http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 24 Mei 2010

Azizan selar media sekongkol dengan BN

ALOR SETAR, 24 Mei: Media yang bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) menyebarkan spekulasi kononnya beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Kedah akan berpaling tadah ditempelak Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar).

Menurut Azizan, media-media tersebut telah dipergunakan oleh Umno dan BN untuk membuat andaian dan spekulasi tentang ketidakstabilan politik di negeri ini hingga menimbulkan keresahan rakyat.

"Apa yang berlaku adalah disebabkan BN tidak boleh menerima hakikat kekalahan, mereka tanpa segan silu terus menyalahgunakan media-media bagi kepentingan politik mereka.

"RTM diperlakukan seperti harta benda mereka dan dipergunakan untuk menghentam pentadbiran kerajaan Negeri Kedah, wartawan jangan jadi bodoh macam RTM," tegasnya semasa menyampaikan ucapan di himpunan berhubung spekulasi pembubaran Dun Kedah di Kompleks PAS Kedah, Kota sarang Semut, malam semalam.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri turut menyelar peranan media yang berterusan memainkan isu-isu ciptaan Umno dan BN yang terdesak untuk merampas pentadbiran negeri dengan cara tidak bermaruah seperti yang berlaku kepada kerajaan PR di Perak.

"Bermula dengan isu Arumugam (bekas Adun Bukit Selambau) yang dipaksa melepaskan jawatan, selepas itu isu surat layang kononnya salah seorang Exco memaki raja, diikuti isu masalah air semasa musim kemarau, dan yang terbaru, isu soalan dewan yang dikatakan mempertikai kuasa raja.

"Media memainkan isu-isu tersebut sampai rakyat jadi pening, sepatutnya mereka melihat dulu ketulenan dan nilai sesuatu berita sebelum ianya disebarkan," katanya menasihati media yang hadir membuat liputan pada himpunan tersebut.

Perhimpunan itu menjadi tumpuan puluhan ribu rakyat termasuk sebahagian besar petugas-petugas media yang tidak senang duduk dengan spekulasi pembubaran Dun Kedah sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, keempat-empat Adun PR yang dikatakan akan meninggalkan parti, tampil menamatkan spekulasi itu.

Kesemua mereka, Tan Show Kang (Sidam), S.Manikumar (Bukit Selambau), Lim Soo Nee (Kulim) dan Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) berikrar akan tetap bersama PR dan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar.

Mereka diberikan ruang waktu untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam himpunan yang dianjurkan PAS berikutan khabar angin ada di antara mereka yang akan berpaling tadah hingga mengakibatkan berlakunya pembubaran Dun Kedah.

Masing-masing dalam ucapan mereka melahirkan rasa tidak senang apabila terpaksa melayani panggilan-panggilan telefon yang inginkan kepastian berkaitan khabar angin yang disebarkan melalui media, blog dan sistem pesanan ringkas (sms).

Sehubungan itu, kesemua mereka berharap tidak lagi diajukan dengan soalan berhubung perkara tersebut selepas penjelasan itu dan sekiranya ada, ianya tidak akan dilayan.

"Jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon. Tak perlu banyak kali saya nak cakap yang saya tak akan lompat.

"Saya berjanji akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan MB (Ustaz Azizan) dan PR dan tidak akan melompat," kata Tan (Sidam) yang dilantik menganggotai barisan Exco baru-baru ini.

Manakala, Manikumar (Bukit Selambau) pula berkata, media sering memutar belitkan kenyataannya sehingga dilihat kononnya beliau kurang senang dan tidak berpuas hati dengan pucuk kepimpinan parti dan kerajaan Negeri Kedah.

"Memang terdapat percanggahan pendapat tapi dapat diselesaikan secara rundingan kolektif dan kekeluargaan, saya tetap sehaluan dalam perjuangan dan tidak ada langsung perbalahan seperti yang digembar-gemburkan.

"Saya tidak akan lupa jasa rakyat dan pengundi yang mengangkat saya sebagai wakil rakyat, saya akan terus bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong kerajaan PR di bawah kepimpinan Ustaz Azizan dan saya berharap media jangan ulangi lagi soalan berkenaan," katanya.

Lim (Kulim) yang mengambil giliran seterusnya pula menjadi tumpuan mereka yang hadir dan sebahagian besar petugas media apabila secara terbuka menegur kepimpinan parti dan kerajaan negeri.

"Saya merasa sedih bila dua orang rakan kita mengambil keputusan meninggalkan PR, tapi kepimpinan parti dan kerajaan tidak buat 'post-mortem' untuk mengkaji sebab mereka berbuat demikian.

"Kita kena kaji, mungkin ianya berpunca dari kesalahan kita sendiri hingga mengakibatkan mereka bertindak meninggalkan kita," katanya.

Bubar Dun : Umno diingat jangan ambil risiko

GUAR CHEMPEDAK, 22 Mei: Umno BN diingat jangan terlalu mengambil risiko menyerang negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan kaedah memujuk Adun PR lompat parti, kerana tiada jaminan Umno BN akan menang pada pilihan raya umum nanti nanti.

Ahli Majis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat, Datuk Johari Abdul (gambar) berkata, beliau juga tidak nampak strategi Umno BN itu akan membuahkan kejayaan, apatah lagi mahu merampas kembali pentadbiran negeri yang telah dimenangi PR dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Mereka (BN) juga jangan ambil risiko dan ingat mereka hebat, kalau pun diadakan pilihan raya jangan ingat BN akan menang, belum tentu BN akan menang," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas serangan terhadap negeri Kedah sehingga kerajaan negeri menganjurkan ceramah khas isu bubar Dun malam ini.

Menurutnya, isu pembubaran Dun Kedah hanyalah mainan politik Umno dan perang psikologi mereka terhadap kerajaan PR Kedah.

Umno selaku pembangkang di negeri itu katanya menjadi tidak tentu arah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya mengawal dan mentadbir negeri dengan baik.

"Mereka mencipta berbagai fitnah, usaha dan helah untuk memporak-perandakan kestabilan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh Ustaz Azizan, namun kerajaan negeri mampu menahan asakan tersebut dengan baik.

"Malam ini, insyaAllah, kita akan himpunkan kesemua Ahli Parlimen dan Adun untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita sentiasa berdiri teguh di belakang Ustaz Azizan," katanya ketika ditemui semasa menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Liga MB Kedah di Padang Guar Chempedak, tengah hari tadi.

Selasa, 18 Mei 2010

BUBAR DUN : 7 kali tipu pun masih ada yang percaya?

Oleh : ZULKIFLI YAHAYA

Untuk kali yang ketujuh, pihak tertentu mencanangkan bahawa rampasan kuasa seperti yang terjadi di Perak akan berlaku pula di Kedah. Kali ini khabar angin yang disebarkan begitu ‘kemas dan menarik’. Kononnya pihak Badan Perhubungan Umno Kedah telah bermesyuarat di PWTC bersama pihak Pusat. Pelan pengambilalihan kuasa telah diperincikan dan Menteri Besar baru telah diputuskan iaitu Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail ADUN Guar Chempedak. Dua ADUN KeADILan dan satu DAP telah bersetuju melompat untuk bersama dengan dua rakan mereka yang telah melompat lebih awal. Khabar angin itu dilanjutkan lagi dengan dakwaan bahawa Dato’ Shafie Afdhal selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah akan mengadap Tuanku Sultan untuk memaklumkan bahawa BN mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Jika rakyat jelata tertanya-tanya atau terkeliru dengan cerita tersebut maka mereka tidak boleh dipersalahkan. Rasa syak wasangka tidak boleh dilenyapkan begitu saja kerana hal seperti itu benar-benar pernah berlaku di Perak. Lompatan parti oleh wakil rakyat KeADILan akhir-akhir ini berlaku begitu ‘jujuh’ sekali. Bukan perkara pelik. Ia benar-benar terjadi, bukan lagi cobaan.

Walaupun beberapa ADUN yang dibabitkan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi ia tetap belum meyakinkan. ADUN Lunas, Mohammad Radzhi Salleh juga pernah membuat penafian keras, berceramah hingga ke surau-surau tidak akan melompat. “Saya juga ada agama,” demikian Radzhi sering berkata dalam ceramahnya. Tapi dia yang ‘ada agama’ melompat juga. Apatah lagi, mereka yang tiada agama.

Untuk menjawab kepada rakyat dengan jujur bahawa perkara tersebut tidak berlaku, ia semacam menari mengikut paluan gendang musuh. Musuh suka jika kita melatah. Mahu tidak mahu jawapan diberikan juga kepada rakyat tetapi dalam bentuk sendaloka.

Saya mengubahsuai mesej asal yang disebarkan dengan memberitahu bahawa ’16 ADUN PAS akan melompat parti’ dan kerajaan katak yang akan ditubuhkan nanti akan melantik bekas ADUN KeADILan sebagai Menteri Besar. Begitu juga aktivis penerangan parti yang lain, ‘menjawab’ dengan pembohongan yang tidak masuk akal. Ramai yang tidak percaya dengan bermacam-macam mesej merapu yang disebarkan selepas itu. Sekurang-kurangnya ia dapat meredakan tekanan sebahagian rakyat yang prihatin dengan pergolakan politik tanahair.

Mujur sekonyong-konyong BN tersungkur di Sibu kepada DAP. Ia memberi kesan yang amat baik kepada Pakatan Rakyat. Maka khabar angin yang bertiup kencang perihal penubuhan kerajaan katak pun lenyap macam bara api disimbah air. Orang terfikir, masakan wakil tunggal DAP akan melompat di saat partinya menang di Sarawak dan di kala rakyat jelata sudah tidak berselera lagi memandang BN.

Dalam cerita kanak-kanak ‘Budak penipu dan serigala’ dia hanya sempat menipu dua kali kononnya ada serigala mahu membahamnya. Kali ketiga dia menipu orang kampung tidak percaya lagi menyebabkan dia benar-benar dibaham serigala. Tapi dalam cerita dongeng ‘BN dan kerajaan katak di Kedah’ mereka mampu menipu hingga tujuh kali, masih ada orang yang sudi mempercayainya.

Terdapat juga kalangan rakyat yang terlalu sayangkan kerajaan Pakatan serta tidak sanggup melihat berlaku rampasan kuasa macam di Perak, menasihatkan Menteri Besar supaya membubarkan DUN segera sebelum BN tubuh kerajaan katak.

Ketakutan itu sebenarnya tidak berasas di atas beberapa factor. Berdasarkan pengalaman di Perak dan Terengganu (1959) kerajaan katak hanya berjaya ditubuhkan setelah mereka menculik ADUN parti yang berkuasa di negeri. Setakat ini penculikan belum berlaku.

Selepas duculik, mereka memerlukan masa selama beberapa hari untuk melakukan brainwashed terhadap ADUN-ADUN tersebut. ADUN-ADUN itu dikurung dan hubungan mereka dengan dunia luar diputuskan. Proses mengubah minda akan dilakukan oleh tenaga pakar melalui tekanan, ancaman, pujukan dan sogokan. Tidak mustahil jika kepakaran APCO digunakan. Mossad dan CIA sangat terlatih dalam melakukan kerja sulit begini.

Kejayaan melakukan kerja jahat itu ialah dengan mengenalpasti terlebih dahulu wakil rakyat yang mahu diubah minda itu mempunyai masalah atau kelemahan peribadi. Soalnya sekarang, kesemua ADUN yang mahu dijadikan sasaran itu tiada masalah dengan parti, kerajaan, undang-undang mahupun pertikaian dengan pemimpin tertentu. Dengan laluan mereka menjadi sukar di fasa pertama lagi.

Halangan seterusnya bagi BN ialah keperluan untuk menonjolkan imej positif untuk jangka masa panjang. Mereka tentu tidak mahu berkuasa sementara di negeri untuk suatu tempoh pendek (dua tahun) tetapi imej tercalar teruk untuk jangka masa panjang.

Masyarakat Cina berpihak kepada pembangkang pada PRU ke 12. Peratus sokongan mereka terhadap Pakatan meningkat selepas rampasan kuasa di Perak. Ia dibuktikan di hampir kesemua pilihanraya kecil yang berlaku selepas itu. Antara sebabnya ialah kerana imej BN sangat buruk di mata masyarakat Cina setelah mereka melakukan rampasan kuasa di Perak.

Kedah adalah negeri majoriti Melayu. Tiada masalah bagi rakyat yang bernaung di bawah kerajaan PAS sejak lebih dua tahun. Aman seaman amannya.

Kedah juga adalah negeri yang paling ramai ahli PAS di negara ini. Demonstrasi padi, peristiwa berdarah Lubuk Merbau dan Memali berlaku di Kedah, dilibatkan dengan PAS. Jika Perak yang hanya mempunyai enam kerusi DUN, bergegar juga negeri dibuatnya maka apakah jika berlaku rampasan kuasa di Kedah, ahli-ahli PAS akan menyaksikan dengan tenang dan putih mata?

Tan Sri Sanusi Junid pernah berkata, “Orang Kedah sanggup mandi darah.” Jika berlaku ‘mandi darah’ di Kedah (barang dijauhkan Allah) maka BNlah yang akan dipersalahkan oleh seluruh umat manusia kerana menjadi punca terhadap kekalutan yang berlaku. Sedangkan suasana yang ada sebelumnya begitu aman damai. Imejnya akan jadi kotor untuk jangka masa panjang terutama di kalangan orang Melayu. Sebab itulah pembentukan kerajaan katak melalui rampasan kuasa di Kedah tidak menjadi pilihan bagi golongan lebih cerdik di dalam Umno.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN akan memastikan setiap tindakan yang dilakukan sebelum mengambil semula negeri dikuasai pembangkang mendapat sokongan rakyat.

"Cara ini lebih bermaruah dan yang penting kita mendapat sokongan penuh dan mengembalikan keyakinan rakyat, cara lompat-lompat mungkin boleh ambil negeri tapi belum tentu dapat sokongan," katanya.

Jika pelan rampasan kuasa dibincang oleh Dato’ Bashah dan APCO, mungkin mereka akan melakukan. Tapi jika ianya dibincang oleh pakar strategi dalam BN, penganalis professional, pihak keselamatan, para ilmuan yang pro BN; maka pastinya penubuhan kerajaan katak tidak akan jadi pilihan. Berdasarkan alasan tersebut ramai penganalisis politik yakin bahawa pertukaran kerajaan di Kedah secara luar tabie seperti di Perak tidak akan berlaku. Apa yang mereka cuba lakukan cuma mahu mencetuskan suasana bercelaru di benak pemikiran rakyat. Itupun gagal.

Khamis, 13 Mei 2010

Siapa MP dan ADUN PKR yang Zul Noordin maksudkan?

Semalam saya dihubungi oleh seorang teman sekolah lama yang mahukan kepastian apakah ada kemungkinan akan berlaku lagi tragedi rampasan kuasa tidak bermaruah seperti mana yang berlaku di Perak tahun lalu.

Teman itu meminta saya membaca berita di The Malaysian Insider bertajuk 'Second ‘Perak’ on the cards, warns Zul Noordin' yang ditulis oleh Clara Chooi berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu yang ditalak tiga oleh PKR kerana keangkuhannya sendiri.

Zul Noordin dalam kenyataannya memberitahu ada dua Ahli Parlimen dan seorang Adun dari PKR akan bertindak meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan DS Anwar Ibrahim, alasan yang tidak berubah-ubah sejak bermulanya episod wakil rakyat melompat keluar.

Pada mulanya saya rasa teruja dengan berita itu, tapi bila direnung-renung dan ditilik-tilik, mana mungkin amaran tidak berasas itu menjadi realiti apabila wakil rakyat yang tidak dinamakan itu adalah dua orang MP dan hanya seorang Adun sahaja.

Bodohnya peguam yang berpaksikan agama dan bangsa itu membuat congakan asas matematik dalam politik. Pada masa sekarang Pakatan Rakyat menguasai 20 kerusi dan BN hanya memiliki 15 kerusi termasuk dua kerusi Bebas di DUN Kedah, manakala Kota Siputeh masih kekal tidak bertuan kerana ketakutan BN yang teramat sangat terhadap pilihan raya kecil di Kedah.

Kalau pun masin mulut Zul Noordin, berlaku apa yang dikatakannya, kerajaan PR Kedah masih utuh dan tragedi Perak tidak akan berulang di negeri jelapang padi ini. PR masih kekal menguasai kerajaan negeri kerana mempunyai 19 kerusi berbanding BN hanya 16 kerusi termasuk Bebas.

Pada ketika ini Adun PKR hanya ada 3 orang sahaja, Adun Bukit Selambau, S. Manikumar, Adun Sidam, Tan Show Kang dan Adun Kulim, Lim Soo Nee. Ketiga-tiganya menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah. Apakah salah seorang dari mereka akan mengikut jejak bodoh dan senget Adun Lunas dan Adun Bakar Arang yang meninggalkan PR hanya kerana ingin mendapat sedikit habuan yang hanya boleh dijadikan modal permulaan membuka sebuah restoren di KL?

Dua lagi MP, kemungkinan gandingan MP Padang Serai dan MP Sungai Petani @ MP Padang Serai dan MP Kuala Kedah @ MP Sungai Petani dan MP Kuala Kedah tidak akan menjejaskan penguasaan PR dalam DUN Kedah.

Persoalannya siapakah dua orang MP dan seorang Adun PKR yang Zul Noordin maksudkan dalam kenyataan bodohnya itu?

Saya cuba menghubungi salah seorang dari Adun untuk penjelasan dan kesudahannya kami mencapai satu keputusan untuk diaturkan satu ceramah penjelasan isu lompat melompat pada 19/5/2010 di Bedong.

Ketiga-tiga Adun PKR dan ketiga-tiga MP PKR akan dijemput untuk memberikan penjelasan dan Zul Noordin juga akan dijemput untuk mendedahkan siapakah Adun dan MP PKR yang dikatakan akan melompat dari Pakatan Rakyat.

Selasa, 11 Mei 2010

BN jangan main api perkauman di Sibu

JERAI, 11 Mei: Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak bermain dengan api perkauman semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata tindakan BN menggunakan api perkauman adalah satu tindakan yang amat merbahaya kepada negara.

Katanya, pemimpin BN berkempen dengan menyatakan sekiranya DAP menang, maka akan wujudnya negara Islam yang bertujuan menyekat pengundi Cina daripada memberikan undi kepada calon DAP.

"Kita ingin bertanya kepada pemimpin Islam dalam BN, kenapakah mereka begitu takut dengan negara Islam sedangkan Islam itu jugalah yang menjadi anutan pemimpin Umno.

“Kenapa Umno sanggup untuk menutup kehebatan kerajaan Islam pada rakyat terutamanya kaum Cina dan India,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Soalnya lagi, di manakah letaknya kelemahan kerajaan Islam sedangkan PAS berusaha menerangkan peranan kebaikan daulah Islamiah manakala Umno pula mengajak rakyat menentang pemerintahan Islam.

Beliau berkata, Umno sepatutnya tidak memprovokasikan isu Islam yang akan merugikan Islam itu sendiri.

Tambah beliau, sekiranya hendak berkempen sekali pun janganlah sehingga merugikan agama sendiri.

Ini, katanya amat memalukan kerana Umno yang melabelkan mereka sebagai parti yang turut memperjuangkan Islam sanggup untuk memperkecil dan memperlekehkan sistem pemerintahan Islam yang dituntut oleh agama.

"Janganlah kerana hendakkan kemenangan di Sibu, maka Umno dan BN sanggup untuk menggadaikan kedudukan agama Islam setelah melihat apa yang dibawa oleh PAS itu disenangi dan diterima oleh sebahagian besar dari penduduk dan masyarakat di Sibu," ujarnya lagi.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang akan diadakan pada 16 Mei ini memperlihatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Richard Wong Ho Leng, Robert Lau Hui Yew (BN) dan Narawi Haron (Bebas).

Ahad, 9 Mei 2010

Sibu: DAP menongkah arus, Khalid Samad jadi bintang

SIBU, 9 Mei: Calon Pakatan Rakyat dari DAP terpaksa menentang arus dalam pilihan raya kecil Sibu dan mengharapkan keajaiban untuk menang dalam pilihan raya ini.

Ini kerana, mereka terpaksa menentang parti pemerintah yang kuat di negeri Sarawak ini di samping masyarakat Cina yang masih lagi percaya dengan isu seperti negara Islam yang dimainkan oleh BN di negeri ini.

"Jangan terkejut kalau di sini isu negara Islam yang sudah lapok di Semenanjung masih menjadi isu utama di kalangan masyarakat Cina di sini. Jadi peranan penceramah PAS penting untuk menjelaskan isu ini," kata seorang wartawan yang aktif menulis untuk akhbar DAP, Rocket.

Mungkin atas dasar ini, anggota Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad antara tokoh utama yang digunakan DAP untuk berkempen bagi pihak calon mereka.

Khalid hari ini diberikan peluang berucap dalam satu gereja Khatolik untuk menerangkan dasar PAS. Beliau berucap selepas ucapan utama dalam perhimpunan agama Kristian hari ini.

"Khalid jadi bintang kan Sibu ini," kata seorang petugas PAS, Wan Johari Wan Omar kepada Harakahdaily.

Sebaik sahaja menang dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Khalid telah memberikan ucapan yang bersejarah dalam sebuah gereja di Shah Alam. Sejak itu, beliau sangat diingati oleh penganut Kristian di negara ini.

Sementara itu, para pemimpin PAS yang lain sibuk berkempen di kawasan Melayu iaitu di dalam Dun Nangka.

Pagi ini, dua naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Hilir.

Turut serta adalah Firdaus Jaafar, Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS yang juga anggota Parlimen Jerai di samping para Muslimat PAS.

Kesemua mereka turut serta mengiringi calon Pakatan dari DAP, Wong Ho Leng. Selain mereka, turut mengiringi calon itu semalam adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pilihan raya kecil ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menentang calon BN, Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron.

Dalam pada itu, nasib tidak baik berlaku kepada penyelaras pilihan raya PAS untuk pilihan raya kecil ini apabila Datuk Wan Abdul Rahim terpaksa berehat selepas demam.

Beliau yang terpaksa tidur sahaja selepas penamaan calon disyaki terkena serangan virus sebaik sahaja tiba di sini beberapa hari lalu.

"Memang masa nak mari pun dah tak berapa sihat," kata Wan Rahim ketika dihubungi Harakahdaily.

Namun begitu, kempen pilihan raya ini berjalan dengan lancar. Malam ini, Mahfuz dijangka memberikan ceramah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sambutan terhadap ceramah Anwar cukup baik apabila beliau mula datang ke sini semalam," kata Wan Rahim.