Oleh : ZULKIFLI YAHAYA
Untuk kali yang ketujuh, pihak tertentu mencanangkan bahawa rampasan kuasa seperti yang terjadi di Perak akan berlaku pula di Kedah. Kali ini khabar angin yang disebarkan begitu ‘kemas dan menarik’. Kononnya pihak Badan Perhubungan Umno Kedah telah bermesyuarat di PWTC bersama pihak Pusat. Pelan pengambilalihan kuasa telah diperincikan dan Menteri Besar baru telah diputuskan iaitu Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail ADUN Guar Chempedak. Dua ADUN KeADILan dan satu DAP telah bersetuju melompat untuk bersama dengan dua rakan mereka yang telah melompat lebih awal. Khabar angin itu dilanjutkan lagi dengan dakwaan bahawa Dato’ Shafie Afdhal selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kedah akan mengadap Tuanku Sultan untuk memaklumkan bahawa BN mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Jika rakyat jelata tertanya-tanya atau terkeliru dengan cerita tersebut maka mereka tidak boleh dipersalahkan. Rasa syak wasangka tidak boleh dilenyapkan begitu saja kerana hal seperti itu benar-benar pernah berlaku di Perak. Lompatan parti oleh wakil rakyat KeADILan akhir-akhir ini berlaku begitu ‘jujuh’ sekali. Bukan perkara pelik. Ia benar-benar terjadi, bukan lagi cobaan.
Walaupun beberapa ADUN yang dibabitkan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut tetapi ia tetap belum meyakinkan. ADUN Lunas, Mohammad Radzhi Salleh juga pernah membuat penafian keras, berceramah hingga ke surau-surau tidak akan melompat. “Saya juga ada agama,” demikian Radzhi sering berkata dalam ceramahnya. Tapi dia yang ‘ada agama’ melompat juga. Apatah lagi, mereka yang tiada agama.
Untuk menjawab kepada rakyat dengan jujur bahawa perkara tersebut tidak berlaku, ia semacam menari mengikut paluan gendang musuh. Musuh suka jika kita melatah. Mahu tidak mahu jawapan diberikan juga kepada rakyat tetapi dalam bentuk sendaloka.
Saya mengubahsuai mesej asal yang disebarkan dengan memberitahu bahawa ’16 ADUN PAS akan melompat parti’ dan kerajaan katak yang akan ditubuhkan nanti akan melantik bekas ADUN KeADILan sebagai Menteri Besar. Begitu juga aktivis penerangan parti yang lain, ‘menjawab’ dengan pembohongan yang tidak masuk akal. Ramai yang tidak percaya dengan bermacam-macam mesej merapu yang disebarkan selepas itu. Sekurang-kurangnya ia dapat meredakan tekanan sebahagian rakyat yang prihatin dengan pergolakan politik tanahair.
Mujur sekonyong-konyong BN tersungkur di Sibu kepada DAP. Ia memberi kesan yang amat baik kepada Pakatan Rakyat. Maka khabar angin yang bertiup kencang perihal penubuhan kerajaan katak pun lenyap macam bara api disimbah air. Orang terfikir, masakan wakil tunggal DAP akan melompat di saat partinya menang di Sarawak dan di kala rakyat jelata sudah tidak berselera lagi memandang BN.
Dalam cerita kanak-kanak ‘Budak penipu dan serigala’ dia hanya sempat menipu dua kali kononnya ada serigala mahu membahamnya. Kali ketiga dia menipu orang kampung tidak percaya lagi menyebabkan dia benar-benar dibaham serigala. Tapi dalam cerita dongeng ‘BN dan kerajaan katak di Kedah’ mereka mampu menipu hingga tujuh kali, masih ada orang yang sudi mempercayainya.
Terdapat juga kalangan rakyat yang terlalu sayangkan kerajaan Pakatan serta tidak sanggup melihat berlaku rampasan kuasa macam di Perak, menasihatkan Menteri Besar supaya membubarkan DUN segera sebelum BN tubuh kerajaan katak.
Ketakutan itu sebenarnya tidak berasas di atas beberapa factor. Berdasarkan pengalaman di Perak dan Terengganu (1959) kerajaan katak hanya berjaya ditubuhkan setelah mereka menculik ADUN parti yang berkuasa di negeri. Setakat ini penculikan belum berlaku.
Selepas duculik, mereka memerlukan masa selama beberapa hari untuk melakukan brainwashed terhadap ADUN-ADUN tersebut. ADUN-ADUN itu dikurung dan hubungan mereka dengan dunia luar diputuskan. Proses mengubah minda akan dilakukan oleh tenaga pakar melalui tekanan, ancaman, pujukan dan sogokan. Tidak mustahil jika kepakaran APCO digunakan. Mossad dan CIA sangat terlatih dalam melakukan kerja sulit begini.
Kejayaan melakukan kerja jahat itu ialah dengan mengenalpasti terlebih dahulu wakil rakyat yang mahu diubah minda itu mempunyai masalah atau kelemahan peribadi. Soalnya sekarang, kesemua ADUN yang mahu dijadikan sasaran itu tiada masalah dengan parti, kerajaan, undang-undang mahupun pertikaian dengan pemimpin tertentu. Dengan laluan mereka menjadi sukar di fasa pertama lagi.
Halangan seterusnya bagi BN ialah keperluan untuk menonjolkan imej positif untuk jangka masa panjang. Mereka tentu tidak mahu berkuasa sementara di negeri untuk suatu tempoh pendek (dua tahun) tetapi imej tercalar teruk untuk jangka masa panjang.
Masyarakat Cina berpihak kepada pembangkang pada PRU ke 12. Peratus sokongan mereka terhadap Pakatan meningkat selepas rampasan kuasa di Perak. Ia dibuktikan di hampir kesemua pilihanraya kecil yang berlaku selepas itu. Antara sebabnya ialah kerana imej BN sangat buruk di mata masyarakat Cina setelah mereka melakukan rampasan kuasa di Perak.
Kedah adalah negeri majoriti Melayu. Tiada masalah bagi rakyat yang bernaung di bawah kerajaan PAS sejak lebih dua tahun. Aman seaman amannya.
Kedah juga adalah negeri yang paling ramai ahli PAS di negara ini. Demonstrasi padi, peristiwa berdarah Lubuk Merbau dan Memali berlaku di Kedah, dilibatkan dengan PAS. Jika Perak yang hanya mempunyai enam kerusi DUN, bergegar juga negeri dibuatnya maka apakah jika berlaku rampasan kuasa di Kedah, ahli-ahli PAS akan menyaksikan dengan tenang dan putih mata?
Tan Sri Sanusi Junid pernah berkata, “Orang Kedah sanggup mandi darah.” Jika berlaku ‘mandi darah’ di Kedah (barang dijauhkan Allah) maka BNlah yang akan dipersalahkan oleh seluruh umat manusia kerana menjadi punca terhadap kekalutan yang berlaku. Sedangkan suasana yang ada sebelumnya begitu aman damai. Imejnya akan jadi kotor untuk jangka masa panjang terutama di kalangan orang Melayu. Sebab itulah pembentukan kerajaan katak melalui rampasan kuasa di Kedah tidak menjadi pilihan bagi golongan lebih cerdik di dalam Umno.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN akan memastikan setiap tindakan yang dilakukan sebelum mengambil semula negeri dikuasai pembangkang mendapat sokongan rakyat.
"Cara ini lebih bermaruah dan yang penting kita mendapat sokongan penuh dan mengembalikan keyakinan rakyat, cara lompat-lompat mungkin boleh ambil negeri tapi belum tentu dapat sokongan," katanya.
Jika pelan rampasan kuasa dibincang oleh Dato’ Bashah dan APCO, mungkin mereka akan melakukan. Tapi jika ianya dibincang oleh pakar strategi dalam BN, penganalis professional, pihak keselamatan, para ilmuan yang pro BN; maka pastinya penubuhan kerajaan katak tidak akan jadi pilihan. Berdasarkan alasan tersebut ramai penganalisis politik yakin bahawa pertukaran kerajaan di Kedah secara luar tabie seperti di Perak tidak akan berlaku. Apa yang mereka cuba lakukan cuma mahu mencetuskan suasana bercelaru di benak pemikiran rakyat. Itupun gagal.
1 ulasan:
Alhamdullilah.,
Penerangan yg.jelas dan berkesan.
Teruskan berkhidmat pada rakyat.,tak kira agama bangsa serta kedudukan.
Biar mereka menilai di PRU13 nanti.
Insyallah.
Catat Ulasan