Sabtu, 18 September 2010

Tahyul: Siaran tv hari raya tidak bina minda

JERAI, 18 Sept: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar membidas kerajaan yang membenarkan siaran berunsur tahyul dan tidak berfaedah di televisyen sepanjang sambutan hari raya Aidilftri.

Beliau berkata, sepatutnya Kementerian Penerangan mengkaji semula semua siaran televisyen yang tidak menjurus kepada membina minda masyarakat.

"Mereka menghidangkan hiburan yang merosakkan minda rakyat yang menonton, khususnya remaja dan anak muda. Banyak siaran yang memaparkan kisah hantu dan tahyul seperti Susuk, Congkak, Jangan Pandang Belakang dan sebagainya tidak memberi manfaat.

"Apa sebenarnya yang ingin mereka paparkan ialah merendahkan martabat rakyat tanpa disedari. Rakyat juga diajar dengan kerja-kerja tahyul.

"Sepatutnya kementerian berasa malu kerana tahap program kita banyak menekankan perkara syirik dan palsu. Oleh kerana itu bagi mengubah sistem penyiaran ini, maka Pakatan Rakyat (PR) harus diberi peluang untuk menerajui Kerajaan Pusat," katanya lagi.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan seandainya PR mampu menerajui Putrajaya, maka banyak program membina iman dan takwa akan dilaksanakan.

"Ini membuktikan Barisan Nasional (BN) sudah tidak mampu lagi untuk membina minda dan membentuk masyarakat melalui program-program yang membina.

"Kemungkinan besar mereka takut sekiranya minda rakyat dapat dibina melalui program kesedaran dan keimanan, maka sokongan kepada mereka akan semakin terhakis apabila kepalsuan dan retorik yang selama ini mereka amalkan terbongkar," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: