http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Sabtu, 28 Ogos 2010

Raya: Kedah belanja RM3 juta untuk kakitangan

YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidang kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

Merdeka: Rakyat perlu azam kerajaan baru

JERAI, 28 Ogos: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara 31 Ogos ini, rakyat disarankan supaya menanam semangat baru dan keazaman dalam jiwa untuk memastikan negara mempunyai kerajaan baru pada pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar)ketika mengulas ulang tahun Hari Kemerdekaan negara ke-53, Selasa ini.

Menurut beliau lagi, rakyat harus menyedari tempoh had pemerintahan dan kuasa yang ada pada Barisan Nasional (BN) sudah sampai ke penghujungnya.

Kata beliau lagi, dengan adanya pemerintahan baru ini, maka kebimbangan rakyat dalam pelbagai masalah yang sekian lama menjadi persoalan akan berakhir.

"BN tidak mampu untuk mengurus hal ekonomi rakyat dengan baik. Isu saman ekor belum selesai, datang pula isu air dan tanah.

"Pakatan Rakyat (PR) cadangkan pendapatan setiap rakyat adalah RM4 ribu, menghapuskan cukai dan membanteras penyelewengan yang berterusan di bawah pemerintahan BN," katanya.

Tambahnya lagi, walaupun saranan itu hanyalah sebagai cadangan tetapi ia menampakkan idea yang membina dari kepimpinan PR jika dibandingkan dengan BN.

Beliau juga berkata oleh kerana itu, rakyat tidak lagi harus berdiam diri atas cadangan yang telah dibuat oleh PR baru-baru ini.

"Sebagai bukti Kerajaan Negeri Kedah telah pun menurunkan harga cukai tanah di Kedah. Syarikat Air Darul Aman (SADA) dikorporatkan dan bukan diswastakan. Rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa bebanan harga yang mahal.

"Dalam situasi ekonomi rakyat yang tidak menentu ini pelbagai sekatan dikenakan oleh Kerajaan Pusat. Slogan mereka rakyat didahulukan hanya mendahulukan rakyat dalam bebanan bagi merealisasikan hasrat dan pencapaian kerajaan diutamakan," tambahnya lagi.

Selasa, 17 Ogos 2010

300 terima sumbangan Ramadhan di Jerai


JERAI, 17 Ogos: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai mengambil inisiatif mengagihkan dana berjumlah RM30 ribu kepada 300 penerima terdiri dari anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin di sekitar Jerai bersempena Ramadhan tahun ini.

Majlis penyampaian bantuan kewangan yang disumbangkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di ibu negara telah diadakan di Surau Pondok Haji Hussain Dol, Guar Chempedak, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang hadir menyampaikan bantuan tersebut berkata, usaha kebajikan seperti ini amat dihargai dan berharap usaha murni ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dengan sokongan kuat semua pihak termasuk NGO-NGO.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan tazkirah bersempena majlis ringkas itu.

Dalam tazkirahnya beliau menyeru semua yang hadir untuk menghayati pesanan Rasulullah s.a.w kepada umatnya apabila tibanya Ramadan, dengan memperbanyakkan amalan ibadah di bulan yang didatangkan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan dari Allah SWT.

Menurutnya, Islam menganjurkan supaya diperbanyakkan bersedekah dalam bulan Ramadhan dan berharap semua pihak termasuk individu yang berkemampuan agar tidak melepaskan peluang untuk menjana ganjaran yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya.

Majlis penyampaian itu turut dihadiri Pegawai Khas (Kawasan) Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Ahli Majlis Daerah Yan, Ismail Ahmad, ketua-ketua kampung di seluruh Parlimen Jerai dan wakil NGO terbabit.

Pada sebelah petangnya, NGO terbabit bergerak menuju ke Sik dan Baling untuk bersama dalam majlis penyampaian sumbangan kepada 600 penerima lain di daerah tersebut.

Dalam perkembangan lain, Firdaus yang dalam sesi ziarah bulanannya turut menyampaikan bantuan skim kafalah kepada seorang balu di rumahnya di Kampung Jalan Baru, dekat sini.

Penerima manfaat skim itu, Rojmah Awang yang kini terpaksa membesarkan lima anaknya seorang diri selepas kematian suaminya, Azim Ahmad sebulan lalu akibat menderita penyakit buah pinggang. (Gambar)

"Kakak tak sangka yang kehadiran Ustaz Firdaus petang ini membawa rezeki untuk kami sekeluarga dan kakak nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang perihatian kepada orang-orang susah macam kami ini," katanya.

Kerajaan negeri dalam sidang bajetnya tahun lalu telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.6 juta bagi perlaksanaan skim kafalah Kedah.

Isnin, 9 Ogos 2010

Soi Lek jahil sebab ikut jejak Umno

Kenyataan jahil dan angkuh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan negara-negara Islam penuh dengan korup, miskin dan tertinggal ke belakang perlu dibantah sekeras-kerasnya.

PAS akan tetap memperjuangkan Islam sebagai sebuah agama yang syumul dan bukannya memperjuangkan kaum atau bangsa yang tertentu.

Sebenarnya Soi Lek harus belajar dan mengambil tahu serta memahami dasar sistem negara Islam terlebih dahulu. Beliau sepatutnya tidak terikut-ikut jejak Umno yang menggunakan sentimen bangsa untuk agama.

Umno pula harus memperbetulkan keadaan sebagai parti yang memerintah dengan memberi persepsi yang jelas kepada Soi Lek supaya tidak rabun ilmu mengenai kebenaran negara Islam.

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila MCA yang telah sekian lama berkawan dengan Umno tetapi masih belum mampu untuk memahami tentang Islam. Sedangkan dalam Pakatan Rakyat sendiri DAP amat memahami perjuangan PAS dan Islam. PAS juga tidak pernah mempertikaikan ajaran agama lain.

PAS juga tidak pernah memaksa orang lain memeluk Islam. Oleh kerana itu maka prinsip yang dibawa oleh MCA ini adalah jauh ketinggalan.

Mungkin disebabkan itulah MCA ditolak oleh masyarakat Cina kerana tidak pernah dan tidak mahu mengambil tahu mengenai pemerintahan Islam dan negara Islam yang sebenarnya.

Sabtu, 7 Ogos 2010

Sekolah pelajar hamil bukti penzinaan serius

Cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk mewujudkan sekolah khas bagi pelajar hamil menggambarkan betapa serius dan dahsyatnya perzinaan dan kemungkaran berlaku di dalam masyarakat hari ini.

Kita tidak menolak kemungkinan yang berlaku ini adalah disebabkan kegagalan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang memerintah harus berani berperanan bagi mencegah kemungkaran dan bukannya memelihara hasil dari perbuatan mungkar tersebut.

Kerajaan yang memerintah tidak berusaha dengan serius ke arah menentang kemungkaran tersebut. Tapi, apa yang mereka lipatgandakan usaha ialah kempen membayar zakat. Sehingga kini mana ada kempen menentang zina. Pegawai-pegawai di pejabat agama hanya turun padang untuk banteras khalwat.

Namun begitu, tiada pendidikan yang diberikan kepada kumpulan yang ditangkap itu yang menunjukkan BN sebenarnya gagal untuk membawa Islam dan syariat kepada umat Islam sepenuhnya.

Walaupun negara mempunyai Pusat Islam, Jakim, Yadim setiap negeri mempunyai jabatan dan majlis agama serta mufti tetapi sehingga hari ini umat Islam tidak dapat hidup dalam tuntutan syariat Islam yang sebenar.

Umno dan BN sememangnya gagal untuk membentuk peribadi masyarakat, maka rakyat harus berani untuk membina politik baru.

Setelah begitu ramai mengandung anak luar nikah baru hendak diwujudkan sekolah, akhirnya rakyat menjadi mangsa kepada sistem pentadbiran yang ada sehingga imej negara dan agama tercemar.

Isnin, 2 Ogos 2010

Aktiviti di kawasan

Umno punca kuasa politik Melayu terdesak

KEPALA BATAS, 1 Ogos: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, kuasa politik Melayu berada dalam keadaan terdesak sejak kebelakangan ini angkara pemimpin Umno.

"Memang politik Melayu terdesak tapi harus ingat angkara siapa jadi begitu. Bukankah Umno yang buatnya tersepit. Tapi bagi PAS, ia tidak rumit kerana tidak gunakan Melayu sebaliknya Islam," tegasnya ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Kepala Batas, semalam.

Sikap yang ditunjukan oleh Umno kononnya mahukan perpaduan, sambungnya, bukan serius tetapi hanya lakonan bagi menyelamatkan parti itu daripada karam.

Tegasnya, PAS dan Pakatan Rakyat akan diperkukuhkan untuk berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum akan datang.

"Kali ini, insya Allah kita tidak menurut dan kena berpegang kuat pada keputusan yang telah dibuat bagi menghukum Umno dan BN. Kita harap rakyat tidak termakan dengan jerat terbaru mereka yang sengaja dicipta untuk merenggangkan hubungan Pakatan Rakyat," jelas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Sekarang ini, ujarnya berbagai perancangan cuba dilaksanakan untuk memecahkan PAS yang diakitkan kononnya untuk berbaik dengan Umno atas perkauman Melayu.

Katanya lagi, semua serangan Umno menerusi isu perkauman ternyata gagal dan ada yang memakan diri parti perkauman Melayu itu sendiri.

"Biarlah ustaz Umno berkokok sesama sendiri dan kita kena memastikan ukhwah kita terus kuat dan menjadi benteng dakyah jahat Umno kerana yang penting ialah hancurkan Umno dan BN untuk capai kemenangan di Malaysia.

“Bila menang di peringkat Pusat, baru kita laksanakan dasar Islam yang menjadi cita-cita perjuangan," tambahnya.