perlu mengikut arahan atau pun kehendak-Nya, tidak boleh pandai-pandai malakukan apa sahaja.
"Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad saw membawa Islam merangkumi iman dan ihsan supaya menjadikan perkara ini sebagai dasar dan bukannya berpandukan nasionalis semata-mata," ujarnya.

2 Pelajar UM Hadapi Penjara 20 Tahun

Dua pelajar Universiti Malaya ditahan reman sejak 24 Jun lalu berhubung insiden menconteng kata-kata anti Rosmah Mansor dan kini berhadapan dengan kemungkinan dipenjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt. Azri Abdul Rahman kedua-dua pelajar itu kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan khianat dengan api.
Supt. Azri, ketika ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Brickfields, berkata tempoh tahanan reman kedua-dua pelajar tersebut dijangka berakhir Selasa ini tetapi tidak menolak kemungkinan tempoh tersebut dilanjutkan sekiranya perlu.
"Pihak polis menjalankan siasatan berdasarkan apa yang berlaku ditempat kejadian dan kedua-dua suspek ditahan setelah pihak kami mendapat satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pantai oleh pihak universiti," kata beliau tanpa memberi butiran lanjut mengenai aspek siasatan kes.
Menurut sebuah laman blog, um-today.com, dua pelajar berusia 21 tahun yang dipercayai daripada Akademi Pengajian Islam ditahan polis Rabu lalu apabila mereka dikatakan menconteng pada dinding bangunan dengan kata-kata yang mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap isteri Perdana Menteri.
Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika Wanita Pertama Malaysia itu hadir pada Majlis Perasmian "Gaza DiBela" anjuran sebuah badan antarabangsa, Power of 10 Sen di Akademi Pengajian Islam pada hari yang sama.
Antara yang ditulis pada dinding UM ialah "Altantuya", "C4", "pembunuh" - kesemuanya berkait kepada kes pembunuhan ngeri wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu tiga tahun lalu dan "puaka" yang merujuk kepada video yang disebarluaskan melalui Youtube sejak dua minggu lalu.
Video itu memaparkan temubual dengan beberapa individu yang didakwa ahli keluarga, saudara mara dan jiran Rosmah.
Rosmah adalah isteri kedua Najib Razak yang menceraikan isteri pertama beliau,Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar pada 1987.
Rosmah lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan adalah graduan ijazah Universiti Malaya dalam bidang antropologi dan sosiologi.
Supt. Azri juga tidak menafikan dakwaan pihak polis juga sedang mencari tiga orang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di universiti itu.
"Siasatan sedang dijalankan, kami tidak pasti sama ada suspek yang masih dicari seramai itu atau kurang daripada itu," jelas beliau.
Menurut blog um-today tulisan pada dinding itu dipadamkan oleh Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan Harta Benda (JPPHB) universiti tersebut menggunakan cat sejurus mendapat berita megenainya.
Laluan rasmi Rosmah ke lokasi majlis juga telah ditukar pada saat akhir kepada laluan lain bagi mengelakkan beliau ternampak contengan provokatif tersebut.
Supt. Azri menasihatkan pelajar universiti supaya tidak mengambil undang-undang dalam tangan mereka sendiri dan mensyorkan supaya berbincang dengan pihgak universiti sekiranya terdapat sebarang rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.
"Lebih baik mereka menggunakan saluran yang betul kerana sekiranya laporan seperti dibuat ia sudah menjadi kes jenayah dan pihak polis terpaksa menjalankan siasatan. Jangan ambil tindakan yang boleh menyebabkan mereka dalam kesusahan," nasihat beliau.

Gemasuara - Istilah baru BN ialah "BINI NAJIB"

