Selasa, 17 November 2009

Pembangunan NCER-ECER dipertikai

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar pagi tadi meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan tahap kemajuan Projek Pembangunan Koridor Utara (NCER).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Tan Sri Nor Mohamed Yaakub mewakili Najib hanya menjelaskan tentang Projek Pembangunan Koridor Timur (ECER) di Kelantan bukan seperti kehendak soalan.

"Tentang projek-projek kerajaanm umpamanya di Kelantan, sebanyak 19 projek yang berjumlah RM542.7 juta diperuntukan," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Dua menjelaskan bahawa kerajaan turut menggunakan sumber-sumber yang ada di bawah peruntukan NCER dan ECER.

Pun begitu, beliau menafikan bahawa kedua-dua projek koridor tersebut bukanlah untuk mengambil alih peranan pihak berwajib yang sedia ada.

"Peranan koridor-koridor bukanlah untuk mengambil alih tugas-tugas kementerian tertentu menyelesaikan masalah banjir dengan bangunkan sistem terbaik."

"Untuk mengurangkan kekerapan banjir merupakan usaha yang diberi keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10)."

Ahli Parlimen Arau Ismail Kassim (BN) yang mencelah kemudiannya, berpendapat bahawa kewujudan koridor-koridor tersebut mengakibatkan berlakunya pertindihan dengan agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

"Saya masih rasa sangsi tentang pertindihan tugas antara NCER (dan) ECER dengan agensi-agensi (kerajaan) yang lain."

"Apabila agensi lain (koridor) mendapat bajet, dia tak tahu nak buat apa di kawasan-kawasan berkaitan."

"(Usaha membina) jalan ladang umpamanya, itu pun dia (koridor) nak buat, walhal itu kerja MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda)," jelasnya.

Beliau juga mencadangkan koridor-koridor terbabit hanya membangunkan projek-projek mega, bukan tugasan-tugasan asasi agensi kerajaan yang sedia ada.

Nada yang sama turut disuarakan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

"Saya setuju dengan (Ahli Parlimen) Arau...sehingga jalan atau stor kenduri pun nak koridor (ECER dan NCER) buat, sepatutnya padan JKKK saja bincang dengan Ketua Kampung."

"Koridor ini buat benda-benda yang tidak perlihatkan fungsi sebenarnya...contoh di kawasan saya (Pokok Sena), MADA asyik perbesar jalan selepas banjir sedangkan isu sebenar adalah tanah mendap," jelasnya.

"Saya lihat tidak ada kajian dalam isu pemendapan ini. Kalau macam itu JKKK pun boleh buat, Ketua Kampung boleh cadang."

Beliau juga meminta Ahli Parlimen Sungai Dua menjelaskan jumlah gaji sebenar semua Pengarah Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan (COO) koridor tersebut yang didakwa tidak efisyen.

"Kalau gaji tinggi, tapi begini kerja buatnya. Saya ingat elok bagi JKKK saja buat selepas berbincang dengan Tok Penghulu. Ini yang saya persoalkan."

Menjawab semua soalan tersebut, Nor memberi jaminan bahawa kerajaan sedang berusaha memajukan koridor-koridor tersebut.

Ujarnya lagi, kewujudan koridor-koridor tersebut tidak mengganggu peranan kementerian dan agensi-agensi berwajib.

"Koridor-koridor tidak memainkan peranan yang ditugaskan (pada) kementerian-kementerian dan agensi-agensi (kerajaan)," respon Nor.

Nor juga enggan mengulas persoalan gaji CEO dan COO koridor-koridor tersebut yang dibangkitkan Mahfuz.

Tiada ulasan: