Lepas satu, satu lagi episod lawak antarabangsa dihidangkan oleh pemerintah 1Malaysia untuk hiburan penduduk bumi di abad ke 21 yang setiap saatnya terkandung ribuan juta informasi.
Episod kali ini melibatkan agensi pertahanan negara yang tidak sepatutnya menjadi aktor dalam cerita komedi ini. Tapi inilah realitinya bila pemerintah negara dipilih dari kalangan "badut berbibir merah".
Mungkin secara sinisnya kehilangan enjin jet pemintas berharga RM50 juta pada ketika DS Najib sebagai Menteri Pertahanan dan TS Azizan sebagai Panglima TUDM tidak ubah seperti hilangnya carburetor pada enjin motosikal EX5.
Atas alasan itulah mereka-mereka yang bertanggungjawab terhadap agensi itu boleh tidur nyenyak seolah-olah aset berharga RM50 juta itu tidak bernilai langsung kepada negara.
Di ketika 1Malaysia kecoh dengan perkhabaran itu, PM 1Malaysia tampil memberikan jaminan tidak akan menutup kes yang berlaku pada 2007 ketika beliau masih lagi menjadi menteri berkenaan.
Kata Najib, beliau sendiri yang mengarahkan aduan polis dibuat apabila menyedari tentang kejadian tersebut. Tapi tidak pula dinyatakan tarikh sebenar laporan itu dibuat, menurut sumber setahun selepas insiden itu berlaku. Kalau betul sumber itu, mengapa perlu ambil masa yang terlalu lama untuk buat laporan polis?
Atau mungkin laporan itu dibuat sehari selepas Menteri Pertahanan sekarang ini, DS Zahid Hamidi mendedahkannya Sabtu lalu, enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpengkalan di Afrika Selatan.
Walau apa pun, insiden kecurian ini mendedahkan kepada umum kepincangan yang ada pada agensi keselamatan negara kini dan sekaligus mengakibatkan rakyat hilang keyakinan terhadap tahap keselamatan negara.
Saranan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz supaya dipanggil Sidang Khas Parlimen ada asasnya. Insiden ini perlu dibincangkan di peringkat pembuat dasar agar keselamatan negara dapat dibaikpulih dengan segera.
Dalam konteks keselamatan ini kepentingan umum perlu didahulukan. Insiden-insiden pencerobohan markas ATM dan berulangnya episod-episod kelakar kebelakangan ini membuktikan pencapaian prestasi Kementerian Pertahanan bukan menjadi keutamaan kepada mereka.
Ini perlu dibincangkan hingga selumatnya, keselamatan negara bukanlah perkara yang boleh dimain-main. Siasatan menyeluruh berkaitan kes akan dapat merungkai kekalutan yang ditimbulkan.
Oleh itu, perlunya pembentukan satu jawatankuasa khas yang diberi kuasa penuh untuk menyiasat sesiapa saja tanpa mengira status atau kedudukannya. Agensi yang bertanggungjawab iaitu PDRM tidak boleh diharap langsung, gagal berfungsi dan memainkan peranannya. Ini terbukti bila PM mendedahkan laporan polis yang telah dibuat ketika beliau masih lagi menteri di kementerian itu.
Polis perlu sedar, organisasi mereka kini sedang diheret untuk dikambing hitamkan. Mereka perlu tampil menjelaskan kepada umum, mengapa sampai sekarang tidak ada satu pun kenyataan mereka berkaitan siasatan kes ini? Sekiranya ada penyiasatan, kenapakah ianya tidak menemui pengakhirannya? Atau, mungkinkah polis mengkategorikan kes ini sama seperti kes kehilangan duit syiling dalam poket seluar di rumah?
Insiden sebesar benua asia ini harus dipertanggungjawabkan terus kepada mereka yang tertinggi dalam agensi keselamatan negara, bukannya ditujukan kepada anggota bawahan lain-lain pangkat seperti kenyataan DS Zahid Hamidi.
Terbaru Zahid memberitahu, empat anggota ATM telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes ini dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi anggota bawahan lain-lain pangkat yang turut terlibat menghilangkan enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM.
Situasi sebeginilah sudah pasti menimbulkan kegelisahan kepada anggota-anggota bawahan ATM, sekiranya nasib tidak baik akan tersenarai dalam 'ramai lagi anggota bawahan' yang akan dikambing hitamkan bagi menutup kelemahan mereka yang berada di atas.
Menteri dan panglima yang terlibat ketika kejadian mesti tampil mengaku kelemahan dan bertanggungjawab di atas segala kecelaruan yang berlaku. Janganlah pula hilang sebagaimana hilangnya enjin-enjin jet F-5E (meminjam kata-kata Mahfuz) yang bukannya sebesar 'çarburetor motosikal EX5'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan