Rabu, 27 Jun 2012

Penyerahan surat bantahan Kedai Judi Kuda di Pekan Jeniang



Penyerahan surat bantahan Kedai Judi Kuda di Pekan Jeniang kepada pihak Polis, MPSP, DO dan Pej Agama pada jam 11.30am nanti... Sila berkumpul di Pej PAS Bedong. Semua di Wajibkan Hadir.

Jumaat, 15 Jun 2012

Tol: Rakyat terbeban, pemimpin BN tidak terjejas

KUALA LUMPUR: Kerajaan menganggap kenaikan tol 5% selepas 2015 amat sedikit tidak akan membebankan rakyat, padahal yang tidak terjejas adalah pemimpin BN kerana kehidupan mewah melampau yang mereka miliki selama ini.

Justeru, Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LPAS DPPM) merasa kesal kerana kerajaan tidak berusaha mengurangkan beban pengguna lebuh raya di negara ini dengan mengurangkan kadar tol, apatah lagi untuk menghapuskan tol di negara ini.

"LPAS DPPM mendapati, dalam perjanjian Konsesi Tambahan PLUS yang dimuktamadkan pada November 2011, kenaikan kadar tol akan tetap berlaku selepas tahun 2015 dengan kenaikan sebanyak 5% untuk setiap 3 tahun sehingga ke 31 Disember 2038," ujar ketuanya, Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Menurutnya, meskipun kadarnya berkurangan iaitu sebanyak 10% kenaikan seperti sebelum ini, bagi DPPM ia tetap menjejaskan kehidupan rakyat.

Katanya, kerajaan seakan bermain politik dengan rakyat dengan mengisytiharkan tidak akan ada kenaikan tol dalam tempoh terdekat iaitu selama 5 tahun kebelakangan ini (2011-2015), walhal ia akan tetap dinaikkan selepas tahun 2015.

"Mungkin kerana dalam keadaan tersepit sekarang, kerajaan sukar untuk menaikkan kadar tol kerana bimbang rakyat akan semakin marah yang boleh menjejaskan kekuasaan mereka," ujarnya.

Ahli Parlimen Jerai itu berkata, mereka merasakan jika keadaan mereka selesa dalam tempoh yang panjang mereka kembali akan menjerut rakyat dengan pelbagai kenaikan.

Katanya lagi, kerajaan BN lebih rela mengenyangkan dan mengkayakan segelintir elit korporat yang terus meratah duit rakyat dan tidak peduli terhadap kesengsaraan rakyat.

"Di sisi rakyat, mereka pasti akan menangisi nasib mereka apabila mengetahui maklumat ini," ujarnya.

Justeru, LPAS DPPM menegaskan, berbeza dengan komitmen Pakatan Rakyat (PR) yang berterus terang terhadap rakyat, bahawa kebajikan dan kemudahan rakyat tetap menjadi keutamaan.

Tambahnya, antara janji dalam Buku Jingga yang diwar-warkan oleh PR adalah untuk terus menghapuskan kadar tol di semua lebuh raya utama di negara ini.

Jelasnya, PR lebih melihat kepentingan rakyat yang perlu lebih utama didahulukan daripada kepentingan golongan yang korporat.

"Bagi LPAS DPPM, tidak ada sebab untuk kerajaan terus terikat dengan perjanjian ini kerana kerajaan sebenarnya mampu menghapuskan tol di negara ini jika mereka mahu.

"Malangnya, mereka hanya memikirkan maslahat diri mereka dan agenda membela rakyat tidak ada dalam kotak pemikiran mereka," katanya.