http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 28 Disember 2009

Lapan Pilihan Raya Kecil Warnai Politik Negara Pada 2009

Senario politik negara tahun ini diwarnai lapan pilihan raya kecil, dua bagi kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dan keputusan lapan pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa demokrasi masih subur di negara ini kerana pakatan pembangkang terdiri DAP-PKR-PAS menang kedua-dua kerusi Parlimen dan empat daripada enam kerusi DUN itu.

Siri pilihan raya itu bermula bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu ekoran kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail daripada Barisan Nasional akibat serangan jantung ketika sedang bermain badminton pada 28 Nov 2008.

Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada 17 Jan 2009, Mohd Abdul Wahid Endut daripada Pas menewaskan Datuk Wan Abdul Farid Wan Salleh daripada Barisan Nasional dan calon bebas, Azharuddin Mamat, dengan majoriti 2,631 undi.

Kemudian pada 7 April, sejarah tercipta apabila tiga pilihan raya kecil dijalankan secara serentak iaitu bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak serta kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah dan kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.

Kerusi Bukit Gantang dan Batang Ai kosong kerana kematian wakil rakyat masing-masing manakala di Bukit Selambau, ia disebabkan ADUN di situ daripada PKR meletak jawatan.

Satu rekod dicipta di Bukit Selambau apabila 15 calon bertanding.

Kerusi itu dimenangi S.Manikumar daripada PKR. Kecuali calon BN, Datuk S.Ganesan, yang lain hilang wang pertaruhan.

Kerusi Bukit Gantang dimenangi wakil Pas manakala Batang Ai pula dikuasai BN.

Akibat masalah dalaman politik di Pulau Pinang, kerusi DUN Penanti dikosongkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin daripada PKR.

BN membuat kejutan dengan memutuskan untuk tidak bertanding kerana menganggap kekosongan itu bukannya berlaku akibat kematian penyadang tetapi sengaja dikosongkan oleh PKR untuk membolehkan seorang wakilnya yang lain bertanding di situ.

Suhu politik negara kemudian dipanaskan dengan kekosongan kerusi DUN Manik Urai di Kelantan ekoran kematian penyandangnya Ismail Yaacob dari Pas akibat serangan jantung pada 22 Mei.

Berbanding Penanti yang tidak meriah, senario di Manik Urai menjadi tumpuan penganalisis politik bagi mengukur sejauh mana keupayaan BN untuk menembusi "kubu kuat" Pas itu.

Keputusan agak mengejutkan kerana calon BN Tuan Aziz Tuan Mat kalah dengan hanya 65 undi berbanding majoriti 1,352 yang diraih oleh Pas pada pilihan raya umum tahun lepas.

"Kejayaan" itu mendorong Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkata : "Inilah kali pertama saya terima ucapan tahniah kerana kita kalah."

Sebulan kemudian, satu lagi kerusi DUN Pulau Pinang, Permatang Pasir, menjadi kosong akibat kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas, juga kerana sakit jantung. Dan dalam pilihan raya kecil kemudiannya, wakil parti itu Mohd Salleh Man menewaskan Rohaizat Othman daripada BN dengan majoriti 4,551 undi.

Selang beberapa minggu kemudiannya, kematian ADUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan, Azman Mohammad Noor daripada BN, membolehkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding menentang Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohamad Omar.

Seperti dijangka, Mohd Isa menang dengan yang memperoleh 8,013 undi menewaskan lawannya itu dengan majoriti 5,435 undi iaitu 110 peratus peningkatan berbanding majoriti 2,333 undi yang dicatat oleh BN pada pilihan raya umum lepas.

Pada 24 Nov lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat perintah Mahkamah Rayuan bagi penggantungan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kedah kawasan Kota Siputeh, ekoran kegagalan wakil rakyatnya, Datuk Abu Hassan Sarif daripada BN, menghadiri persidangan sebanyak dua kali berturut-turut.

Selasa, 22 Disember 2009

Hebatnya Malaysia, boleh 'menghilangkan' enjin jet tentera

Lepas satu, satu lagi episod lawak antarabangsa dihidangkan oleh pemerintah 1Malaysia untuk hiburan penduduk bumi di abad ke 21 yang setiap saatnya terkandung ribuan juta informasi.

Episod kali ini melibatkan agensi pertahanan negara yang tidak sepatutnya menjadi aktor dalam cerita komedi ini. Tapi inilah realitinya bila pemerintah negara dipilih dari kalangan "badut berbibir merah".

Mungkin secara sinisnya kehilangan enjin jet pemintas berharga RM50 juta pada ketika DS Najib sebagai Menteri Pertahanan dan TS Azizan sebagai Panglima TUDM tidak ubah seperti hilangnya carburetor pada enjin motosikal EX5.

Atas alasan itulah mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap agensi itu boleh tidur nyenyak seolah-olah aset berharga RM50 juta itu tidak bernilai langsung kepada negara.

Di ketika 1Malaysia kecoh dengan perkhabaran itu, PM 1Malaysia tampil memberikan jaminan tidak akan menutup kes yang berlaku pada 2007 ketika beliau masih lagi menjadi menteri berkenaan.

Kata Najib, beliau sendiri yang mengarahkan aduan polis dibuat apabila menyedari tentang kejadian tersebut. Tapi tidak pula dinyatakan tarikh sebenar laporan itu dibuat, menurut sumber setahun selepas insiden itu berlaku. Kalau betul sumber itu, mengapa perlu ambil masa yang terlalu lama untuk buat laporan polis?

Atau mungkin laporan itu dibuat sehari selepas Menteri Pertahanan sekarang ini, DS Zahid Hamidi mendedahkannya Sabtu lalu, enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpengkalan di Afrika Selatan.

Walau apa pun, insiden kecurian ini mendedahkan kepada umum kepincangan yang ada pada agensi keselamatan negara kini dan sekaligus mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.

Saranan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz supaya dipanggil Sidang Khas Parlimen ada asasnya. Insiden ini perlu dibincangkan di peringkat pembuat dasar agar keselamatan negara dapat dibaikpulih dengan segera.

Dalam konteks keselamatan ini kepentingan umum perlu didahulukan. Insiden-insiden pencerobohan markas ATM dan berulangnya episod-episod kelakar kebelakangan ini membuktikan pencapaian prestasi Kementerian Pertahanan bukan menjadi keutamaan kepada mereka.

Ini perlu dibincangkan hingga selumatnya, keselamatan negara bukanlah perkara yang boleh dimain-main. Siasatan menyeluruh berkaitan kes akan dapat merungkai kekalutan yang ditimbulkan.

Oleh itu, perlunya pembentukan satu jawatankuasa khas yang diberi kuasa penuh untuk menyiasat sesiapa saja tanpa mengira status atau kedudukannya. Agensi yang bertanggungjawab iaitu PDRM tidak boleh diharap langsung, gagal berfungsi dan memainkan peranannya. Ini terbukti bila PM mendedahkan laporan polis yang telah dibuat ketika beliau masih lagi menteri di kementerian itu.

Polis perlu sedar, organisasi mereka kini sedang diheret untuk dikambing hitamkan. Mereka perlu tampil menjelaskan kepada umum, mengapa sampai sekarang tidak ada satu pun kenyataan mereka berkaitan siasatan kes ini? Sekiranya ada penyiasatan, kenapakah ianya tidak menemui pengakhirannya? Atau, mungkinkah polis mengkategorikan kes ini sama seperti kes kehilangan duit syiling dalam poket seluar di rumah?

Insiden sebesar benua asia ini harus dipertanggungjawabkan terus kepada mereka yang tertinggi dalam agensi keselamatan negara, bukannya ditujukan kepada anggota bawahan lain-lain pangkat seperti kenyataan DS Zahid Hamidi.

Terbaru Zahid memberitahu, empat anggota ATM telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota bawahan lain-lain pangkat yang turut terlibat menghilangkan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM.

Situasi sebeginilah sudah pasti menimbulkan kegelisahan kepada anggota-anggota bawahan ATM, sekiranya nasib tidak baik akan tersenarai dalam 'ramai lagi anggota bawahan' yang akan dikambing hitamkan bagi menutup kelemahan mereka yang berada di atas.

Menteri dan panglima yang terlibat ketika kejadian mesti tampil mengaku kelemahan dan bertanggungjawab di atas segala kecelaruan yang berlaku. Janganlah pula hilang sebagaimana hilangnya enjin-enjin jet F-5E (meminjam kata-kata Mahfuz) yang bukannya sebesar 'çarburetor motosikal EX5'.

Rabu, 16 Disember 2009

Menziarahi Ketua Pengarang Harakah


Ketika sidang Dewan Rakyat berhenti rehat tengahari tadi, saya sempat menziarahi Saudara Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah di rumahnya. Beliau baru beberapa hari saja menjalani rawatan jantung kali kedua iaitu prosedur angioplasty untuk memasukkan balon dan tongkat bagi membuka dua saluran jantungnya yang tersumbat.

Beliau adalah seorang yang mempunyai pemikiran terbuka, kritis dan bersemangat kental yang berjuang melalui mata penanya sejak sekian lama. Beliau adalah seorang yang berjasa besar kepada Harakah dan bekerja untuk jemaah Islam.

Semoga kesihatan beliau pulih seperti sediakala untuk meneruskan perjuangan murni memartabatkan Islam tercinta melalui ketajaman mata penanya.

Penjelasan Exco S.Manikumar berkaitan isu perkuburan Hindu di Ladang Batu Pekaka



Kedah sasar ke final


SELEPAS beraksi cemerlang dengan mengikat tuan rumah, Singapura, 1-1 malam kelmarin, Kedah tidak akan berdiam diri sebaliknya mahu mencipta sejarah dalam pertemuan separuh akhir kedua Piala Emas Raja-Raja di Stadium Darulaman, Alor Setar, Sabtu ini.

Dikendalikan bekas pemain kebangsaan era 80-an dan awal 90-an, Mohamad Ramlee, skuad Hijau Kuning memerlukan kemenangan dalam perlawanan penentuan itu bagi melangkah ke final dan memadamkan prestasi hambar yang dialami dalam saingan Liga Malaysia musim lalu.

“Kami tiada pilihan melainkan mencipta kejayaan untuk mengotakan matlamat asal pembentukan pasukan yang mahu bersaing hingga ke final,” kata pengurus pasukan, Firdaus Jaafar, yang juga Ahli Parlimen Jerai ketika ditemui di Gurun, Kedah, semalam sebaik pulang dari Singapura.

Katanya, pemainnya pasti berdepan saingan sengit kerana pelawat yang turut disertai tiga pemain kebangsaan republik itu tentu tidak mahu dikecewakan lagi di gelanggang lawan.

Menurutnya, pemain Kedah berada di tahap terbaik pada masa ini dan berharap sorakan penonton tempatan dan peminat setia yang bakal membanjiri Stadium Darulaman akan menyuntik kemenangan bermakna.

Dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, kelmarin, Kedah berjaya mengikat Singapura menerusi gol Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-70 selepas tuan rumah mendahului pada minit ke-51 menerusi ketua pasukan, Nazri Nasir.

Berdasarkan prestasi pemainnya, Firdaus yakin Mohamed yang dibantu penolong jurulatih, Idris Man dan Hussin Jaafar, yakin skuadnya mempunyai peluang untuk mempamerkan persembahan menarik.

Ahad, 13 Disember 2009

Puncak Piala Emas Raja-Raja : Kedah seri dengan Singapura

Kedah mencatatkan keputusan seri 1 - 1 dengan Singapura dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung malam tadi.

Singapura mendahului pada minit 51 menerusi jaringan Nazri Nasir. Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke 70 melalui Mohd Faizal Abu Bakar.

Kedah akan menanti kunjungan Singapura pada 19 Disember ini untuk separuh akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Setar.

Khamis, 10 Disember 2009

Piala Emas Raja-Raja : Kedah Janjikan Kejutan Berdepan Singapura

ALOR SETAR, 10 Dis (Bernama)-- Skuad bola sepak Piala Emas Raja-Raja Melayu Kedah yang berjaya melayakan diri ke peringkat separuh akhir perlu berusaha bersungguh-sungguh jika berhasrat menjulang piala itu sebagai hadiah buat peminat di negeri ini.

Pasukan itu akan bertemu Singapura pada perlawanan separuh akhir pertama di Singapura Sabtu ini dan mereka harus menundukkan pasukan itu untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Ketua jurulatihnya, Mohamad Ramlee berkata walaupun skuadnya dijangka menghadapi laluan sukar menentang Singapura di gelanggang lawan, namun beliau tetap menaruh keyakinan anak buahnya mampu membuat kejutan.

"Singapura adalah sebuah pasukan yang mantap dan jika kita mampu seri, itu sudah memadai sebagai bekalan untuk perlawanan separuh akhir kedua di hadapan penyokong sendiri," katanya selepas sesi latihan skuad itu di sini Khamis.

Ramlee berkata, skuad itu juga telah mendapatkan khidmat empat orang pemain Liga Super Kedah iaitu Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Syafiq Jamal, Mohd Fazliata Taib dan juga penjaga gol Mohd Al-Hafiz Hamzah untuk memantapkan pasukan.

Tahun lepas, Kedah tersingkir pada pusingan awal dan beliau menganggap pencapaian mara ke separuh akhir adalah satu peningkatan besar bagi pasukan itu.

Pada suku akhir kedua Sabtu lalu, Kedah menumpaskan juara bertahan, Kelantan, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 2-2 dalam masa tambahan.

--BERNAMA

Rabu, 9 Disember 2009

Selagi kemiskinan dipolitikkan, mustahil kemiskinan boleh dibasmikan


KEDA adalah sebuah agensi yang berada di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dipengerusikan oleh orang politik dari parti pemerintah di peringkat persekutuan.

Kelmarin media menyiarkan kenyataan Pengerusi KEDA yang baru dilantik, Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang memohon peruntukkan berjumlah RM700 juta bagi melaksanakan projek membasmi kemiskinan dan peningkatan sumber ekonomi penduduk di Kedah.

Bunyinya cukup sedap, tapi, selagi mereka yang bertanggungjawab menguruskan dana itu masih mengamalkan politik sempit seperti yang telah berlaku sejak sekian lama, salurlah walau berapa ratus ribu juta pun peruntukkan, mustahil kemiskinan dapat dibasmikan.

Contohnya cukup jelas di depan mata, 100 unit rumah PPRT di Sungai Tok Pawang yang mula diduduki mereka yang kononnya susah dan miskin selepas hari raya aidilfitri yang lalu.

Pada awalnya, 100 keluarga miskin dipilih berdasarkan penilaian dan saringan yang dilakukan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda. Malangnya kerana campur tangan politik mereka yang kononnya pembela rakyat miskin, 30 nama digugurkan dari senarai itu.

Alasannya, 30 keluarga miskin itu adalah penyokong kuat pembangkang dan tidak layak menerima bantuan rumah PPRT yang kononnya hak mutlak kerajaan persekutuan walaupun mereka disahkan layak menerimanya oleh jawatankuasa penilai.

Akibat dari campur tangan orang-orang politik itu, penyerahannya tertangguh dan rumah yang telah siap itu terbiar hampir setahun. Banyak rumah yang rosak akibat perbuatan vendalisme dan terpaksa mengeluarkan sejumlah belanja untuk membaikinya.

Selepas aidilfitri lalu penerima bantuan PPRT termasuk mereka yang menggantikan 'penyokong kuat pembangkang' mula memasuki perumahan. Maka bermulalah episod hidup baru penghuni PPRT Sungai Tok Pawang ini.

Seorang demi seorang rakyat termiskin yang layak mengikut kategori 'penyokong tegar persekutuan' mula menyeringaikan gigi emasnya apabila tanpa bersabar terus mengisytiharkan aset yang dimiliki secara terbuka.

Rumah-rumah yang pada asalnya tak ada 'porch' mula terpasang 'porch' untuk parking kereta yang boleh dikategorikan mewah bagi seorang penerima bantuan projek perumahan rakyat termiskin. Bumbung-bumbung mula dipasang piring astro, malah ada rumah yang dihias indah.

Berapakah kos untuk sebuah porch tiang chrome berukuran sebegini?

Seperti yang sedia maklum, untuk melayakkan seseorang itu menerima bantuan ini, pendapatan bulanan isi rumah mestilah berada di paras yang paling minima dan kalau tak salah RM600.

Orang yang berada saja yang sanggup bayar untuk siaran tv, kalau mohon JKM confirm tak approve

Kalau dah kereta Pesona palt PJCXXXX baru yang bayaran bulanannya sudah pasti melebihi RM500 sebulan boleh terparking bawah porch di depan rumah, berapakah pendapatan isi rumah keluarga ini? Kos buat porch pun dah mencecah RM1500.00 paling kurang, miskinkah keluarga ini?

Proton Pesona PJCXXXX di bawah porch dan parking bersimen, sebulan lagi rumah ni berpagar pula

Kesimpulan yang boleh diambil, walau banyak mana pun dana disalurkan untuk rakyat termiskin tapi pihak yang bertanggungjawab masih berpolitik sempit maka selagi itulah rakyat termiskin tidak mampu dibasmikan.

Selasa, 8 Disember 2009

Kunjungan hormat Ahli Parlimen Palestine ke Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen

Bergambar bersama-samaAhli-ahli Parlimen Palestine di Pejabat Ahli Parlimen PAS di Tingkat 14, Bangunan Parlimen hari ini.

Isnin, 7 Disember 2009

Tidak ada sebab tolak PAS di Kota Siputeh

Enam nama disebut-sebut sedang menghidu peluang untuk dinobatkan sebagai calon BN bagi kerusi DUN Kota Siputeh yang diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akibat ketidak pekaan bekas wakil rakyatnya terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Keenam-enamnya dilaporkan sedang berlumba-lumba membina empayar masing-masing bagi memberikan gambaran kekuatan dan penerimaan akar umbi terhadap diri masing-masing untuk terpilih sebagai calon dalam PRK Kota Siputeh sekiranya berlaku.

Tinjauan di sekitar Kota Siputeh mendapati ada di antara yang tercatat namanya giat menonjolkan diri di khalayak ramai dan ada yang tidak lekang dengan songkong hitam tinggi yang sinonim dengan parti perkauman itu siang dan malam.

Pergerakan wanita parti itu juga makin giat melobi calon pilihannya seolah-olah pertubuhan berasaskan bangsa itu akur dan taat dengan perundangan yang digunapakai di negara ini.

Walau bagaimanapun keputusan Mahkamah Rayuan 24 November lalu, yang memberi kemenangan sementara kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedikit merencatkan keghairahan mereka yang tidak sabar-sabar menantikan writ PRK bagi N.3 Kota Siputeh dikemukakan.

Di satu pihak lain, PAS yang diberi mandat menggalas cabaran Pakatan Rakyat (PR) di kubu kuat Umno itu terus merangka persiapan dan gerak kerja pilihan rayanya tanpa membayangkan siapakah calon yang bakal dipertaruhkannya bagi membolehkan kubu Umno itu dirobohkan.

Menurut Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak, parti itu telah menyenarai pendek nama-nama calon dan pemilihannya akan memberi keutamaan kepada individu yang boleh diterima rakyat di kawasan itu.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan kekalahan tipis calon PAS, Ismail Wan Teh di tangan calon BN, Dato' Abu Hasan Sarif dengan majoriti hanya 495 undi.

Sekiranya kajian Zentrum Future Studies Malaysia seperti yang dibentangkan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah di Markas PAS Taman Melewar baru-baru dan juga keputusan PRK Bagan Pinang, 11 Oktober lalu diambil kira, nampak seperti tidak ada ruang untuk PAS merobohkan kubu kuat Umno itu.

Sebaliknya, jika semangat dan kerjasama di antara komponen dalam PR semasa siri-siri PRK selepas 8 Mac 2008 diguna pakai, BN nampak goyah untuk mempertahankan kerusi kuatnya itu.

BN nampak seperti takut-takut dan bimbang untuk berdepan dengan PRK di Kota Siputeh walaupun sentiasa menzahirkan kesediaannya menghadapi kemungkinan di situ. Berbeza dengan PAS yang sentiasa mengalu-alukan dan bersemangat meneruskan kemaraan parti itu walaupun dikejutkan dengan kekalahan besar calonnya di Bagan Pinang.

Bagan Pinang dan Kota Siputeh adalah berbeza sama sekali walaupun dikategorikan kubu kuat Umno sejak bumi ini dijadikan. Penganalisa politik mentafsirkan pertembungan kedua-dua parti kali ini adalah di atas padang yang sama rata berbeza sekali dengan apa yang dihidangkan di Bagan Pinang.

Disebabkan faktor itulah Umno dan BN masih terkial-kial mencari rentak di Kota Siputeh walaupun acap kali pemimpin besarnya menterjemahkan kemenangan besar mereka di Bagan Pinang sebagai penerimaan semula rakyat kepada mereka.

Jika dilihat dari aspek pentadbiran negeri, tidak ada sebab pengundi di Kota Siputeh untuk tidak memilih calon yang bakal diketengahkan oleh PAS nanti. Pentadbiran PAS di Kedah terbukti berjaya memberikan keyakinan Ketua Audit Negara seperti yang dizahirkan dalam laporannya baru-baru ini.

Keupayaan kerajaan negeri meningkatkan hasil dan menguruskan kewangan negeri mendapat pujian dan sanjungan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ketika merasmikan sidang DUN Kedah di kala kerusi Kota Siputeh baru diputuskan statusnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saranan Tuanku Sultan agar dicontohi pendekatan kerajaan baginda memajukan negeri membuktikan keupayaan PAS dan PR mentadbir walaupun baru setahun jagung diberi amanah menerajui pemerintahan negeri.

Dalam situasi serba kekurangan dan tekanan dari pemerintah di pusat, kerajaan negeri masih mampu menjana hasil untuk dinikmati bersama selari dengan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Pembatalan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang melibatkan 3000 hektar tanah sawah gred A telah memberikan sinar baru kepada pemilik tanah berkenaan apabila mendapat kembali hak milik mereka yang hampir dilenyapkan oleh pemerintah ketika itu.

Sebagai gantinya, kerajaan negeri telah mengumumkan projek baru yang dikenali sebagai Sungai Limau Hidrocarbon Hub (SULIHH) yang tidak melibatkan air mata rakyat. Projek ini dijangkakan bakal memberikan pulangan RM400j setahun apabila beroperasi kelak.

Pengumuman penurunan cukai tanah bermula dari 25 hingga 75 peratus ketika situasi ekonomi dunia berada di tahap yang meruncing membuktikan keperihatinan kerajaan negeri terhadap permasalahan rakyat di negeri ini.

Peningkatan hasil hutan negeri dari RM8juta kepada RM35juta setahun dengan keluasan hutan yang sama dan peningkatan kutipan royalti hasil bumi sehingga RM19juta setahun menyerlahkan lagi ketelusan pentadbiran hasil maksum negeri yang dipraktikkan oleh kerajaan negeri untuk dinikmati bersama.

Buat pertama kalinya dividen berjumlah RM30juta hasil keuntungan sebelas syarikat kerajaan (GLC) dibayar kepada kerajaan negeri yang sebelum ini tidak pernah dikembalikan sejak ditadbir oleh mereka yang terdahulu. Ini membuktikan tidak berlaku ketirisan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini.

Dari segi ekonomi pula, Kedah berada ditempat kelima dalam carta kemasukan pelabur di negara ini dengan jumlah pelaburan bernilai RM837juta sekaligus menafikan cakap-cakap pihak lawan yang mempertikaikan keupayaan negeri-negeri di bawah pentadbiran PR.

Terbaru, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM4juta bermula Januari 2010 sebagai dana skim khifalah yang diberi kepada semua warga emas tanpa mengira kaum dan agama bagi meringankan bebanan keluarga menguruskan kematian mereka kelak.

Keupayaan PAS dan PR mentadbir negeri dengan lebih baik tidak boleh dinafikan dengan bukti-bukti yang dikemukakan. Tidak seharusnya rakyat di negara ini dan di negeri Kedah khususnya menolak PAS dan PR sebagai pemerintah ketika ini.

Kedah Sejahtera bukan sekadar laungan tetapi dibuktikan sepanjang 18 bulan memegang amanah mentadbir negeri. Tidak ada sebab untuk pengundi di Kota Siputeh menolak PAS sekiranya berlakunya PRK di kerusi itu dalam masa terhampir ini.

Berkunjung ke Taman Gurun Jaya

Sabtu lepas bersama Mr. Micheal dan Mr. Prakash sempat mengunjungi beberapa orang peniaga di Taman Gurun Jaya. Sekadar lawatan biasa untuk bertemu dan ramah mesra serta mengedarkan kalendar 2010 untuk penduduk di sekitar Gurun Jaya.

Selesai lawatan sempat beriadah bersama-sama pemuda-pemuda dari seluruh negeri Kedah yang kebetulan mengadakan program di Gurun Jaya Sport Centre.


Ahad, 6 Disember 2009

Futsal Silaturrahim Pimpinan

Gurun, 5 Dis : 12 DPP Kawasan dari seluruh Kedah berentap sesama sendiri dalam pertandingan Futsal Silaturrahim Pimpinan anjuran Lajnah Sukan dan Kebudayaan DPPN Kedah yang berlangsung di Gurun kelmarin.

Kesemua pasukan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan bermain secara liga pada pusingan awal. Enam pasukan yang menduduki dua tangga teratas dari setiap kumpulan layak ke pusingan kedua.

Pasukan DPPK Alor Setar yang menjadikan DPPK Sik sebagai mangsa mereka pada peringkat separuh akhir dinobatkan sebagai juara apabila menewaskan DPP Kulim/Bandar Baharu pada perlawanan akhir.

DPPK Jerai yang gagal dalam persaingan merebut satu lagi tempat ke final menewaskan DPPK Sik dalam penentuan tempat ketiga. DPPK Sik yang menurunkan pemain berpengalamannya Setpol MB Kedah, Sanusi Md Nor gagal menyekat kemaraan DPPK Jerai.

Sementara itu, DPPK Pokok Sena yang diperkuatkan oleh Adun Bukit Lada, Ustaz Ahmad Izzat Shauki gagal menempatkan pasukan itu dalam kelompok enam pasukan terbaik.

Begitu juga dengan DPPK Kuala Kedah yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar MB Kedah, Helmi Khalid gagal melepasi peringkat awal pertandingan apabila tewas dalam semua perlawanannya.

DPPK Sungai Petani yang menggunakan khidmat pemain berkaliber, Ustaz Yusof Awang turut kecundang di peringkat kumpulan lagi.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Yahaya, Ketua DPPN Kedah selepas tamatnya perlawanan akhir.
DPPK Jerai dan Kuala Kedah bergambar sebelum perlawanan mereka di peringkat kumpulan

Ustaz Izzat yang keletihan ketika pasukannya menentang DPPK Baling

Sanusi menerima hadiah di tempat keempat apabila pasukannya tewas kepada DPPK Jerai

DPPK jerai menerima hadiah ketiga Futsal Silaturrahim

DPPK Kulim Bandar Baharu pemenang kedua

Bergambar bersama juara DPPK Alor setar

Bahas bajet Kementerian Kerja Raya

Piala Emas Raja-Raja : Kedah tewaskan Kelantan

Kedah melangkah ke peringkat separuh akhir dalam persaingan merebut Piala Emas Raja-Raja siri ke-69 apabila menewaskan Kelantan menerusi sepakan penalti.


Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas tamat masa permainan sebenar dan berlarutan ke masa tambahan. Selepas 120 minit bertarung, penjaga gol Kedah, Mohd Al-Hafiz menjadi wira hijau kuning apabila menggagalkan dua sepakan penalti pemain Kelantan.

Kedah mendahului seawal minit ke-3 apabila tandukan Chun Keng Hong gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan, Halim Napi.

Kelantan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian sebelum Kedah mendahului semula melalui jaringan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-35.

Pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua sebelum pemain Kedah, Mohd Sany Mat Isa diperintahkan keluar padang. Kelantan gagal memanfaatkan keadaan untuk menambahkan jaringan ketika Kedah bermain sepuluh orang.

Kedudukan terus terikat sehingga tamat permainan sebenar. Pada masa tambahan, seorang pemain Kelantan diberikan kad merah dan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol sehingga permainan masa tambahan berakhir.

Kedah akan bertandang ke Singapura untuk perlawanan separuh akhir pertama pada 12 Disember ini.

Jumaat, 4 Disember 2009

Jawapan lisan sidang parlimen 02/12/09

Soalan
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, jumlah miskin tegar di bandar mengikut negeri-negeri yang telah menerima pemberian 10,000 Unit Amanah Saham 1Malaysia sehingga 30 September 2009.

Jawapan
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Datuk Seri Panglima Lajim Ukin]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pemberian 10,000 unit saham kepada miskin tegar di bandar ialah sebenarnya Amanah Saham Wawasan bukannya Amanah Saham 1Malaysia.

Sehingga 30 September 2009, bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di bandar yang telah didaftar untuk menerima Unit ASW bandar ini adalah seperti berikut:


Bagi Wilayah Persekutuan, seramai 102 orang dan akan dilaksanakan pelancarannya ataupun penyerahan buku pelaburan yang mana program ini akan dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat pada satu hari nanti.

Soalan tambahan
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri yang telah memberi jawapan penuh mengikut laporan setiap negeri.

Perlu kita faham Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga masing-masing dalam hal untuk
membasmi kemiskinan.

Cuma, persoalan saya adalah, kalau betul pemberian itu wujud dan memang diwujudkan seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri tadi, apakah mekanisme yang digunakan kerajaan untuk menentukan golongan yang betul-betul dapat faedah itu dapat dimanfaatkan?

Ini kerana kami pihak Pakatan Rakyat juga ingin tahu apakah prasyarat, kelayakan-kelayakan yang sepatutnya ada untuk kita mengemukakan cadangan-cadangan supaya kita dapat sama-sama membasmi kemiskinan tegar di pinggiran bandar ini. Kita tidak mahu sepertimana cari-cari yang hanya dapat disahkan oleh ADUN BN sahaja.

Ini yang berlaku di Jerailah. Jadi, saya pohon kepada kementerian, bagaimana cara dan pendekatan yang boleh kami sama-sama membantu dan memastikan dapat kita atasi kemiskinan ini?

Jawapan
Datuk Seri Panglima Lajim Ukin: Terima kasih Yang Berhormat Jerai. Sebenarnya, bantuan ini adalah menyeluruh. Bukan sahaja kepada mereka yang menyokong kerajaan kerana bagi kerajaan, rakyat yang miskin perlu dibantu.

Jadi, untuk makluman Yang Berhormat, pertamanya mereka yang layak ialah mereka yang telah berdaftar dengan e-Kasih iaitu di Jabatan Perdana Menteri ICU.

Keduanya, mereka tidak pernah menerima apa-apa juga saham daripada kerajaan ataupun Saham Bumiputera dan juga Amanah Saham Sejahtera dan tidak mempunyai simpanan RM1000 dalam akaun mereka melalui mana-mana juga pendapatan ataupun saham.

Ketiga, mereka tidak muflis. Kalau kriteria-kriteria ini ada pada mereka, dan mereka layak untuk menerima.

Bahas bajet Kementerian Pelancongan

Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi keizinan kepada saya untuk membahaskan butiran Kementerian Pelancongan. Butiran 030000 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. Kita mohon kepada kementerian supaya mengemaskinikan semula dan memberi sokongan yang padu kepada, khususnya daerah-daerah yang dikatakan dikenali sebagai daerah pelancongan.

Dalam kawasan Jerai, ada daerah Yan yang kita namakan Daerah Pelancongan dan Daerah Bersih. Apa yang terdapat di sana adalah pelbagai aktiviti pelancongan termasuk Gunung Jerai, Tangga Kenari, pengusaha homestay, chalet dan sebagainya.

Kemudian, Butiran 00800 – Kajian-kajian Pelancongan. Saya ingin tahu, bagaimanakah one-stop centre yang telah diwujudkan di semua negeri? Bagaimana peranannya, dan bagaimana ia dapat memberi info kepada pelancong dan pengusaha-pengusaha pelancongan ini, supaya dapat dikongsi bersama? Sejauh manakah keberkesanannya terhadap pengusaha-pengusaha chalet, homestay dan sebagainya?

Untuk perhatian, perlu dibuat kajian kerana terdapat di kawasan Jerai, deretan jualan jagung yang sudah pun menjangkau usia 40 tahun lebih. Namun, ia dilihat tidak dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Ini termasuk juga Terusan Wan Mat Saman yang suatu masa dahulu merupakan sejarah aliran air untuk sawah padi. Ia menjadi sejarah dalam negara kita juga, dan seolah dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelancongan. Kita pohon jualan jagung ini yang diwarisi turun-temurun, juga diberi pampasan dan juga diberi galakan kajian untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan dalam negara kita.

Kemudian Tuan Pengerusi, termasuk juga Butiran 01100 – Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan. Ini juga perlu diambil kira, kerana Parlimen Jerai dan kawasan Yan merupakan destinasi terbaik untuk dijadikan destinasi pelancongan pada masa kini. Maka, kita pohon kepada pihak kementerian supaya memberi peruntukan kepada destinasi ini, termasuk kawasan-kawasan yang telah pun diberi penumpuan seperti Titi Hayun, Batu Hampar, Chalet Salak Denai dan Seri Ayu, yang pada hari ini hanya diusahakan oleh individu sahaja. Maka dengan Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan ini. ia dapat membantu pengusaha-pengusaha menjadikan pelancongan tempatan domestik.

Kemudian, Butiran 02600 – Program Pembangunan Papan Tanda dan Papan Penerangan Pelancongan. Papan tanda merupakan info awal kepada pelancong dan kepada kita semua. Jika mana papan tanda ini berkarat, patah dan lusuh warnanya, ia tidak menggambarkan destinasi sebenarnya. Maka, agak malanglah. Maka, saya pohon kepada pihak kementerian supaya mengenal pasti dan membaik pulih papan-papan tanda ini, seperti mana yang terdapat sebelum ini billboard besar, terdapat zoom yang dibuat oleh Menteri yang lalu. Ke mana hala tuju yang sebenarnya? Kita pohon kementerian mestilah membaik pulih papan tanda ini, kerana ia memberi pandangan awal dan semangat kepada pelancong untuk berada di tempat tersebut, dengan memandang kepada papan tanda yang memberi penarikan kepada pelancongan.

Kemudian Butiran 02800 – Program Peningkatan Kemudahan Homestay. Ramai Menteri menyebut homestay ini merupakan projek syok sendiri. Kita pohon kementerian supaya mengenal pasti semula... (diganggu)

Ini ucapan Menteri, yang mana telah pun dilancarkan pada tahun... [Disampuk] Menteri jawablah. Dilancarkan pada tahun 1988 dan dirasmikan pada tahun 1995. Ini kerana, di kawasan Parlimen Jerai, banyak terdapat homestay ini. Apabila Menteri pada peringkat awal menyebut ia merupakan projek suka sendiri ini, ia menggemparkan kita semua, dan kita mohonlah supaya projek ini dapat diberi nafas baru, dan kemudian diberi peruntukan, khususnya masyarakat berpendapatan sederhana, supaya mampu untuk mengadakan homestay ini.

Khususnya di kawasan Jerai, saya kira hampir 40 homestay diwujudkan oleh pengusaha-pengusaha anak tani ini. Disebabkan kawasannya kawasan pelancongan, jadi inilah pendirian terdahulu Menteri yang baru mengendalikan projek homestay ini, kita minta supaya diberi nafas baru dan memberi galakan kepada pelancong supaya mereka boleh merasai kenikmatan kampung dan boleh memilih hotel, chalet dan sebagainya.

Saya pohon pihak kementerian supaya melihat semula destinasi pelancongan Jerai, kawasan Parlimen Jerai yang terdapat Gunung Jerai, yang merupakan antara gunung yang berada di tengah bandar, yang dikelilingi bandar Gurun dan bandar Yan, yang sudah tentulah menjadi tarikan kepada pelancongan. Mudah-mudahan, ia memberi penambah ekonomi kepada rakyat Jerai itu sendiri.

Jawapan lisan sidang parlimen 03/12/09

Soalan :
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Pelajaran menyatakan, berapakah jumlah sekolah-sekolah agama rakyat negeri yang masih beroperasi dan apakah Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memberi bantuan tahunan bagi meneruskan operasi pengajian agama ini.

Jawapan :
Timbalan Menteri Pelajaran I [Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong]: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelajaran Malaysia menyedari akan peranan semua sekolah dalam arus pembangunan negara termasuk sekolah agama. Sehubungan itu, dalam perancangan negara, seperti melalui Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 hingga 2010, Kementerian Pelajaran telah memberi tumpuan dalam semua aspek pendidikan termasuk peruntukan pembangunan dan mengurus bukan sahaja kepada sekolah kerajaan tetapi juga kepada sekolah bantuan kerajaan termasuklah sekolah agama negeri (SAN) atau Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah berdaftar di bawah Kementerian Pelajaransebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan atau lebih dikenali sebagai (SABK).

Kerajaan menyarankan supaya SAR dan SAN berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SABK akan menikmati bantuan sumbangan modal dan sumbangan bantuan penuh seperti yang dinikmati oleh sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain.

Dari segi bantuan per kapita, SABK juga telah mendapat kadar bantuan per kapita yang sama dengan sekolah-sekolah kerajaan dan sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat 2,296 buah sekolah rendah berasaskan agama dalam negara ini. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada 1,095 Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan 1,201 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) tidak termasuk ratusan kelas-kelas KAFA yang diwujudkan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Kesemuanya didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Setakat ini, 78 buah sekolah melaksanakan sesi persekolahan sepenuh masa dan mempunyai murid sendiri. Manakala, selebihnya 2,218 melaksanakan sesi persekolahan tidak sepenuh masa dan murid-muridnya terdiri daripada murid-murid sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Masalah dasar yang wujud ialah KPM tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kebanyakan Sekolah Rendah Agama kecuali sekolah-sekolah yang telah berdaftar sebagai SABK. Sementara, sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dan di bawah Kementerian Pelajaran tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Ekoran daripada itu, banyak perkara tidak boleh dilakukan oleh KPM untuk membantu seperti penempatan guru, bantuan per kapita, bantuan kepada murid dan lain-lain. Bantuan yang boleh diberikan hanyalah bantuan sumbangan atas budi bicara Menteri Pelajaran berdasarkan seksyen 52 Akta Pendidikan 1996. Itu pun hanya untuk SRAR, tidak sepenuh masa yang melaksanakan kurikulum KAFA sahaja. Sehingga kini, sebanyak 156 daripada 1,731 buah Sekolah Agama Rakyat KAFA telah pun berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Soalan tambahan :
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sekolah Agama Rakyat seperti mana yang kita sedia maklum telah ditubuhkan oleh rakyat berkaitan apabila ada seorang tokoh ilmuwan maka tertubuhlah Sekolah Agama Rakyat.

Malangnya pada tahun 2000 menjadi detik hitam bagi Sekolah Agama Rakyat seluruhnya apabila ditarik balik bantuan per kapita tadi. Setelah tahun 2005, barulah kementerian membuka cadangan supaya didaftar sebagai SABK. Persoalan saya, setelah kita bertemu dengan hak milik atau warisan sekolah tersebut, mereka bertanyakan apakah status setelah mereka mendaftar sebagai SABK, apakah hak milik mereka dan warisan terancam?

Yang kedua, bagaimana dengan Sukatan Al-Azhar yang telah melahirkan ramai pelajar ke Al-Azhar daripada sukatan Al-Azhar ini? Jadi apabila SABK tidak ada sukatan ini menyebabkan produk mereka, kelahiran anak Al-Azhar agak sukar.

Yang ketiganya, apakah kementerian bagi memastikan 1Malaysialah, rakyat didahulukan, sekolah agama ini diteruskan diberi bantuan tidak perlu daftar di bawah SABK dikembalikan sebelum tempoh tahun 2000 yang lalu untuk meneruskan tradisi persekolahan sekolah agama rakyat tanpa mereka mendaftar, mereka mendapat bantuan seperti sebelum ini.

Jawapan :
Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya tentang pendaftaran sekolah agama ini merupakan satu perkara yang wajib kerana kalau Kementerian Pelajaran hendak menghantar guru atau memberikan bantuan per kapita kepada sekolah ini, itu sebagai satu prosedur yang perlu dipatuhi. Kalau kita lihat klasifikasi sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, kita ada sekolah bantuan kerajaan dan bukan sahaja sekolah agama.

Ada sekolah jenis lain pun di bawah sekolah bantuan kerajaan. Apa yang saya hendak maklumkan kepada Dewan yang mulia ini ialah status ataupun kalau hak milik tanah itu tetap menjadi hak milik Lembaga ataupun amanah bagi sekolah tersebut, itu tidak menjadi masalah. Kita tidak merampas hak milik itu. Itu kita bagi jaminan, yang pertama.

Kedua, dari segi pengoperasian sekolah itu, kita membantu. Sepertimana yang telah saya jelaskan tadi, bantuan per kapita pendapatan guru kesemuanya kita bagi. Sebab itu kita menggalakkan SAR yang belum berdaftar datang berdaftar dengan kita dan fasa akan datang pun kita sedang berbincang, banyak lagi SAR yang sedang berbincang dan berunding dengan kementerian untuk dijadikan SABK.

Saya rasa ini adalah satu perkembangan yang positif dan kita memang melihat di Kelantan ataupun di Johor pun nampaknya sambutan begitu menggalakkan, tetapi kita kena tetapkan prosedur dan kita perlu mengenakan syarat bahawa kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian itu perlu dipatuhi.

Apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi tentang kemasukan ke Universiti Al- Azhar. Sebenarnya, di bawah Kementerian Pelajaran pun kita sediakan STAM dan 14 mata pelajaran itu sebenarnya direka bentuk berdasarkan kepada kemasukan ataupun pengiktirafan untuk memenuhi syarat minimum untuk memasuki Universiti Al-Azhar. Itu tidak menjadi masalah.

Jadi, saya rasa jelas bahawa kita hendak membantu sekolah agama rakyat dan sebab itulah menyeru supaya mereka menjadi sebahagian daripada kita supaya kita boleh bantu. Akan tetapi, ini juga tertakluk kepada kemampuan kewangan kita mengurus.

Bahas bajet KKLW

Rabu, 2 Disember 2009

Tidak mahu agihan saham di kawasan Adun, MP BN sahaja

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Jerai Ustaz Firdaus Jaffar tidak mahu agihan saham Amanah Saham 1Malaysia hanya tertumpu dan disalurkan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Adun atau Ahi Parlimen BN sahaja.

Beliau yang membangkit persoalan tersebut di Dewan Rakyat pagi tadi mahu pengagihan ini diberi secara menyeluruh bagi membanteras kemiskinan yang ada di setia negeri.

Firdaus sebelum itu meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah miskin tegar di bandar mengikut negeri-negeri yang telah menerima pemberian 10,000 unit Amanah Saham 1Malaysia sehingga 30 September 2009.

Menjawab soalan tambahan tersebut, Timbalan Menterinya Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin (BN-Beaufort) memberitahu bahawa agihan tersebut diberikan tanpa mengira sama ada ianya di bawah kawasan wakil rakyat BN mahupun pembangkang.

Beliau menjelaskan bantuan yang diberikan secara menyeluruh ini adalah berdasarkan ciri-ciri kelayakan yang telah ditetapkan seperti penduduk miskin itu telah mendaftar di e-kasih, tidak pernah mempunyai saham sebelum ini, tidak ada mempunyai simpanan RM1,000 dan tidak muflis.

Terdahulu Lajim memberitahu bahawa pemberian unit saham kepada miskin tegar di bandar ialah Amanah Saham Wawasan dan bukannya Amanah Saham 1Malaysia.

Sejumlah 42 orang di Melaka telah menerima saham berjumlah RM420,000 manakala 88 penduduk miskin tegar di Pahang telah menerima saham berjumlah RM880,000, kata Lajim di Dewan Rakyat.

Busyuknya Umno

Sehari dua ini pemimpin-pemimpin Umno pakat berlumba-lumba memberikan komen tentang beberapa isu yang menjadi topik utama media arus perdana.

Bermula dengan isu pengharaman kursus BTN di Selangor, diikuti pulak isu doa TGNA yang membuatkan PM 1Malaysia kecut perut yang mendorong puluhan manusia berdemontrasi di depan pejabat MB Kelantan, dan akhirnya isu pijak gambar 3 orang Adun Bebas semasa konvensyen DAP di Perak.

Penubuhan BTN pada 1981 bermatlamatkan untuk mencipta semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia dengan hasrat mewujudkan satu negara dan bangsa yang kuat dan bermaruah melalui rancangan latihan dan penyelidikan kemasyarakatan.

Sebaliknya objektif itu tidak diadaptasikan dalam kursus yang dikendalikan oleh BTN. BTN mempergunakan kursus yang diwajibkan itu untuk menyebarkan ideologi politik pemerintah dan pada waktu yang sama turut memesongkan pemikiran peserta dengan semangat perkauman yang sempit yang menjadi teras perjuangan Umno.

Buktinya, pada 22 Mei 2009, The Star menyiarkan laporan bahawa BTN terlalu menekankan hak rakyat berasaskan perkauman hinggakan ia menyebabkan perpecahan antara kaum. Itu baru satu, banyak lagi komen-komen berkaitan dengan BTN yang tidak disiarkan media perdana. Siapa yang pernah dipaksa mengikutinya tentu ada kenangan pahit kursus ini.

Molek sangatlah keputusan kerajaan Selangor mengharamkan penyertaan kakitangan dan pelajar-pelajarnya dari terus dipesongkan oleh BTN. Kursus ini hanya sesuai untuk ahli-ahli pemuda, puteri dan putera Umno sahaja.

Berbalik isu doa TGNA, Perdana Menteri 1Malaysia dan pemimpin Umno yang lain sedar akan kemujaraban doa orang yang mereka zalimi, sebab itulah pakat ketaq dagu. Ada Hadis Nabi s.a.w yang menyebabkan mereka takut, iaitu :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ
مُعَاذاً إِلَى الْيَمَنِ وَقَال لَهُ : "اِتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُوْمِ ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا
وَبَيْنَ اللهِ حِجَابٌ

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan Beliau berkata kepadanya : "Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". H.R. Bukhari dan Muslim

Nabi Musa a.s pernah berdoa memohon Allah menghancur dan membinasakan Fir’aun dan para pengikutnya, iaitu :

رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلأَهُ زِيْنَةً وَأَمْوَالاً فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّواْ عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلاَ يُؤْمِنُواْ حَتَّى يَرَوُاْ الْعَذَابَ الأَلِيمَ

“Ya Tuhan kami, engkau telah memberi kepada Fir’aun dan para pegawai kaumnya berupa perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Ya Tuhan kami ini semua mengakibatkan mereka menyesatkan manusia (hamba-hamba-Mu), dari jalan-Mu. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta-benda mereka dan kunci matilah hati mereka. Mereka tidak akan beriman dan kembali kepada jalan yang benar sebelum melihat siksaan-Mu yang pedih.” (Q.S. Yunus/10 : 88)

Najib dan kerajaan Malaysia menzalimi kerajaan Kelantan bila bertersuan menafikan haknya terhadap royalti petroleum. Jadi tidak ada salahnya TGNA berdoa memohon Allah menghancurkan mereka yang menzalimi Kelantan dan rakyat-rakyatnya.

Mengapa perlu Najib dan pemimpin Umno lain takut dengan doa itu sampai berdemontrasi mendesak TGNA tarik balik doa dan letak jawatan?

Isu pijak gambar Adun Bebas semasa konvensyen DAP di Perak, kenapa sibuk sangat pemimpin Umno nak komen?

Sedarlah, perbuatan yang lebih biadap lagi Umno pernah buat kalaulah insiden itu disifatkan tidak beretika. Cuba ingat balik insiden bakar gambar Lim Guan Eng yang berlaku di Pulau Pinang, insiden pijak kepala lembu di Shah Alam, koyak gambar Ustaz Azizan di Kedah dan banyak lagi insiden-insiden lain.

Kenapa bila yang buat itu pembangkang, pakat-pakat kata tidak beradap? Tapi bila Umno yang buat pakat-pakat komen, itu tindakan yang berasas dan dituntut dalam Umno.