Sabtu, 17 Julai 2010

Editor media bukan ‘lembu Umno'

ALOR SETAR, 17 Julai: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak ‘melembukan’ media-media arus perdana.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tindakan kerajaan melarang editor-editor terbabit menggunakan terminologi 'barang naik' ketika melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan asasi rakyat, seperti yang didedahkan Malaysiakini semalam.

"Editor media-media ini bukannya 'lembu Umno', jangan lembukan media-media yang selama ini masih sokong kerajaan," ujar beliau malam tadi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah, di sini.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'rasionalisme subsidi' dan 'penyelarasan harga' semata-mata untuk membendung kemarahan rakyat terhadap pentadbiran Najib.

"Dia (Najib) guna terma-terma ini semua sebab dia mahu ‘melembukan’ rakyat, dia takut rakyat terus mengecam pentadbiran dia," ujar beliau sambil mengajak rakyat dan kakitangan kerajaan memulakan protes secara senyap terhadap pentadbiran Najib.

Katanya lagi, tindakan Najib merampas RM570 juta subsidi daripada rakyat sebagai tindakan mementingkan diri sendiri.

"Seseorang bapa pun kalau tak ada duit, dia akan mengikat perutnya, tetapi dia (Najib) sanggup ikat perut kita semua (rakyat) kononnya untuk menjimatkan duit negara.

"Dia mungkin ingat negara ini 'kerajaan laki-bini' dia, saya nak tegaskan di sini bahawa negara ini 'harta rakyat'," tegasnya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, seorang penasihat media di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melarang editor-editor terbabit membangkitkan amarah rakyat dengan melaporkan berita berhubung kenaikan harga barangan 5 dalam 1 termasuk petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) sejak malam kelmarin.

Mereka, menurut laporan itu lagi, turut diarahkan memberi gambaran yang mesra dan positif kononnya langkah Najib itu sebagai langkah penjimatan kerajaan demi kepentingan negara.

Jumaat, 16 Julai 2010

Harga barang naik, orang muda perlu tolak BN


Golongan muda tidak seharusnya berdiam diri dan bersetuju dengan tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya memperkotak-katikkan dan memperbodohkan rakyat dengan berbagai-bagai ungkapan apabila menaikkan harga barangan asas seperti yang berlaku semalam.

Apa yang berlaku semalam adalah merupakan suatu penghinaan kepada rakyat secara keseluruhannnya.

Alasan yang diberikan iaitu bukannya kenaikan harga barang tapi sebaliknya pengurangan subsidi ke atas barangan-barangan tersebut tidak dapat diterima akal yang waras.

Katanya, dengan kenaikan harga barangan itu kerajaan mampu memjimatkan RM750 juta pada tahun ini sahaja, tapi impaknya, penjimatan itu akan berterusan membebankan dan menekan kehidupan rakyat.

Kalaulah ianya merupakan langkah penjimatan kepada perbelanjaan negara, mengapa perlu diumumkan sejurus selepas Dewan Rakyat berhenti bersidang? Sepatutnya bentangkan di dalam parlimen untuk dibahaskan semua wakil-wakil rakyat kalau ianya dirasakan keperluan yang amat sangat bagi mengelakkan negara dari bankrap akibat kebergantungan rakyat kepada subsidi seperti yang dihebohkan baru-baru ini.

Pemuda Umno yang kononnya lantang memperjuangkan isu rakyat perlu bangkit menggerakkan ahli-ahlinya untuk memprotes kenaikan harga barangan menjelang majoriti rakyat negara ini akan menyambut ketibaan Ramadhan dan Aidil Fitri tidak lama lagi. Sudah pastilah keseluruhan harga barang walaupun tidak diumumkan semalam akan turut mengikut jejak 5 barangan itu.

Jika perlu, anjurkan demontrasi membantah kenaikan harga 5 barangan asasi ini seperti mana mereka berdemontrasi menentang isu kecurian pasir di Selangor kelmarin.

Khamis, 15 Julai 2010

Curi pasir: Kenapa Muhyiddin, Hishammuddin diam

KUALA LUMPUR, 15 Julai: Kerajaan Pusat dilihat enggan memberi kerjasama membanteras beberapa kes curi pasir di Selangor walaupun kerajaan negeri telahpun menyerah maklumat berwajib, semalam.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata demikian ekoran melihat kengganan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima surat maklum balas daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dah terima surat tentang siapa curi pasir, kroni pemimpin Umno bahagian mana yang terbabit, kenapa Muhyiddin dan Hishammuddin tak terima dan diam," soal beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Difahamkan, Khalid turut menyerah surat maklum balas yang sama kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya membanteras sendikit curi pasir itu.

Katanya lagi, kerajaan Pusat sepatutnya mengambil tanggungjawab bersama membanteras sindiket mencuri pasir memandangkan pihak berkuasa di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Beliau yang juga AJK Pemuda PAS Pusat turut menasihatkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo supaya tidak melindungi pihak terbabit memandangkan aktiviti curi pasir dilihat mula giat sejak beliau menjadi Menteri Besar.

"Jangan setakat fitnah itu dan ini, dia (Mohamad Khir) kena dedah sindiket itu sekiranya dia masih ingat," beliau menambah.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tidak terkeliru dengan dakyah-dakyah Umno yang mahu merampas kerajaan negeri daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Semalam, Khalid Ibrahim mengaku bahawa pengurusan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. masih lemah walaupun syarikat itu adalah syarikat berkaitan kerajaan negeri itu.

Ini kerana, beliau di Dun Selangor berkata, kerajaan negeri kurang mendapat kerjasama daripada pihak penguatkuasaan berwajib yang nyata di bawah bidang kuasa pusat.

Namun, Muhyiddin pada satu kenyataan media yang lain mengetepikan alasan Khalid itu dengan mendakwa bahawa kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat tidak mampu menguruskan isu pasir sebagaimana era Umno BN memerintah negeri.

Pun begitu, Mohamad Khir sendiri sehingga kini difahamkan masih belum menyatakan kesediaan untuk mendedahkan sindiket curi pasir yang berlaku ketika beliau menjadi Menteri Besar dulu.

Rabu, 14 Julai 2010

Kerjasama: Kenapa tak ajak Anwar sekali

JERAI, 14 Julai: “Kenapa tidak diajak Datuk Seri Anwar bersama yang ternyata mempunyai sokongan yang begitu kuat juga di kalangan rakyat,” kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Baginya, pelawaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbaik dengan PAS adalah antara agenda mereka untuk memecahbelahkan kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat (PR).

"Ini jelas membuktikan Umno dan Barisan Nasional sudah tidak yakin dengan dasar dan perjuangan mereka. Perjuangan PAS yang berlandasakan Islam adalah menjadi alternatif kepada mereka. Rakyat juga harus melihat dari sudut kegagalan Umno dan BN mengurus tadbir negara," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Beliau juga melahirkan keyakinan beliau bahawa pilihan raya umum tidak begitu jauh dari jangkaan sebenar.

Mengulas tindakan yang semakin rakus diambil oleh kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dalam beberapa isu yang membabitkan akhbar parti pembangkang seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket telah menunjukkan kekangan yang semakin terdesak oleh pihak kerajaan.

"Dengan kekangan ini mereka merasakan maklumat tidak akan sampai kepada rakyat, tetapi itu adalah satu kesilapan yang besar mereka lakukan. Ianya bukan saja menambah kebencian rakyat terhadap sikap yang mereka ambil, tetapi juga melipatgandakan hasrat rakyat ingin mendapatkan bahan yang terlarang pada anggapan mereka,” katanya.

Selasa, 13 Julai 2010

Sasaran 60 kerusi Parlimen cerah

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Sasaran PAS adalah merampas 37 kerusi Parlimen daripada Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), selain mempertahankan 23 kerusi yang sedia dikuasai oleh PAS, tegas Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Menurut beliau, usul 'menguasai 60 Parlimen' itu telahpun dipersetujui dalam Muktamar PAS kali ke-56 pada 12 Jun lalu demi memastikan PAS bersama-sama Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan Persekutuan dari Umno BN tidak lama lagi.

Sehubungan itu, beliau mewakili jentera pilihan raya pemuda menolak pelawaan Umno untuk kerjasama demi kepentingan parti perkauman itu.

"Sasaran kita yang sebenar adalah 60 Parlimen ke Putrajaya, janganlah main isu lain," tegas beliau petang tadi di Lobi Parlimen.

Baginya, PAS mempunyai harapan yang cerah untuk menguasai kesemua Parlimen sasaran tersebut jika berdasarkan demografi pengundian rakyat pada PRU12 lalu.

"Saya ingat cerah, kalau jentera lebih berkerja keras dari apa yang sedia ada," ujar beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Ini kerana, beliau berkata, sebanyak 16 kerusi Parlimen menyaksikan PAS kalah kurang dari 5 ribu undi.

Manakala, katanya lagi, lapan kerusi parlimen sasaran yang lain menyaksikan PAS kalah kurang dari 10 ribu undi.

13 kerusi berbaki, menurut beliau lagi, menyaksikan PAS kalah 13 ribu undi sahaja.

"Kita kena gandakan fokus dan kerja, kalau nak pujuk rakyat tolak politik zalim dalam pilihanraya depan," tegasnya lagi.

Ditambah dengan mood rakyat yang kian sedar ekoran melihat isu penyerahan tanah KTM di Tanjong Pagar pada Singapura; gadai dua telaga minyak (Blok L dan Blok M) pada Brunei; kes pembunuhan Altantuya; skandal kapal selam Scropene; serta perlantikan Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang dikatakan pro Yahudi sebagai syarikat komunikasi kerajaan, beliau berkata, sudah tentu memberi kelebihan pada PAS dan Pakatan Rakyat.

Penegasan '60 Kerusi Parlimen' itu sekaligus menjawab pelawaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Lokman Nor Adam kononnya PAS lebih mudah melaksanakan Islam sekiranya bekerjasama dengan Umno adalah sandiwara Umno semata-mata.

Menurut beliau, tujuan pelawaan itu demi kepentingan Umno semata-mata, bukannya Islam.

"Kalau Umno ikhlas nak laksana Islam, mereka boleh buktikan sekarang, tak perlu 'main wayang' dengan PAS," ujar beliau sambil menyifatkan kenyataan Lokman itu bertujuan memecahbelah muafakat Pakatan Rakyat.

"Saya tak mahu Negara Islam versi Umno sebab negara kekal dalam kezaliman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), mahkamah tidak bebas, rasuah sana sini, sokong judi bola, amalkan politik membenci kaum-kaum lain yang tidak sokong Umno dan banyak lagi sebenarnya."

Sebaliknya, beliau berkata, pendirian PAS bersama-sama DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat demi memujuk rakyat menolak kezaliman Umno BN; sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

"Dalam Perjanjian Fudhul Hudaybiah, sebelum Perang Badar dan waktu memeterai Perjanjian Madinah pun, Nabi sendiri bersama-sama orang Islam dan yang bukan Islam untuk lawan kezaliman, apa masalahnya dengan DAP dan PKR," soal beliau.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Lokman turut mendakwa DAP anti Islam, manakala PKR pula adalah parti yang memperjuangkan kepentingan peribadi pemimpin utamnya.

Lokman turut mengumpan PAS kononnya boleh melaksanakan Hudud sekiranya parti itu bersedia bekerjasama dengan Umno dalam masa terdekat ini.

Difahamkan, pujukan Lokman itu demi memulihkan semula sokongan masyarakat Melayu pada Umno yang belakangan ini dilihat kian pudar sejak parti perkauman itu menggadai kepentingan agama, negara dan bangsa.

Isnin, 12 Julai 2010

Najib dicurigai serah tanah kepada Singapura

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus dicurigai rakyat selagi beliau sendiri enggan menjelaskan tujuan sebenar tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar diserahkan kepada kerajaan Singapura.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, selagi Najib tidak menjelaskan mengapa tanah itu diserahkan kepada Singapura, selagi itu rakyat terus sangsi dengan kabinetnya.

Beliau yang juga Ketua Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Pusat berkata, tindakan Najib yang seakan menjual kedaulatan negara itu akhirnya banyak menimbulkan kesedaran rakyat, khususnya kaum Melayu sendiri.

Pun begitu, beliau berkata, jentera pemuda PAS khususnya di negeri Johor tidak wajar bergantung pada isu tersebut semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS negeri sepatutnya menggandakan program bersama rakyat dengan turut mendedahkan kegiatan Najib menggalakkan campur tangan Singapura dalam perlaburan di Wilayah Pembangunan Malaysia (WPI) belakangan ini kepada rakyat.

"Najib minta kita (PAS) dan rakyat bersikap terbuka dalam isu WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) ini, sedangkan motif beliau berbaik dengan Singapura tidak pula didedahkan kepada kita dan rakyat," kata beliau.

Sehubungan itu, rakyat wajar mempersoal tindakan Najib memelihara kepentingan Singapura di wilayah komersial itu.

"Lihat di WPI, apakah keuntungan yang rakyat dapat apabila tanah ini dibuka untuk pihak luar.

"Berapa banyak premis di WPI dimilik oleh rakyat dan berapa banyak premis di WPI dinikmati oleh pihak luar," katanya.

Tuntas dari itu, beliau mengajak rakyat mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan kembali bersatu mempertahankan kedaulatan negara dari dikhianati oleh pemimpin tertentu yang hanya mementingkan diri semata-mata.

"Tidak ada jalan lain, kecuali rakyat tak kira penyokong kerajaan atau pembangkang, sama-sama kita beri ingatan kepada pemimpin-pemimpin ini," tegas beliau sambil mengajak rakyat melakukan perubahan menggunakan kuasa mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Najib, petang semalam, dilaporkan meminta rakyat supaya bersikap terbuka dalam menilai tindakan kerajaan terhadap Singapura.

"Jika kita mahu melihat Iskandar Malaysia dan Johor maju, kita mesti bersikap terbuka terhadap semua pelaburan," ujar beliau seperti dipetik dari Bernama.

Tambahnya lagi, pelaburan di wilayah komersial itu seharusnya mementingkan keuntungan, sama ada hasil pelaburan Amerika Syarikat mahupun Singapura sendiri.

"Apa yang berbeza di antara pelaburan Singapura dan Amerika Syarikat, tiada bezanya, asalkan menguntungkan," jelas beliau ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pulai, Johor Bahru.

Manakala, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat sejak bulan lepas mendakwa tindakan Najib menyerahkan tanah Tanjong Pagar kepada Singapura adalah tidak sah kerana isu itu tidak pernah dibawa ke Parlimen serta diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jumaat, 9 Julai 2010

Aktiviti di kawasan

Menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Setia Jaya di Dun Sungai Limau

Menziarahi warga tua di sekitar Dun Guar Chempedak

Minum pagi dan berbincang dengan MKK Kaum Tionghua di Dun Gurun

Menghadiri majlis ramah mesra bersama masyarakat India dan menyampaikan bantuan di Dun Gurun

JOM SORAK & SEMBANG BOLA

Peminat-peminat bolasepak dan pemuda-pemuda di Jerai dijemput untuk bersama-sama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jerai & Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai merasai kemeriahan final world cup 2010.

Jom Sorak & Sembang Bola bersama Ahli Parlimen Jerai, Sdr. Azman Eusoff dan Sdr. Nizam Adha Yusuf akan diadakan pada 12/7/2010, 12.30 pagi (Isnin) bertempat di Restoren Ikan Bakar Jelatang.

Penganjur akan menyediakan screen besar, jamuan ringan dan tidak ketinggalan cabutan bertuah kepada pengunjung yang bernasib baik.

Rabu, 7 Julai 2010

Jentera Pemuda bersedia, pilihan raya makin hampir

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Pemuda PAS Pusat menggesa seluruh jenteranya bersiap sedia berdepan pilihan raya umum yang semakin menampakkan petanda bahawa ianya sudah hampir.

Pengarah Pilihanraya dewan itu, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, jentera pemuda PAS di semua peringkat perlu menggiatkan usaha ketika ini khususnya menarik pengundi muda mendaftar sebagai pemilih.

"Petanda plilihan raya sudah dekat, kita tengok Umno mula memfitnah PAS sebagai ajaran sesat.

"Media pula sudah jadi gila, lapor berat sebelah, burukkan Pakatan Rakyat sehingga melampau-lampau," katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Tambahnya lagi, selepas ini rakyat juga akan disajikan dengan berita ahli keluar parti dari Pakatan Rakyat yang akan dicanang dalam media-media arus perdana.

Media termasuk akhbar pembangkang pula, katanya akan berdepan tekanan bagi menghalang laporan-laporan alternatif disampaikan kepada rakyat.

Isu-isu kemiskinan khususnya di negeri Pakatan Rakyat, tambahnya juga akan diangkat bagi menggambarkan kelemahan pentadbiran PR, seperti suasana sama tidak berlaku di negeri BN lain.

"Tanda lain kita akan tengok Perdana Menteri akan beritahu ekonomi kita makin baik. Tiba-tiba ekonomi kita pulih. Itu tanda PRU memang sudah hampir," katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya segala persiapan perlu disusun dengan teliti agar tidak berlaku pembaziran tenaga, wang dan masa dalam waktu yang dianggap memasuki awal fasa genting ini.

"Bawa anak muda daftar undi kerana dengan kuasa undi sahaja kita akan dapat merubah Malaysia ke arah yang lebih sejahtera," katanya.

Perbahasan RUU Perlindungan Pengguna

Perbahasan RMK10



Khamis, 1 Julai 2010

Pusat digesa majukan pelancongan Kedah

KUALA LUMPUR, 1 Julai: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar meminta Kementerian Pelancongan menjelaskan agenda kerajaan Pusat dalam menggiatkan aktiviti perlancongan di Kedah.

Menurut beliau, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri seakan tidak mendapat kerjasama langsung dari urusetia pelancongan yang dilantik oleh kementerian dalam mempromosi semula Pusat Rekreasi Gunung Jerai, sejak setahun yang lalu.

"Berkaitan kerja sama urusetia pelancongan dengan Exco (kerajaan) negeri, saya lihat seperti tidak ada kerja sama langsung," ujar beliau pagi tadi pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Bagi beliau, keindahan flora dan fauna yang terserlah pada alam Gunung Jerai sebenarnya berpotensi menjadi produk perlancongan negeri.

Jika taman rekreasi itu dipelihara dan dipulihara semula, beliau berkata, sekaligus menjadikan Gunung Jerai sebagai produk pelancongan negara dalam menarik pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan jumlah peruntukan kementerian untuk memajukan industri pelancongan di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat itu.

Menjawab soalan itu, timbalan menterinya, Datuk Dr. James Dawos Mamit mengaku bahawa kerajaan telahpun memulihara semula Gunung Jerai dengan peruntukan serta projek khusus tertentu melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Mambong turut menafikan khabar angin yang dibangkitkan kononnya kementerian bersikap dingin dengan kerajaan negeri.

Tegasnya lagi, kerajaan pusat melalui Agensi Pelancongan Malaysia sebelum ini pun terbukti membantu kerajaan negeri mempromosi produk pelancong Kedah.

"Penyelenggaraan fasiliti telah pun dijalankan, itupun bergantung pada permintaan kerajaan negeri selepas ini," ujar beliau lagi.