BN bukan lagi Barisan Nasional atau barang naik tetapi mempunyai istilah terbaru iaitu 'Bini Najib'.
"Dulu kita dengar BN barang naik. Itulah dijaja oleh orang ramai terutamanya ketika hari penamaan calon tapi hari ini satu istilah baru telah dicipta oleh mereka yang mahir menamakan singkatan perkataan iaitu Bini Najib".
Istilah itu jika dikaji ada kebenarannya apabila Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yu ketika melawat Malaysia bukan sahaja mengadakan pertemuan dengan Najib yang juga Perdana Menteri tetapi mempunyai pertemuan khas dengan isterinya.
Tindakan itu merupakan tindakan terbaru yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pemerintahan negara dan tidak pernah dilakukan olah mana-mana pemimpin negara luar mengadakan pertemuan khas dengan isteri Perdana Menteri secara individu.
"Kalau di kaji ada kebenarannya. Bila Lee Kuan Yu melawat Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Najib, Lee juga mengadakan pertemuan dengan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Itu yang menghairankan masyarakat kenapa dan apa motif perjumpaan itu. Lazimnya, pertemuan isteri diadakan berasingan itupun dengan isteri pelawat sahaja".
Bukan sahaja timbul kehairanan di kalangan rakyat bahkan di kalangan wartawan yang membuat liputan pertemuan tersebut.
Jika Datin Seri Rosmah mahu membersihkan isu ini beliau perlu menjawab hasil pertemuan itu. Adakah tindakan Rosmah itu membuktikan bahawa Najib bukan mengemukakan wawasan sendiri malahan mempunyai kaitan dengan isterinya yang cuba campur tangan terhadap pentadbiran negara.
Dulu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikaitkan dengan menantunya, Khairy Jamaludin yang sering dilihat masuk campur tentang pentadbiran negara kali ini Najib pula menerima nasib yang sama bukan daripada menantunya sebaliknya 'Bininya'.
Menyentuh mengenai kenyataan Najib kononnya slogan '1 Malaysia' berjaya diserapkan ke hati keseluruhan rakyat negara ini beliau menyifatkan, ia hanya mimpi semata-mata mengantikan slogan Islam Hadhari tajaan Tun Abdullah bila mengambil alih pemerintahan pada penghujung tahun 2003 lalu.
Kenapa kerajaan tidak mengambil langkah menetapkan sahaja slogan untuk memajukan negara mengelak daripada diperkenalkan setiap kali pertukaran kepimpinan.
"Kita tengok mana dia Islam Hadhari yang dijaja oleh ulamak Umno dan kepimpinannya semasa era kepimpinan Tun Abdullah. Begitu juga Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir serta Bersih, Cekap dan Amanah yang pernah menjadi trend percakapan orang kuat BN di kedai-kedai kopi".

Isnin, 29 Jun 2009

Kunjungan Dewan Pemuda PAS Kawasan Segamat ke PAS Kawasan Jerai

Dewan Pemuda PAS Kawasan Segamat yang diketuai oleh Sdr. Firdaus Masod telah berkunjung ke Pejabat PAS Kawasan Jerai pada pagi ini. Rombongan yang dalam perjalanan pulang ke Johor dalam siri lawatan mereka ke Langkawi disambut oleh Sdr. Muzaini Azizan (Pegawai Khas MB), Puan Kasmuri Jaafar (isteri kepada YB Ustaz Firdaus), AJK Pemuda dan Muslimat Kawasan Jerai dan kakitangan PKWR Dun Sungai Limau.

Rombongan diberi taklimat ringkas berkaitan PAS Kawasan dan Kerajaan Negeri Kedah oleh Sdr. Muzaini Azizan dan Ustaz Mohamad Ismail.
Ucapan oleh Ustaz Mohamad Ismail dan Sdr. Firdaus Masod

Ahli-ahli rombongan sedang mendengar taklimat dari Pegawai Khas MB

Ucapan penangguhan MP Jerai dalam sidang dewan rakyat penggal kedua.

PERHEBAT PERLU DIPERLUASKAN KE SELURUH NEGARA
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) ditubuhkan melalui Perintah Lembaga Angkatan Tentera, 1994 yang diperbuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Seksyen 23 Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 bertujuan menjayakan visinya menjadi sebuah pusat latihan yang cemerlang dalam pembangunan sumber manusia kepada bakal pesara dan bekas anggota tentera setelah bergelar orang awam.

Dalam memastikan pelatih-pelatih ini mendapat asas latihan yang sempurna, PERHEBAT harus diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi kemudahan kepada pelatih yang berada di segenap pelusuk negara yang sebelum ini hanya menjalani latihan peralihan di agensi-agensi lain di bawah pantauan PERHEBAT. Kebanyakan pelatih hanya sekadar mendapatkan pengesahan latihan dari agensi yang dipilih dan bukannya dilengkapi dan dibekalkan dengan latihan seperti yang digariskan PERHEBAT.
PERHEBAT disarankan untuk menitikberatkan kelengkapan latihan yang sempurna dan bukannya membiarkan pelatih-pelatihnya hanya sekadar menghabiskan masa peralihan mereka tanpa latihan yang mencukupi untuk mereka mengharungi kehidupan selepas bergelar pesara dan orang awam. Rungutan pelatih-pelatih PERHEBAT kebelakangan ini tentang kekurangan bahan mentah dan material untuk tujuan latihan di PERHEBAT adalah amat tidak munasabah kerana peruntukan kerajaan kepada pembangunan sumber manusia adalah tidak terhad.
Kementerian yang bertanggungjawab diminta untuk mempertimbangkan dan memberi perhatian terhadap cadangan dan rungutan ini sekiranya mahu melihat kejayaan dan keberkesanan PERHEBAT dalam mengurus tadbir hal ehwal bekas angkatan tentera yang banyak berjasa kepada negara.
SEKSYEN 107 KANUN PROSEDUR JENAYAH
PDRM merupakan salah sebuah agensi keselamatan kerajaan tertua yang menjangkaui usia 202 pada tahun ini dan dianggotai seramai 93,348 pegawai dan anggota pelbagai pangkat. Agensi ini mempunyai sebuah pusat pentadbiran di peringkat persekutuan, 14 buah ibupejabat kontinjen, 148 buah ibupejabat daerah dan 837 buah balai yang lengkap untuk mendokong visi dan misi agensi penguatkuasaan utama ini.

Di kawasan Parlimen Jerai, terdapat 3 buah balai polis iaitu Balai Polis Gurun yang berada di bawah pentadbiran IPD Kuala Muda dan Balai Polis Guar Chempedak dan Balai Polis Yan yang di bawah pentadbiran IPD Yan. Sering kedengaran rungutan rakyat yang tampil berurusan dengan Balai Polis Gurun dalam hal-hal berkaitan permasalahan mereka yang memerlukan repot polis dibuat. Pegawai polis di sini tidak mahu menerima pengaduan mereka dan meminta ianya dibuat ke Balai Polis Sungai Petani atau IPD Sungai Petani. Keengganan pegawai atau anggota di Balai Polis Gurun untuk menerima aduan adalah menyalahi Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah yang mengkehendaki Ketua Polis Balai atau pegawai polis lain di bawah arahannya menulis maklumat apabila pengaduan atau repot dibuat berkenaan sebarang kejadian sesuatu kesalahan.

Persoalan ini telah dikemukakan ke IPD Kuala Muda dan jawapan yang diberikan adalah kerana ketiadaan pegawai penyiasat di balai berkenaan. Jawapan ini menggambarkan bahawa di balai-balai polis yang lain juga turut berlaku krisis yang sama seperti di Balai Polis Gurun ini. Adalah amat mendukacitakan kerana di saat negara sedang menuju kepada status sebuah negara maju, kita tidak seharusnya memandang ringan aspek-aspek keselamatan rakyat. Kementerian harus mengambil tindakan segera memperbaiki kelemahan pentadbiran agensi penguatkuasaan utama negara ini dengan menambah bilangan pegawai-pegawai penyiasat atau menempatkan mereka di balai-balai polis seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Di samping itu, kementerian juga disarankan untuk mengujudkan sebuah balai polis di Pekan Jeniang memandangkan kadar pertambahan penduduknya dan jarak perjalanan ke balai polis terhampir iaitu Balai Polis Gurun yang agak jauh dengan penempatan penduduk di sini. Kewujudan balai polis di Pekan Jeniang ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan Balai Polis Gurun yang telah dikecilkan kawasan pentadbirannya dan sekaligus akan memenuhi keperluan penduduk dan keselamatan mereka akan lebih terjamin.
PERBADANAN ASET KERETAPI
Perbadanan Aset Keretapi adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan untuk dipertanggungjawabkan bagi menguruskan tadbir semua harta-harta KTM mengikut Seksyen 92 dan Seksyen 93 Akta Keretapi 1991. Antara aktivitinya ialah menguruskan penyewaan tanah milik KTM dan tanah rizab KTM bagi tujuan premis kediaman dan komersial. Dalam menjayakan projek landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar yang dalam pembinaan, banyak premis-premis kediaman dan komersial di atas tanah milik dan tanah rizab KTM yang perlu dikosongkan.
Di Parlimen Jerai, mereka yang membina premis kediaman di atas tanah ini telah diarahkan untuk mengosongkan premis dengan kadar pampasan yang berpatutan tetapi bagi mereka yang membina premis komersial atau perniagaan di atas tapak yang disewa dari PAK ini diarahkan mengosongkan premis tanpa dibenarkan untuk menuntut sebarang kadar pampasan dari PAK. Ini menimbulkan rungutan dan ketidakpuasan hati mereka yang tidak berselang membayar sewa kepada PAK. Adalah diharapkan kementerian yang bertanggungjawab di atas dasar kemanusiaan dapat menimbangkan untuk meluluskan sedikit kadar pampasan kepada peniaga-peniaga yang menyewa aset PAK bagi meringankan bebanan dalam meneruskan aktiviti perniagaan mereka di tempat dan tapak yang baru.

Kementerian juga disarankan berbincang dengan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan sebidang tanah untuk dijadikan tapak penempatan penduduk-penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek pembinaan landasan keretapi berkembar di seluruh negeri Kedah. Penduduk-penduduk yang terlibat ini menghadapi masalah tapak penempatan untuk mendirikan rumah kediaman mereka apabila diarahkan berpindah. Dengan bayaran pampasan yang dijanjikan, penduduk-penduduk yang terlibat ini dapat menjadikannya modal untuk mendirikan rumah bagi didiami bersama keluarga mereka. Kesediaan kementerian terbabit dalam menyediakan sebahagian prasarana utama ini akan dapat menyelesaikan permasalahan penduduk-penduduk yang terlibat dan sekaligus akan menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini.
SKIM BANTUAN SEGERA PERSEKUTUAN BAGI KAWASAN PARLIMEN (BSKP)
Pakej ransangan ekonomi 2009 yang dibentangkan oleh baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk program kebajikan masyarakat. Sudah semestinya Jabatan Kebajikan Masyarakat akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengagihan 6 billion ringgit yang diperuntukkan melalui skim-skim bantuan jabatan ini. Skim Bantuan Segera Persekutuan Bagi Kawasan Parlimen (BSKP) yang disalurkan terus kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan segera dalam kawasan mereka adalah salah satu skim bantuan yang terdapat dalam senarai bantuan JKM. Hak ini seharusnya tidak dinafikan kepada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekiranya kerajaan benar-benar mahu rakyat melihat mereka didahulukan seperti yang dinukilkan dalam konsep 1Malaysia.

Pegawai-pegawai JKM hendaklah bertindak secara profesional dengan tidak mengambil kira ideologi politik Ahli Parlimen yang mewakili kawasan berkenaan dalam menyalurkan bantuan-bantuan seperti ini. Kita tidak mahu pegawai-pegawai JKM lebih cenderung untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin politik dan bukannya bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat yang dipilih secara sah oleh rakyat seperti yang berlaku di Daerah Kuala Muda. Daerah Kuala Muda ini mempunyai tiga orang pemimpin masyarakat di peringkat parlimen yang senantiasa mendekati dan menyelami kehidupan rakyat di kawasan masing-masing di atas kapasiti mereka sebagai Ahli Parlimen.

Pegawai JKM Daerah Kuala Muda ini tidak bersedia untuk bekerjasama dengan kami yang bergelar Ahli Parlimen Sungai Petani, Ahli Parlimen Merbok dan Ahli Parlimen Jerai tetapi sebaliknya lebih gemar memberi layanan istimewa dan bekerjasama dengan seorang pemimpin puteri sebuah parti politik untuk menjayakan agenda dan aktiviti politiknya. Layanan seperti itu sepatutnya diberikan kepada kami yang bergelar Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat mengikut peruntukan yang digariskan dalam menyalurkan bantuan-bantuan JKM seperti Skim BSKP tersebut. Sikap pegawai ini jelas menyalahi etika kerja sebagai seorang penjawat awam dalam sesebuah agensi kerajaan. Adalah menjadi harapan kementerian yang bertanggungjawab dengan agensi ini haruslah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan ini agar laungan 1Malaysia bukanlah sekadar retorik semata-mata.
Selain dari itu, terdapat berbagai-bagai skim bantuan lain yang diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ini. Melalui pemerhatian saya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan amat perlu direformasikan. Pada masa ini, setiap permohonan yang diajukan memerlukan suatu tempoh masa yang terlalu lama sehingga ada yang mencecah atau melebihi 1 tahun untuk mendapatkan kelulusan JKM. Tempoh masa siasatan yang terlalu lama amatlah tidak praktikal di era serba canggih ini. Amatlah wajar pihak kementerian mengarahkan Jabatan terbabit untuk mengkaji semula tempoh masa mendapatkan kelulusan permohonan skim-skim bantuan JKM ini.

Ahli majlis sokong saranan aktifkan semula gotong-royong

GUAR CHEMPEDAK- Program gotong-royong perdana merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh jabatan dan agensi kerajaan yang ada di daerah Yan untuk bersama masyarakat membantu mengindahkan persekitaran daerah tersebut. Ahli-ahli Majlis Daerah Yan (MDY) menyokong aktiviti yang dijalankan itu dalam usaha menyahut saranan kerajaan negeri yang mahukan budaya gotong-royong disuburkan semula di kalangan masyarakat kita hari ini.

Ahli Majlis MDY, Mohamaad Ismail berkata, langkah itu dapat merapatkan hubungan antara jabatan kerajaan dan orang ramai sekali gus dapat bersama-sama menjadikan daerah Yan salah satu daerah bersih yang ada di negeri ini. Menurutnya, masyarakat pula dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan mengetahui peranan serta fungsi sesebuah jabatan apabila mereka bergaul dengan kakitangan agensi berkenaan ketika gotong-royong tersebut.
“Program itu diadakan juga bagi memastikan kebersihan daerah Yan terkawal dan ditingkatkan supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke sini. Aktiviti seumpama ini amat bermanfaat dan patut dijadikan amalan oleh sesiapa sahaja dalam kehidupan mereka,” katanya kepada Sinar Harian semasa hadir pada program gotong-royong perdana membersihkan sekitar pekan Guar Chempedak, di sini, bersama pelbagai agensi kerajaan daerah.
Antara yang terlibat ialah jabatan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Daerah Yan (MDY), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Ketua Kampung (MKK), Penghulu Mukim Daerah Yan, masyarakat setempat dan pelbagai agensi lain.
Sementara itu, Ahli Majlis MDY, Jamaluddin Abd Hamid juga menyokong saranan kerajaan negeri ini yang ingin budaya gotong-royong disuburkan kerana ia dapat mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kejiranan dan menjalin kerjasama antara penduduk itu sendiri.
“Langkah tersebut juga sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran berkaitan kebersihan dalam kalangan masyarakat di kawasan masing-masing serta dapat dijadikan contoh oleh masyarakat kawasan lain,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis MDY, Muhammad Hafiz Abdullah berkata, aktiviti itu dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa tugas menjaga dan memelihara kebersihan bukan terletak di bahu pihak berkuasa tempatan semata-mata.
“Aktiviti itu patut diteruskan dan menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita hari ini serta menjadi ikutan generasi muda,” katanya.
Sepanjang aktiviti gotong-royong itu, peserta terlibat membersihkan longkang, mengutip sampah, membersihkan Tanah Perkuburan Islam dan mengindahkan kawasan pekan Guar Chempedak.

Kedah siap sedia jadi ‘Jelapang Minyak’ 2013

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhasrat menjadikan negeri ini ‘Jelapang Minyak’ menjelang 2013 apabila tiga projek mega industri minyak dilaksanakan kelak.
Menurutnya, tiga projek itu juga kini dalam peringkat akhir rundingan dan kerajaan negeri mahu melaksanakannya secepat mungkin.
“Insya Allah, jika tiada halangan, ketiga-tiga projek itu akan berjalan lancar. Projek pembinaan depot simpanan minyak mentah oleh Pristine Oil bernilai RM1 bilion, dibangunkan atas tanah seluas 160 hektar di Gurun. Manakala majlis pecah tanah projek penapisan minyak Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) dijangka Ogos ini. Satu lagi projek di Jerlun-Bukit Kayu Hitam,” katanya selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat peringkat negeri, di sini, semalam.

6 pasukan sah layak ke suku akhir Liga Tertutup Jerai

Liga Bolasepak Tertutup Jerai 2009 semakin menghampir penghujung pusingan pertama dan 6 pasukan telah mengesahkan tempat ke suku akhir setelah menguasai tempat teratas dalam kumpulan. Pasukan-pasukan tersebut ialah PHM FC A, PHM FC B, PMTG BULUH, OM FC, KETAPAN FC dan KB JAYA.
Baki 2 lagi tempat bakal menjadi rebutan 4 pasukan yang akan ditentukan dalam perlawanan terakhir liga yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Julai ini di 2 venue pertandingan.

Ahad, 28 Jun 2009

Permohonan Nizar ditolak Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya panel lima hakim akan mendengar rayuan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membatalkan pengisytiharaan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar negeri itu.
Peguam Nizar, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan anggota panel penuh 11 hakim.

"Surat yang difaks ke firma saya semalam (kelmarin), jawapan kepada permintaan kami ialah (panel) Mahkamah Persekutusan hanya akan terdiri daripada lima orang hakim. Tiada alasan atau penjelasan diberikan atas penolakan (permohonan) itu," kata beliau dalam kenyataan yang diemelkan petang semalam.
Minggu lalu, Nizar menekankan bahawa panel 11 hakim itu amat perlu memandangkan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap mahkamah untuk menyampaikan keputusan adil dan saksama bagi menyelesaikan krisis politik Perak.

Sehubungan itu, Leong memberitahu, “Barisan anggota penuh adalah penting untuk mengembalikan keyakinan terhadap sistem kehakiman bahawa tiada amalan "memilih hakim" selain memastikan kebebasan menyeluruh, penolakan permohonan adalah sesuatu yang amat mengecewakan rakyat Malaysia.”
Leong berkata, beliau akan menasihatkan Nizar agar mempertimbangkan dengan serius untuk tidak meneruskan permohonan tanpa manfaat panel hakim rayuan yang lebih besar.

"Pada masa yang sama, saya akan menulis kepada mahkamah agar mempertimbangkan permohonan menambah panel dan juga sebab-sebab permohonan mereka telah ditolak," katanya.

Bersama YB Manikumar di Sungai Toh Pawang

Berucap dan berdialog dengan masyarakat India di Dewan Tadika Sungai Toh Pawang

Merakamkan gambar bersama masyarakat India selepas berakhir sessi dialog

Sekitar Majlis Gotong Royong Perdana di Pekan Guar Chempedak

Orang ramai sedang membersihkan longkang dan persekitaran Pekan Guar Chempedak
Dato' Seri Ustaz Azizan dan Dato' Phahrolradzi sedang menanam pokok rambutan sempena
majlis tersebut
Sebahagian dari hadirin yang hadir menerima sijil penghargaan dari Dato' Seri Ustaz Azizan

Saf kepimpinan PAS Kedah sesi 2009-2011

ALOR SETAR, 28 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan kabinet baru PAS Kedah bagi sesi 2009 - 2011 selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, di Seri Mentaloon, di sini semalam.

Pada pengumuman dibuatnya itu menyaksikan rombakan kecil dibuat kepada Jawatankuasa Dewan Harian apabila Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya III yang sebelum ini disandang Ustaz Hassan Abdul Razak.

Sementara, Timbalan Pesuruhjaya I dan II dikekalkan masing-masing kepada Dato' Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dato' Mahfuz Omar.

Turut dikekalkan ialah Setiausaha, Senator Muhamad Yusuf Husain; Bendahari, Dato' Mohamed Taulan Mat Rasul dan Ketua Penerangan, Dato' Ir Amiruddin Hamzah.

Manakala tujuh lagi dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa sesi ini iaitu Ustaz Abu Kassim Abdullah, Sheikh Ismail Kamis, Ustaz Mohamad@Fauze Husin, Zakiah Baharom, Sobri Othman, Che Had Dhali dan Mohamed Hisham Mohamed Nordin. - mks. _

Sabtu, 27 Jun 2009

Azizan tidak bermaksud kerajaan perpaduan

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak bermaksud untuk berunding dengan UMNO berhubung pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri. Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid berkata, apa yang dimaksudkan Azizan dalam kenyataan sebelum ini ialah pihaknya sudah lama mengamalkan perpaduan dalam mentadbir kerajaan negeri termasuk kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO mahupun pihak-pihak lain dalam memajukan rakyat dan negeri Kedah.

“Itu yang dimaksudkan oleh Menteri Besar. Beliau sama sekali tidak bermaksud untuk berbincang dengan UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan di peringkat negeri. Ini semua tidak perlu kerana kita (Pas) masih mempunyai cukup kekuatan bersama komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk mentadbir negeri ini,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan ketika membuat kenyataan itu sekadar mengulas kenyataan terdahulu oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

“Bagi Menteri Besar, dalam perkara perpaduan, Pas Kedah sememangnya sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi dalam konteks kerajaan perpaduan, perkara itu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan Pas di peringkat Pusat,” katanya.

TG Nik Aziz ajak Najib berdebat

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjemput Datuk Seri Najib Razak mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno-PAS.

Menteri besar Kelantan itu juga berkata draf surat jemputan rasmi kepada perdana menteri untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat, lapor Bernama.

"Jemputan itu sengaja dibuat memandangkan kekecohan yang berlaku dalam politik hari ini, terutama antara PAS dan Umno," beliau dipetik berkata selepas mengimamkan solat sunat dhuha di perkarangan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pagi ini.

Turut hadir pada majlis sempena sambutan Bulan Sembahyang itu exco pendidikan, pembangunan Islam dan dakwah Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Nik Aziz dilaporkan berkata hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda Umno negeri membuat aduan polis kelmarin berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Katanya lagi, perkara yang berlaku sekarang tidak akan selesai hanya dengan menggunakan media sebagai saluran tetapi mesti dibincang secara berdepan.Nik Aziz dilaporkan menyamakan Umno dengan ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Peniaga diisytiharkan calon PAS di Manek Urai

KUALA KRAI, 27 Jun (Hrkh) - Seorang peniaga, Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi. Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah di Kampung Manek Urai Lama, yang sendat dengan ribuan manusia. Hadir sama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Kawasan padang bola Manek Urai Lama sesak sejak petang lagi apabila penduduk tempatan dan petugas parti bertali arus menuju ke tempat ceramah. Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir sambut menyambut mengiringi pengisytiharan tersebut. Kelihatan ramai yang setuju dengan ketokohan yang ditampilkan.
Biarpun Mohd Fauzi tinggal di Guchil, namun mempunyai keluarga yang ramai di Dun Manek Urai. Kakak sulungnya, Mariam isteri kepada seorang pesara polis kini tinggal di Kampung Laloh. Keluarganya berasal dari Bukit Marak berhijrah ke Kuala Krai ketika beliau berusia lima tahun. Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik beradik. Empat daripadanya mendapat pendidikan tinggi sehingga ke luar negara. Seorang lagi kakaknya, Prof Dr Aminah pensyarah kanan di UKM; ketiga, Ibrahim seorang peniaga buah-buahan; keempat, Sabariah ketua jururawat di Hospital Temerloh. Kelima, Mohd Yazid, pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya. Manakala dua adiknya iaitu Razali memiliki syarikat perunding di Pulau Pinang dan adik bongsu, Zaidi lepasan bidang IT di universiti, Australia. Mohd Fauzi mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan Aminah Mahmood.
Terbabit dengan PAS sejak muda lagi. Beliau juga Ketua Cawangan PAS di Bandar Kuala Krai, Pengarah MTD Guchil dan bekas Penyelia Dun Guchil. Beliau juga anggota jawatankuasa PIBG Maahad Rahmaniah, Kuala Krai. Kelibatnya tidak jauh berbeza dengan Allahyarham Haji Ismail Yaacob kerana pergaulan yang luas. Orang ramai mudah menemuinya di kedai-kedai kopi. Hampir kesemua penduduk di sembilan peti di Manek Urai mengenalinya.
Biar pun kenderaan disekat melintasi jambatan merentangi Sungai Lebir menghala ke Manek Urai Lama mulai jam 7 petang semalam, namun banyak kenderaan masih lagi tersangkut untuk keluar ke jalan besar jam 1 pagi. - mj _