Jumaat, 4 Disember 2009

Jawapan lisan sidang parlimen 03/12/09

Soalan :
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Pelajaran menyatakan, berapakah jumlah sekolah-sekolah agama rakyat negeri yang masih beroperasi dan apakah Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memberi bantuan tahunan bagi meneruskan operasi pengajian agama ini.

Jawapan :
Timbalan Menteri Pelajaran I [Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong]: Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelajaran Malaysia menyedari akan peranan semua sekolah dalam arus pembangunan negara termasuk sekolah agama. Sehubungan itu, dalam perancangan negara, seperti melalui Rancangan Malaysia Kesembilan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 hingga 2010, Kementerian Pelajaran telah memberi tumpuan dalam semua aspek pendidikan termasuk peruntukan pembangunan dan mengurus bukan sahaja kepada sekolah kerajaan tetapi juga kepada sekolah bantuan kerajaan termasuklah sekolah agama negeri (SAN) atau Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang telah berdaftar di bawah Kementerian Pelajaransebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan atau lebih dikenali sebagai (SABK).

Kerajaan menyarankan supaya SAR dan SAN berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SABK akan menikmati bantuan sumbangan modal dan sumbangan bantuan penuh seperti yang dinikmati oleh sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain.

Dari segi bantuan per kapita, SABK juga telah mendapat kadar bantuan per kapita yang sama dengan sekolah-sekolah kerajaan dan sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang lain.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat 2,296 buah sekolah rendah berasaskan agama dalam negara ini. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada 1,095 Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan 1,201 Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) tidak termasuk ratusan kelas-kelas KAFA yang diwujudkan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Kesemuanya didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Setakat ini, 78 buah sekolah melaksanakan sesi persekolahan sepenuh masa dan mempunyai murid sendiri. Manakala, selebihnya 2,218 melaksanakan sesi persekolahan tidak sepenuh masa dan murid-muridnya terdiri daripada murid-murid sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Masalah dasar yang wujud ialah KPM tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kebanyakan Sekolah Rendah Agama kecuali sekolah-sekolah yang telah berdaftar sebagai SABK. Sementara, sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dan di bawah Kementerian Pelajaran tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Ekoran daripada itu, banyak perkara tidak boleh dilakukan oleh KPM untuk membantu seperti penempatan guru, bantuan per kapita, bantuan kepada murid dan lain-lain. Bantuan yang boleh diberikan hanyalah bantuan sumbangan atas budi bicara Menteri Pelajaran berdasarkan seksyen 52 Akta Pendidikan 1996. Itu pun hanya untuk SRAR, tidak sepenuh masa yang melaksanakan kurikulum KAFA sahaja. Sehingga kini, sebanyak 156 daripada 1,731 buah Sekolah Agama Rakyat KAFA telah pun berdaftar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Soalan tambahan :
Tuan Mohd Firdaus Jaafar [Jerai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sekolah Agama Rakyat seperti mana yang kita sedia maklum telah ditubuhkan oleh rakyat berkaitan apabila ada seorang tokoh ilmuwan maka tertubuhlah Sekolah Agama Rakyat.

Malangnya pada tahun 2000 menjadi detik hitam bagi Sekolah Agama Rakyat seluruhnya apabila ditarik balik bantuan per kapita tadi. Setelah tahun 2005, barulah kementerian membuka cadangan supaya didaftar sebagai SABK. Persoalan saya, setelah kita bertemu dengan hak milik atau warisan sekolah tersebut, mereka bertanyakan apakah status setelah mereka mendaftar sebagai SABK, apakah hak milik mereka dan warisan terancam?

Yang kedua, bagaimana dengan Sukatan Al-Azhar yang telah melahirkan ramai pelajar ke Al-Azhar daripada sukatan Al-Azhar ini? Jadi apabila SABK tidak ada sukatan ini menyebabkan produk mereka, kelahiran anak Al-Azhar agak sukar.

Yang ketiganya, apakah kementerian bagi memastikan 1Malaysialah, rakyat didahulukan, sekolah agama ini diteruskan diberi bantuan tidak perlu daftar di bawah SABK dikembalikan sebelum tempoh tahun 2000 yang lalu untuk meneruskan tradisi persekolahan sekolah agama rakyat tanpa mereka mendaftar, mereka mendapat bantuan seperti sebelum ini.

Jawapan :
Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya tentang pendaftaran sekolah agama ini merupakan satu perkara yang wajib kerana kalau Kementerian Pelajaran hendak menghantar guru atau memberikan bantuan per kapita kepada sekolah ini, itu sebagai satu prosedur yang perlu dipatuhi. Kalau kita lihat klasifikasi sekolah di bawah Kementerian Pelajaran, kita ada sekolah bantuan kerajaan dan bukan sahaja sekolah agama.

Ada sekolah jenis lain pun di bawah sekolah bantuan kerajaan. Apa yang saya hendak maklumkan kepada Dewan yang mulia ini ialah status ataupun kalau hak milik tanah itu tetap menjadi hak milik Lembaga ataupun amanah bagi sekolah tersebut, itu tidak menjadi masalah. Kita tidak merampas hak milik itu. Itu kita bagi jaminan, yang pertama.

Kedua, dari segi pengoperasian sekolah itu, kita membantu. Sepertimana yang telah saya jelaskan tadi, bantuan per kapita pendapatan guru kesemuanya kita bagi. Sebab itu kita menggalakkan SAR yang belum berdaftar datang berdaftar dengan kita dan fasa akan datang pun kita sedang berbincang, banyak lagi SAR yang sedang berbincang dan berunding dengan kementerian untuk dijadikan SABK.

Saya rasa ini adalah satu perkembangan yang positif dan kita memang melihat di Kelantan ataupun di Johor pun nampaknya sambutan begitu menggalakkan, tetapi kita kena tetapkan prosedur dan kita perlu mengenakan syarat bahawa kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian itu perlu dipatuhi.

Apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat tadi tentang kemasukan ke Universiti Al- Azhar. Sebenarnya, di bawah Kementerian Pelajaran pun kita sediakan STAM dan 14 mata pelajaran itu sebenarnya direka bentuk berdasarkan kepada kemasukan ataupun pengiktirafan untuk memenuhi syarat minimum untuk memasuki Universiti Al-Azhar. Itu tidak menjadi masalah.

Jadi, saya rasa jelas bahawa kita hendak membantu sekolah agama rakyat dan sebab itulah menyeru supaya mereka menjadi sebahagian daripada kita supaya kita boleh bantu. Akan tetapi, ini juga tertakluk kepada kemampuan kewangan kita mengurus.

Tiada ulasan: