Selasa, 17 Ogos 2010

300 terima sumbangan Ramadhan di Jerai


JERAI, 17 Ogos: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai mengambil inisiatif mengagihkan dana berjumlah RM30 ribu kepada 300 penerima terdiri dari anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin di sekitar Jerai bersempena Ramadhan tahun ini.

Majlis penyampaian bantuan kewangan yang disumbangkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di ibu negara telah diadakan di Surau Pondok Haji Hussain Dol, Guar Chempedak, dekat sini, semalam.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang hadir menyampaikan bantuan tersebut berkata, usaha kebajikan seperti ini amat dihargai dan berharap usaha murni ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dengan sokongan kuat semua pihak termasuk NGO-NGO.

Beliau turut berkesempatan menyampaikan tazkirah bersempena majlis ringkas itu.

Dalam tazkirahnya beliau menyeru semua yang hadir untuk menghayati pesanan Rasulullah s.a.w kepada umatnya apabila tibanya Ramadan, dengan memperbanyakkan amalan ibadah di bulan yang didatangkan penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan dari Allah SWT.

Menurutnya, Islam menganjurkan supaya diperbanyakkan bersedekah dalam bulan Ramadhan dan berharap semua pihak termasuk individu yang berkemampuan agar tidak melepaskan peluang untuk menjana ganjaran yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya.

Majlis penyampaian itu turut dihadiri Pegawai Khas (Kawasan) Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Ahli Majlis Daerah Yan, Ismail Ahmad, ketua-ketua kampung di seluruh Parlimen Jerai dan wakil NGO terbabit.

Pada sebelah petangnya, NGO terbabit bergerak menuju ke Sik dan Baling untuk bersama dalam majlis penyampaian sumbangan kepada 600 penerima lain di daerah tersebut.

Dalam perkembangan lain, Firdaus yang dalam sesi ziarah bulanannya turut menyampaikan bantuan skim kafalah kepada seorang balu di rumahnya di Kampung Jalan Baru, dekat sini.

Penerima manfaat skim itu, Rojmah Awang yang kini terpaksa membesarkan lima anaknya seorang diri selepas kematian suaminya, Azim Ahmad sebulan lalu akibat menderita penyakit buah pinggang. (Gambar)

"Kakak tak sangka yang kehadiran Ustaz Firdaus petang ini membawa rezeki untuk kami sekeluarga dan kakak nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang perihatian kepada orang-orang susah macam kami ini," katanya.

Kerajaan negeri dalam sidang bajetnya tahun lalu telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.6 juta bagi perlaksanaan skim kafalah Kedah.

Tiada ulasan: