Sabtu, 28 Ogos 2010

Raya: Kedah belanja RM3 juta untuk kakitangan

YAN, 28 Ogos: Kerajaan Negeri Kedah turut menghargai kakitangan awam negeri dengan membelanjakan sebanyak RM3 juta sebagai bayaran khas menjelang Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, bayaran sebanyak RM500 setiap orang itu diberikan kepada semua kakitangan sehingga kumpulan Gred 54.

Menurut beliau lagi, semua kakitangan akan menerima bayaran tersebut dalam tempoh seminggu sebelum hari raya.

"Dengan sumbangan ini, ia dapat menampung keperluan keluarga dan menceriakan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumber kewangan kerajaan negeri adalah terhad, berkat daripada tindakan kerajaan negeri melaksanakan penjimatan dalam pentadbiran, maka hasil tersebut dapat dikongsi bersama sebagai satu penghargaan kepada semua kakitangan," katanya.

Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah berkata, apa yang diberikan oleh kerajaan negeri kali ini adalah kadar yang termampu.

Azizan berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada guru Al-Quran dan bidang kampung di Kampung Teroi, Yan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan pemberian wang khas sebanyak RM400 sempena Aidilfitri kepada 3,577 kakitangan awamnya.

Ia kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat yang mengumumkan pemberian sebanyak RM500 manakala Selangor, Pahang, Terengganu dan Melaka juga tidak ketinggalan dalam pemberian wang tersebut menjelang Aidilfitri yang akan datang.

Tiada ulasan: