http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Selasa, 24 November 2009

Apa sudah jadi sistem kehakiman Malaysia?

Keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Kota Siputeh petang tadi menambahkan lagi koleksi kecelaruan terhadap krisis perlembagaan negara. Dalam tahun ini sahaja sudah dua kali Mahkamah Rayuan memperkenalkan sistem keadilan ala 1 Malaysia.

Pertamanya ketika krisis perlembagaan di negeri Perak yang mencatatkan sejarah mahkamah paling ekspres di dunia maya ini. Keduanya melibatkan krisis Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah yang tidak seharusnya menjadi pertikaian kalau semua pihak patuh kepada sistem perundangan yang diguna pakai di negara ini.

Dua keputusan yang hampir sama dicetuskan oleh Mahkamah Rayuan menggambarkan seolah-olah hakim di Mahkamah Tinggi adalah dari kalangan mereka yang tak memahami undang-undang negara dan sekaligus menimbulkan keraguan rakyat terhadap kredibiliti hakim di Mahkamah Tinggi itu.

Dalam kes Kota Siputeh, tindakan SPR dilihat seolah-olah macam kelaku BN masa PRK Penanti dulu, apabila SPR bertindak cuba menghalang berlakunya kekosongan di kerusi itu. Tak pasti atas alasan apa yang menyebabkan SPR bersungguh-sungguh sangat tak mau mengadakan pilihan raya kecil di situ. Apakah kemungkinan SPR mewakili Umno dan BN, itu tak dapat dipastikan, tapi.....

Kalau pun SPR mewakili BN, sebab apa yang pulun sangat nak halang PRK ni?

Nak kata takut, tak mungkin, sebab baru-baru ini BN menang besar di Bagan Pinang. Nak kata tak berani, tak mungkin, sebab baru-baru ni BN dapat semangat baru dan terus lancarkan gerak kerja BN Menang, Kedah Senang di Yan, puluhan ribu hadir mendengar amanat TPM.

Yang musykilnya Umno dan BN berkali-kali ulang kesediaannya bertanding di pilihan raya kecil Kota Siputeh, siap nak letak anak bapak sebagai calon. Tapi, mengapa SPR pula yang ketakutan?

Hasilnya, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan, membenarkan penangguhan itu boleh disifatkan menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telah pun diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN dan juga Mahkamah Tinggi.

SPR cuba mengelak dari buat kerjanya, bila diisytiharkan kerusi kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan dalam masa 10 hari selepas kekosongan berlaku.

Mahkamah Rayuan yang bersidang secara ekspres juga sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa. Mahkamah boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Kata peguam Sulaiman Abdullah, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Election Commission gets a stay for the Kota Siputeh by-election

PUTRAJAYA: The Election Commission has succeeded in its bid to get a stay against a High Court ruling calling for a by-election for the Kota Siputeh state seat in Kedah.

The Court of Appeal has ruled that there were special circumstances to grant a stay to the commission.

A three-men bench of the Court of Appeal ruled that no party will suffer prejudice if the stay was granted to the commission.

Earlier in the morning Datuk Abu Hassan Sarif filed an application to stay the Nov 16 landmark ruling that he was no longer Kota Siputeh assemblyman, that his state seat was vacant and that a by-election must be held.

He filed the document and a certificate of urgency at the Court of Appeal registry through his lawyer Abu Bakar Isa Ramat.

Abu Hassan personally affirmed the affidavits at the Commissioner of Oaths counter in Putrajaya at 10am for this.

A similar stay application by Election Commission was heard at the Court of Appeal at 2.30pm Tuesday.

SPR dengan Abu Hasan perangai sama saja

SPR nampaknya masih tak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh 16 november lalu.

Sikap SPR itu menyerlahkan lagi dakwaan orang ramai bahawa suruhanjaya itu tidak ubah macam sebuah parti komponen BN yang terbaru.

Kita pun tak faham dengan SPR ni, kerja yang patut buat dia tak mau buat tapi dok kalut nak buat kerja orang lain. Sebijik macam perangai bekas wakil rakyat Kota Siputeh, Dato' Abu Hasan, waktu orang suruh mai sidang dewan tak mau nak mai, bila orang tak bagi mai kalut pulak nak mai. Sama saja Abu Hasan dengan SPR.

MB Kedah sewaktu media mintak komen, dia ingatkan SPR supaya 'cermat sikit' buat kerja. Buat kerja SPR cukup la, jangan nak jadi hakim pulak. (klik)

Sekarang ni bukat setakat nak jadi hakim, semua kerja SPR nak buat sampaikan lupa kerja SPR yang sebenar iaitu mengendalikan pilihan raya apabila berlaku kekosongan selepas dimaklumkan oleh Speaker-speaker DUN atau Dewan Rakyat.

SPR tak payah nak fikir pasal perbelanjaan, berapa banyak yang SPR perlu bagitau saja, apa yang penting SPR buat kerja seperti kuasa yang ada padanya. Jangan melampaui kuasa yang ada.

Tak dinafikan SPR berhak merayu kepada Mahkamah Rayuan, tapi buat apa buang masa dan buang duit, SPR cuma ada beberapa jam saja lagi masa yang diperuntukkan kepadanya untuk mengeluarkan writ pilihan raya kecil Kota Siputeh selepas mahkamah mengesahkan kekosongan kerusi itu sembilan hari lalu.

Kalau alasan kewangan yang diberikan SPR untuk tidak mahu adakan pilihan raya, alasan ini jugalah yang sepatutnya SPR berikan untuk tidak memanjangkan kes sampai terpaksa menghabiskan masa dan wang ringgit hanya untuk menegakkan 'benang yang basah'.

Dalam kes ini, biarlah Abu Hasan dan Umno saja yang merayu akan keputusan Mahkamah TInggi Kuala Lumpur yang tidak memihak kepadanya. Elok rasanya kalau SPR sembunyikan simpatinya kepada Umno dan BN, jangan tunjuk sangat sokongan tu kerana SPR adalah sebuah badan yang harus bertindak sebagai pengadil dalam liga pilihan raya di Malaysia.

Isnin, 23 November 2009

SPR gagal tangguh perintah kosongkan Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal meyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya, alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh peguam kanan persekutuan Datuk Kamaruddin Md Said, yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undang-undang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 Nov lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelumnya bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada BN gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Abu Hassan turut hadir pada prosiding hari ini. BERNAMA

Sabtu, 21 November 2009

SPR cermat sikit

TG Nik Aziz 50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia

KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.

Jumaat, 20 November 2009

Sambutan Jubli Emas PAS Jerai

Sambutan Jubli Emas PAS Jerai bermula semalam dengan berbagai acara menarik untuk semua lapisan kaum dan masyarakat.

Membuka tirai acara adalah Ihtifal Pasti Kawasan Jerai. Semua pelajar dan waris telah berkumpul seawal pagi di Dewan Serbaguna Guar Chempedak. Para hadir dipertontonkan dengan persembahan dari pelajar-pelajar Pasti seluruh Jerai. Di akhir majlis, pelajar-pelajar yang cemerlang dalam ujian akhir yang diadakan baru-baru ini telah menerima anugerah dan hadiah yang disediakan oleh Pasti Kawasan Jerai.

Di sebelah petangnya pula diadakan Ihtifal Sekolah Integrasi Faizin (SAIF). Seperti mana biasa, pelajar-pelajar membuat persembahan mereka di hadapan waris dan pengunjung-pengunjung lain. Pelajar-pelajar yang cemerlang diberikan anugerah dan hadiah di atas kejayaan mereka.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai mengambil peranan pada malam pertama. Malam Kesenian Islam yang mempersembahkan beberapa undangan terkenal seperti Pak Long SAR, Ustaz Radhi (bekas vokalis Melissa), Amni Jagat (Penyajak), Ustaz Abdullah Khairi (pakar motivasi) dan nasyid Assaif dan nasyid Nahdzoh telah menarik ribuan pengunjung ke Sambutan Jubli Emas ini.


20/11/2009 - Jumaat, Larian Jubli Emas mengambil tempat pada awal pagi. Seramai 168 peserta mendaftar dan menyertai larian yang dilepaskan oleh YBhg Ustaz Makhtar Abudl Hamid, Timbalan YDP Pas Jerai. Jarak sejauh 7km terpaksa dilalui peserta dan yang pertama berjaya sampai ke garisan penamat hanya dalam masa tidak sampai 25 minit.


Pada waktu yang sama juga berlangsung acara yang dikhaskan untuk muslimat iaitu senamrobik, pertandingan memasak, pertandingan gubahan, sukaneka muslimat dan promosi memasak mee oleh Ahli Parlimen Jerai dan isteri.

Tidak ketinggalan juga acara untuk kanak-kanak seperti pertunjukan fesyen kanak-kanak dan pertandingan mewarna.

Pada malam ini akan berlangsung majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub dan MB Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan dijadualkan memberi ucapannya.

Berbagai acara lain lagi akan mengisi program sambutan jubli emas PAS Jerai hingga ke malam 22/11/2009.

Selasa, 17 November 2009

Pembangunan NCER-ECER dipertikai

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar pagi tadi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan tahap kemajuan Projek Pembangunan Koridor Utara (NCER).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yaakub mewakili Najib hanya menjelaskan tentang Projek Pembangunan Koridor Timur (ECER) di Kelantan bukan seperti kehendak soalan.

"Tentang projek-projek kerajaanm umpamanya di Kelantan, sebanyak 19 projek yang berjumlah RM542.7 juta diperuntukan," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Dua menjelaskan bahawa kerajaan turut menggunakan sumber-sumber yang ada di bawah peruntukan NCER dan ECER.

Pun begitu, beliau menafikan bahawa kedua-dua projek koridor tersebut bukanlah untuk mengambil alih peranan pihak berwajib yang sedia ada.

"Peranan koridor-koridor bukanlah untuk mengambil alih tugas-tugas kementerian tertentu menyelesaikan masalah banjir dengan bangunkan sistem terbaik."

"Untuk mengurangkan kekerapan banjir merupakan usaha yang diberi keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10)."

Ahli Parlimen Arau Ismail Kassim (BN) yang mencelah kemudiannya, berpendapat bahawa kewujudan koridor-koridor tersebut mengakibatkan berlakunya pertindihan dengan agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

"Saya masih rasa sangsi tentang pertindihan tugas antara NCER (dan) ECER dengan agensi-agensi (kerajaan) yang lain."

"Apabila agensi lain (koridor) mendapat bajet, dia tak tahu nak buat apa di kawasan-kawasan berkaitan."

"(Usaha membina) jalan ladang umpamanya, itu pun dia (koridor) nak buat, walhal itu kerja MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda)," jelasnya.

Beliau juga mencadangkan koridor-koridor terbabit hanya membangunkan projek-projek mega, bukan tugasan-tugasan asasi agensi kerajaan yang sedia ada.

Nada yang sama turut disuarakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

"Saya setuju dengan (Ahli Parlimen) Arau...sehingga jalan atau stor kenduri pun nak koridor (ECER dan NCER) buat, sepatutnya padan JKKK saja bincang dengan Ketua Kampung."

"Koridor ini buat benda-benda yang tidak perlihatkan fungsi sebenarnya...contoh di kawasan saya (Pokok Sena), MADA asyik perbesar jalan selepas banjir sedangkan isu sebenar adalah tanah mendap," jelasnya.

"Saya lihat tidak ada kajian dalam isu pemendapan ini. Kalau macam itu JKKK pun boleh buat, Ketua Kampung boleh cadang."

Beliau juga meminta Ahli Parlimen Sungai Dua menjelaskan jumlah gaji sebenar semua Pengarah Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan (COO) koridor tersebut yang didakwa tidak efisyen.

"Kalau gaji tinggi, tapi begini kerja buatnya. Saya ingat elok bagi JKKK saja buat selepas berbincang dengan Tok Penghulu. Ini yang saya persoalkan."

Menjawab semua soalan tersebut, Nor memberi jaminan bahawa kerajaan sedang berusaha memajukan koridor-koridor tersebut.

Ujarnya lagi, kewujudan koridor-koridor tersebut tidak mengganggu peranan kementerian dan agensi-agensi berwajib.

"Koridor-koridor tidak memainkan peranan yang ditugaskan (pada) kementerian-kementerian dan agensi-agensi (kerajaan)," respon Nor.

Nor juga enggan mengulas persoalan gaji CEO dan COO koridor-koridor tersebut yang dibangkitkan Mahfuz.

Sidang DUN Kedah

Hari ini 17-11-2009 (Selasa) akan berlangsung Sidang DUN Kedah tanpa Adun Kota Siputeh yang telah disahkan oleh Hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang hilang kelayakan sebagai Adun petang semalam selepas kesalahannya tidak hadir sidang DUN 2 kali berturut-turut.

Sama-sama tunggu perbentangan bajet negeri Kedah untuk tahun 2010 yang akan dibentangkan oleh Ustaz Azizan.

Soalan untuk jawapan lisan hari ini

Soalan No. 4

Tuan Mohd Firdaus Jaafar (JERAI) minta Perdana Menteri menyatakan peratusan kemajuan projek pembangunan koridor utara (NCER) yang telah diumumkan beberapa tahun dahulu dan menyenaraikan projek-projek yang telah dilaksanakan di bawah NCER.

Tunggu jawapan Menteri pagi ini

Ahad, 15 November 2009

LARIAN JUBLI EMAS JERAI

YAN : Sempena sambutan Jubli Emas PAS Jerai yang akan berlangsung pada 19-22 November ini di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, satu program Larian Jubli Emas telah dirancang oleh pihak penganjur pada 20/11/2009 iaitu hari Jumaat.

Menurut Pengerusi Penganjur Larian Jubli Emas, Ustaz Mohamad Ismail, penyertaannya terbuka kepada semua peserta lelaki berumur 15 tahun ke atas. Bagi yang berumur 18 tahun dan ke atas akan dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM10.00 dan akan mendapat sehelai t-shirt larian, manakala 18 tahun ke bawah tiada bayaran dikenakan.

Katanya lagi, sebanyak 50 hadiah disediakan kepada pemenang acara larian ini. Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 dan hamper, pemenang kedua akan menerima wang tunai sebanyak RM300 dan hamper.

Manakala pemenang tempat ketiga akan menerima wang tunai RM100 dan hamper, pemenang keempat hingga kedua puluh akan menerima wang tunai dan hamper. Pemenang kedua puluh satu hingga lima puluh akan menerima hadiah saguhati berupa hamper.

Kata Mohamad, jarak larian adalah sepanjang tujuh kilometer dan di sepanjang laluan peserta akan dapat menikmati keindahan alam semulajadi seperti pemandangan sawah padi yang menghijau dan keindahan kampung-kampung traditional di samping pemandangan di kaki Gunung Jerai. Pelepasan larian akan disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Kedah pada jam 8.00 pagi.

Peserta yang berminat boleh menghubungi Encik Sani di talian 013-4365878 untuk mendaftar. 500 peserta yang pertama mendaftar akan menerima t-shirt larian.

Rabu, 11 November 2009

BN dah lama menang, Kedah tak senang-senang pun

BN DAH LAMA MENANG, KEDAH TAK SENANG-SENANG PUN. Sepatutnya itulah slogan yang Umno Kedah kena lancar pada 12 November ni.

Nak nafi apa lagi? Hakikatnya BN dah menang dan perintah Kedah lebih 50 tahun dulu, sejak Malaysia masih lagi Tanah Melayu.

Pasai apa selama 51 tahun tadbir Kedah, Umno tak dak usaha untuk senangkan rakyat di negeri jelapang padi ini? Ramai rakyat Kedah tergolong dalam kategori orang susah, tak senang-senang dari dulu sampai la ni.

Bila PR ambil alih perintah Kedah Mac 2008 lalu, lepas wakil-wakil rakyat dPR membuka pusat khidmat, ramai yang pakat terkam pusat khidmat dan mohon bantuan itu dan ini, ada yang nak mohon bantuan JKM, ada yang nak mohon zakat, ada yang nak mohon perbaik rumah dan tak kurang juga yang mintak duit buat belanja harian.

Majoriti yang memohon masa tu adalah orang Umno yang susah lama dah, susah zaman Umno dan BN perintah lagi. Kita tanya pasai apa tak mohon sebelum ni? Jawapannya, dah mintak tapi..... depa pun tau walaupun ahli Umno tapi bukan kroni, susah macamana pun payah nak dapat bantuan.

Umno boleh ambik data permohonan bantuan untuk rakyat susah dengan agensi-agensi seperti JKM, Pejabat Zakat, Pejabat Daerah atau apa-apa agensi yang iktiraf wakil rakyat PR. Mula dari April 2008 sampai ke hari ini bertimbun permohonan yang dah dibuat, ada permohonan yang dah lulus dan ada lagi yang masih dalam proses.

Rakyat Kedah sepatutnya dah lama senang kalau Umno/BN tak menyeleweng hasil negeri. Buktinya laporan audit 2008, tak sampai setahun memerintah kerajaan PR di bawah Dato' Seri Ustaz Azizan boleh tingkatkan hasil negeri sebanyak 205%. Itu baru 9 bulan, kalau genap setahun tentu boleh cecah 275%. Guna formula paling senang, 275% kali dengan 50 tahun, tentu banyak hasil negeri kalau Umno/BN tak seleweng dulu, rakyat Kedah tentu dah senang.

Umno/BN kena malu la sikit kat Ustaz Azizan, dok tak duduk mai nak bagitau rakyat Kedah akan senang lenang kalau BN menang. Nah ambik pantun 2 kerat ni...

Wanita Umno pakai tudung merah
Piiiiiiiiiiiiiiiiiirrrrrrrrrraaaaaaaaahhhhhhhhh

Bersama Ustazah Aishah melawat keluarga miskin

Kelmarin lepas selesai majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia peringkat Negeri Kedah di Hospital Yan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah, bersama Ustazah Aishah, Exco Kebajikan Masyarakat berkesempatan menziarahi Tok Kah yang dah lama duduk bersendirian di Kampung Kuala Bangka setelah kematian suaminya.

Tok Kah atau nama sebenarnya Atikah Md Isa amat memerlukan sebuah rumah yang selesa untuk dia berteduh memandangkan keadaan rumahnya yang amat uzur. Kehadiran Ustazah Aishah memberi harapan baru buat Tok Kah, Ustazah akan berusaha mendapatkan bantuan membina sebuah rumah baru melalui program basmi kemiskinan negeri. Moga hasrat Tok Kah duduk rumah baru akan tercapai, insyaAllah.


Selepas itu, kami menjenguk keluarga Ismail Said di rumah mereka yang usang di Kampung Tualang, Bukit Besar. Keluarga ini mempunyai seorang anak istimewa, Nor Azreene yang berusia 12 tahun.

Ismail mempunyai masalah jantung yang gagal berfungsi dengan baik, tak boleh kerja berat. Isterinya ambil upah menjahit untuk sara persekolahan anak-anak mereka termasuk seorang yang berada di universiti. Keluarga ini bernasib baik kerana dapat bantuan bulanan JKM, boleh buat belanja keperluan harian.


"Rumah mereka tak boleh dibaiki lagi, terlalu uzur. Kita akan bantu keluarga ini untuk dapatkan rumah yang lebih selesa," kata Ustazah.

"Kerajaan Negeri sentiasa ambil berat masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan yang memerlukan bantuan,kita akan fikir bentuk bantuan yang akan diberikan supaya depa dapat hidup dengan lebih baik dan sempurna," ujarnya.

Selasa, 10 November 2009

Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Yan


Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Kedah untuk tahun diadakan di Daerah Yan. KDYMM Tuanku Sultan Kedah telah menyempurnakan perasmiannya.

Hadir bersama dalam program itu ialah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah, Menteri Besar Kedah dan isteri, Kerabat-kerabat DiRaja Kedah, Speaker DUN Kedah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

KDYMM Tuanku Sultan bertitah supaya diberi keutamaan kepada 3 aspek utama kesihatan yang digariskan oleh WHO iaitu selamat, berfungsi dan keutuhan untuk mencapai tahap sebuah hospital yang selamat.

Baginda menyarankan agar rakyat di negeri ini mempertingkatkan kesedaran terhadapa kebersihan diri selaras dengan kehendak Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Dr Ismail Salleh menegaskan ianya adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dengan isu-isu kesihatan.

Baginda turut melawat pameran kesihatan dengan diringi oleh Dato'Seri Ustaz Azizan Razak.

Bai'ah talak : "Tiada dalam kepala saya," Nik Aziz

KOTA BHARU, 10 Nov: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga, segaja ditimbulkan oleh pihak yang dengki kepada PAS.

Dalam satu sidang media di pejabat Menteri Besar Kelantan siang tadi, Nik Aziz memberitahu perkara itu tidak ada dalam pengetahuan beliau dan tidak pernah kedengaran di negeri itu.

“Benda ni tak ada dalam kepala saya, tidak ada bai’ah -bai’ah (talak tiga) ni, tidak ada bunyi khabar pun benda ni di Kelantan,” katanya.

Isu tersebut dakwanya dicetus pihak sekular anti Islam yang berusaha mencari jalan untuk menggugat kedudukan PAS.

PAS yang sedang berkembang menjadi sebuah parti Islam yang diterima semua kaum sudah pasti dicemburui oleh pihak lawan.

Yang ada ujarnya sekadar bai'ah biasa bagi menunjukkan taat setia seperti akujanji yang dilaksanakan terhadap kakitangan awam.

"Mana ada parti ke, kakitangan kerajaan ke yg tak buat bai'ah ni.....mcm aku janji lah, semua ada buat tapi tak sampailah bai'ah taklik," ujarnya lagi.

"Kita kahwin dengan orang pun ada tanda tangan, ijab qabul, qabul tu baih'a lah," katanya.

PAS minggu ini dipalit pula dengan dakwaan melaksanakan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga kepada wakil rakyat mereka sekiranya berhenti dan keluar daripada parti itu.

Selain Nik Aziz, setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini juga menafikan wujudnya bai'ah taklik tersebut dan beliau diberi tanggungjawab untuk menyiasat dakwaan terbaru itu.

Isu ini dikatakan mula tersebar selepas satu majlis dialog antara beberapa pimpinan PAS di Selangor dengan sembilan blogger.

Kemudianya pula mendapat respon dari muslimat PAS dan dilaporkan secara besar-besaran oleh akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Isnin, 9 November 2009

Resolusi Seminar Memperkasakan Parti 7 November 2009

Seminar Politik Memperkasakan Parti menyedari dan memahami bahawa:

1. PAS dan Pakatan telah melepasi ujian setahun setengah mengurus pemerintahan empat buah negeri dalam penggal parlimen ke-12 ini.

Baik-buruk, kejayaan-kegagalan negeri-negeri Pakatan ini telah mula mendapat perhatian umum. Pengiktirafan kejayaan telah pun diktiraf seperti Laporan Ketua Audit Negara 2008.

2. PAS dan Pakatan mutakhir ini terperangkap dalam kemelut-kemelut yang merosakkan imej dan tanggapan umum terhadap kredibiliti dan kesepaduan Muafakat Politik ini. Benar media BN jahat memainkan isu-isu ini, tetapi PAS/Pakatan wajar menginsafi bahawa punca-sumber laporan-laporan tidak wajar kita salahkan pihak lain sebab kita juga bertanggungjawab.

3. PAS dan Pakatan sangat-sangat berhajatkan untuk terus memperbaikki "Persepsi" rakyat dan pengundi bahawa Muafakat Politik Pakatan adalah mantap dan matang, bersedia memikul tugasan menjadi Pemerintahan di peringkat Persekutuan bagi membawa Negara ini ke garis prestasi yang lebih berdayasaing, makmur dan sejahtera. Keutuhan dan kemantapan ukhuwwah dalam saff yang menjadi asset dan anasir kekuatan utama dalam jamaah dan parti telah sedikit terjejas dalam pergolakan mutakhir ini.

Seminar Politik Memperkasa Parti dengan ini merakamkan bahawa:

1. Peri-pentingnya PAS menyerlahkan keupayaan satu kepimpinan parti yang bijak, kompeten dan matang dalam mengurus perbedaan dalam parti dalam semangat musyawwarah memlalui mekanisme parti secara berkesan.

2. Pimpinan tertinggi parti wajar melaksanakan tugasan utama pimpinan sebagai 'ta alluf al-quluub' yakni mempertautkan ahli-ahli dalam saff yang kukuh.

3. PAS wajar mengingatkan kepada kepimpinan negeri yang memerintah kerajaan negeri, ahli-ahli EXCOnya yang menganggotai kerajaan negeri-negeri Pakatan yang lain supaya senantiasa memelihara semangat muafakat politik Pakatan dengan tidak melakukan sesuatu yang boleh dipersepsi sebagai menjejaskan dan memudharatkan keutuhan kerajaan negeri.

4. PAS wajar segera mempertegaskan kepada semua peringkat keahlian dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci (dengan ketat) segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda "Kerajaan Perpaduan".

Seminar Politik Memperkasakan Parti mengesyorkan pimpinan tertinggi parti untuk:

1. Terus memperkukuhkan Pakatan dan meningkatkan persiapan untuk mengahadapi PRU ke-13 dengan sentiasa proaktif dalam memudahkan Pakatan melaksanakan serta menguruskan urusan kerajaan-kerajaan Pakatan dengan penuh keikhlasaan serta semangat setiakawan yang tinggi.

2. Kepimpinan Kawasan yang memilikki penduduk-pengundi bukan-Islam yang ramai supaya bertindak dengan lebih agresif untuk mengaktifkan Kelab-kelab Penyokong PAS di kawasan masing-masing.

3. Memantapkan rumusan pendirian-pendirian parti berdasarkan maklumat dan penyelidikan (informasi), kemudian menurunkan dan menyalurkan kesemua ini dalam pengarahan yang jelas dan berkesan sehingga ke akar umbi keahlian parti di semua kawasan dan cawangan di seluruh negara.

4. Membuat pengarahan yang jelas kepada Dewan Pemuda dan Nisa’ dengan KPIsnya, supaya segmen pengundi muda yang sedikit terjejas terhadap PAS mutakhir ini, dikembalikan keyakinan dan sokongan mereka kepada PAS. Juga dipertegaskan pentingnya untuk memugarkan kegiatan Unit ‘Amal dengan mempraktikkan modul yang telah sedia ada.

5. Membuat satu "Pelan Tindakan" bagi menghadapi PRU ke-13, bagi memperkukuhkan sokongan yang sedia ada di kalangan orang Islam-Melayu dan memuatkan satu ‘Roadshow Nasional’ bagi menerangkan tema “Pas For All” atau PAS untuk Semua” bagi melebarkan tapak sokongan merentasi semua agama, kaum dan budaya.

Resolusi Seminar Politik Memperkasakan Parti
7 November 2009, 19 Zulkaedah 1430H.

Royalti : Nik Aziz akan hantar surat kedua kepada Najib

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar satu rundingan diadakan supaya kerajaan pusat menukar pemberian wang ehsan kepada royalti.

Sebelum ini, perkara sama dilakukan Nik Aziz sewaktu kali pertama menuntut bayaran royalti negeri itu

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa ketika memaklumkan perkara itu optimis Najib akan membayar royalti berkenaan setelah berunding dengan kerajaan negeri.

Beliau juga yakin keputusan Najib untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan adalah disebabkan tekanan daripada puak Barisan Nasional di negeri itu yang tidak mahu royalti diberikan kepada rakyatnya.

“Saya yakin Datuk Najib selepas berunding dengan kerajaan Kelantan akan tetap membayar royalti kepada negeri.

"Sekarang saya yakin Najib hanya lakukan satu step pertama (bagi) mengendurkan tekanan politik daripada orang-orang politik Kelantan yang menghendaki bayaran itu tidak dilakukan.

"Ini permainan politik semata-mata, ia bukan berasas kepada undang-undang,” tegasnya dalam sidang media di lobi parlimen siang tadi.

Beliau hadir parlimen hari ini bagi mendengar sendiri penggulungan perbahasan pada peringkat Jabatan Perdana Menteri oleh Menterinya, Tan Sri Nor Ya’kub mengenai perkara ini.

Beliau berkata, isu tiga batu nautika untuk melayakkan negeri pengeluar mendapat royalti adalah satu hujah yang tidak berasas kerana syarat itu tidak termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

“Beliau akan sentuh semula mengenai royalti dan satu hujah yang digunakan (ialah ) ialah tiga batu nautika yagn tidak ada dalam mana-mana undang-undang. Kalau kita tengok undang-undang negara kita, yang ada hanyalah dua belas batu nautika. Tapi akta petroleum mengatasi segala undang-undang,” katanya.

Beliau meminta perbahasan akta petroleum di Dewan Rakyat pada November 1975 oleh Ketua Menteri Sarawak ketika itu Tun Rahman Yaakob dirujuk kembali.

Tun Rahman ketika itu menekankan dua unsur penting dalam akta petroleum 1974.

“Bahawa beliau menekankan akta itu mempunyai dua unsur penting.Yang pertama kuasa petroleum sebelum akta ini adalah terletak di bidang kuasa negeri-negeri, sejak sebelum kita menyertai Malaysia dan Persekutuan Tanah Melayu.

"Negeri Kelantan sama seperti Sarawak, (iaitu) negeri berdaulat dan mempunyai kuasa di atas petroleum dan kuasa ini hanya boleh diserahkan melalui satu perjanjian, dan perjanjian adalah mengikut akta 1974,” jelasnya.

Unsur yang kedua pula jelasnya adalah selepas negeri meyerahkan hak ini, adalah menjadi tanggungjawab petronas membayar pampasan dalam bentuk wang tunai.

“Adalah menjadi tanguungjawab petronas dalam bentuk ‘cash payment’, bukan royalti, bukan wang ehsan.ia mesti dalam bentuk tunai dan dibayar kepada negeri pengeluar.

Beliau turut menyebut mengenai jawapan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak kepada soalan ahli parlimen Lim Kit Siang iaitu:

“Tuan Yang di Pertua, Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut, yang dijual oleh PETRONAS ataupun ejensi-ejensi ataupun kontrektor-kontrektornya.

Tegasnya, kerajaan negeri bukan sekadar ingin menuntut wang yang sememangnya menjadi hak rakyatnya namun apa yang lebih penting adalah ketelusan kerajaan persekutuan dalam membela kebajikan rakyat.

Beliau turut mempersoal mengenai laporan tahunan petronas yang tidak pernah dibentangkan di parlimen.

“Kenapa petronas tidak boleh membentangkan di parlimen penyata petroleum di seluruh negara.Berapa pengeluaran setiap telaga pada setiap tahun dan berapa nilai pengeluaran tersebut. dan kedudukan tiap-tiap telaga termasuk bumi selatan yang disebut perdana menteri akan dibayar kepada Kelantan dalam bentuk wang ehsan,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan ke atas royalty demi keadilan rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan memperhebat kempen mengenai isu ini bagi memberikan kesedaran kepada rakyat mengenai hak mereka.

Khamis, 5 November 2009

PBSMK yakin bawa pulang piala emas

YAN - Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah (PBSMK) yakin akan membawa pulang Piala Emas Raja-Raja pada perlawanan yang akan berlangsung di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Pengurus Pasukan Bola Sepak Melayu Negeri Kedah, Firdaus Jaafar berkata, Kedah yang akan dibarisi beberapa pemain Liga Super dan pemain berpengalaman pada kali ini.

“Saya yakin pasukan Kedah sudah bersedia sepenuhnya untuk membawa pulang piala tersebut dan kemenangan ini kami tujukan kepada Sultan Kedah kerana sentiasa menyokong perkembangan sukan.

“Saya berharap agar semua penyokong pasukan negeri Kedah memberi sokongan sepanjang kejohanan yang berlangsung tidak lama lagi,” katanya

Pasukan ini juga akan dilatih oleh beberapa pemain legenda Kedah bagi membuat persiapan sebelum kejohanan berlangsung.

“Berdasarkan gabungan orang lama dan baru ini, saya harapkan agar satu pasukan mantap dari segi fizikal serta mental dapat dibentuk dalam masa terdekat ini,” katanya.

Firdaus juga menasihatkan agar semangat penyokong bola sepak Kedah tidak luntur berikutan prestasi malap yang ditunjukkan pasukan negeri yang ditunjukkan sepanjang kempen liga musim ini.

“Kita kena bersatu hati dan sentiasa memberi sokongan kepada pasukan ketika mereka berjaya serta ketika mereka melalui keadaan sukar.

“Saya yakin pasukan Kedah perlu memperbaiki sedikit kekurangan yang terdapat dalam pasukan untuk meningkatkan semula prestasi mereka agar tidak terus tercicir,” katanya ketika merasmikan gelanggang takraw di Kampung Gelam Tiga, Bukit Besar.

Gelanggang tersebut dibina atas kelulusan Menteri Besar bagi memberi ruang kepada golongan pemuda untuk melakukan aktiviti riadah pada masa lapang.

Perbahasan menarik bajet 2010 : MP Pokok Sena




ISU ROYALTI - PM BOHONGI RAKYAT

Bajet 2010 tidak mesra remaja - MP JERAI



Selasa, 3 November 2009

JANGAN TERPERANGKAP DENGAN AGENDA MUSUH

Oleh : Tuan Ibrahim Tuan Man

ISNIN, 02 NOVEMBER 2009 | 14 ZULKAEDAH 1430H

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.

Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal. Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landsasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:
  • Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
  • Bagaimana persiapan bilik gerakan,
  • Semakan daftar pemilih terkini
  • Semakan rang yang dibentangkan,
  • Bantahan yang perlu dibuat
  • Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya,
  • Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU.

Apa tidakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.


Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.