Rabu, 2 Disember 2009

Tidak mahu agihan saham di kawasan Adun, MP BN sahaja

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Jerai Ustaz Firdaus Jaffar tidak mahu agihan saham Amanah Saham 1Malaysia hanya tertumpu dan disalurkan kepada penduduk miskin tegar di kawasan Adun atau Ahi Parlimen BN sahaja.

Beliau yang membangkit persoalan tersebut di Dewan Rakyat pagi tadi mahu pengagihan ini diberi secara menyeluruh bagi membanteras kemiskinan yang ada di setia negeri.

Firdaus sebelum itu meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah miskin tegar di bandar mengikut negeri-negeri yang telah menerima pemberian 10,000 unit Amanah Saham 1Malaysia sehingga 30 September 2009.

Menjawab soalan tambahan tersebut, Timbalan Menterinya Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin (BN-Beaufort) memberitahu bahawa agihan tersebut diberikan tanpa mengira sama ada ianya di bawah kawasan wakil rakyat BN mahupun pembangkang.

Beliau menjelaskan bantuan yang diberikan secara menyeluruh ini adalah berdasarkan ciri-ciri kelayakan yang telah ditetapkan seperti penduduk miskin itu telah mendaftar di e-kasih, tidak pernah mempunyai saham sebelum ini, tidak ada mempunyai simpanan RM1,000 dan tidak muflis.

Terdahulu Lajim memberitahu bahawa pemberian unit saham kepada miskin tegar di bandar ialah Amanah Saham Wawasan dan bukannya Amanah Saham 1Malaysia.

Sejumlah 42 orang di Melaka telah menerima saham berjumlah RM420,000 manakala 88 penduduk miskin tegar di Pahang telah menerima saham berjumlah RM880,000, kata Lajim di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: