Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih Tuan Pengerusi kerana memberi keizinan kepada saya untuk membahaskan butiran Kementerian Pelancongan. Butiran 030000 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia. Kita mohon kepada kementerian supaya mengemaskinikan semula dan memberi sokongan yang padu kepada, khususnya daerah-daerah yang dikatakan dikenali sebagai daerah pelancongan.
Dalam kawasan Jerai, ada daerah Yan yang kita namakan Daerah Pelancongan dan Daerah Bersih. Apa yang terdapat di sana adalah pelbagai aktiviti pelancongan termasuk Gunung Jerai, Tangga Kenari, pengusaha homestay, chalet dan sebagainya.
Kemudian, Butiran 00800 – Kajian-kajian Pelancongan. Saya ingin tahu, bagaimanakah one-stop centre yang telah diwujudkan di semua negeri? Bagaimana peranannya, dan bagaimana ia dapat memberi info kepada pelancong dan pengusaha-pengusaha pelancongan ini, supaya dapat dikongsi bersama? Sejauh manakah keberkesanannya terhadap pengusaha-pengusaha chalet, homestay dan sebagainya?
Untuk perhatian, perlu dibuat kajian kerana terdapat di kawasan Jerai, deretan jualan jagung yang sudah pun menjangkau usia 40 tahun lebih. Namun, ia dilihat tidak dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Ini termasuk juga Terusan Wan Mat Saman yang suatu masa dahulu merupakan sejarah aliran air untuk sawah padi. Ia menjadi sejarah dalam negara kita juga, dan seolah dipandang sepi oleh pihak Kementerian Pelancongan. Kita pohon jualan jagung ini yang diwarisi turun-temurun, juga diberi pampasan dan juga diberi galakan kajian untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan dalam negara kita.
Kemudian Tuan Pengerusi, termasuk juga Butiran 01100 – Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan. Ini juga perlu diambil kira, kerana Parlimen Jerai dan kawasan Yan merupakan destinasi terbaik untuk dijadikan destinasi pelancongan pada masa kini. Maka, kita pohon kepada pihak kementerian supaya memberi peruntukan kepada destinasi ini, termasuk kawasan-kawasan yang telah pun diberi penumpuan seperti Titi Hayun, Batu Hampar, Chalet Salak Denai dan Seri Ayu, yang pada hari ini hanya diusahakan oleh individu sahaja. Maka dengan Program Penyediaan/Peningkatan Kemudahan Pelancongan ini. ia dapat membantu pengusaha-pengusaha menjadikan pelancongan tempatan domestik.
Kemudian, Butiran 02600 – Program Pembangunan Papan Tanda dan Papan Penerangan Pelancongan. Papan tanda merupakan info awal kepada pelancong dan kepada kita semua. Jika mana papan tanda ini berkarat, patah dan lusuh warnanya, ia tidak menggambarkan destinasi sebenarnya. Maka, agak malanglah. Maka, saya pohon kepada pihak kementerian supaya mengenal pasti dan membaik pulih papan-papan tanda ini, seperti mana yang terdapat sebelum ini billboard besar, terdapat zoom yang dibuat oleh Menteri yang lalu. Ke mana hala tuju yang sebenarnya? Kita pohon kementerian mestilah membaik pulih papan tanda ini, kerana ia memberi pandangan awal dan semangat kepada pelancong untuk berada di tempat tersebut, dengan memandang kepada papan tanda yang memberi penarikan kepada pelancongan.
Kemudian Butiran 02800 – Program Peningkatan Kemudahan Homestay. Ramai Menteri menyebut homestay ini merupakan projek syok sendiri. Kita pohon kementerian supaya mengenal pasti semula... (diganggu)
Ini ucapan Menteri, yang mana telah pun dilancarkan pada tahun... [Disampuk] Menteri jawablah. Dilancarkan pada tahun 1988 dan dirasmikan pada tahun 1995. Ini kerana, di kawasan Parlimen Jerai, banyak terdapat homestay ini. Apabila Menteri pada peringkat awal menyebut ia merupakan projek suka sendiri ini, ia menggemparkan kita semua, dan kita mohonlah supaya projek ini dapat diberi nafas baru, dan kemudian diberi peruntukan, khususnya masyarakat berpendapatan sederhana, supaya mampu untuk mengadakan homestay ini.
Khususnya di kawasan Jerai, saya kira hampir 40 homestay diwujudkan oleh pengusaha-pengusaha anak tani ini. Disebabkan kawasannya kawasan pelancongan, jadi inilah pendirian terdahulu Menteri yang baru mengendalikan projek homestay ini, kita minta supaya diberi nafas baru dan memberi galakan kepada pelancong supaya mereka boleh merasai kenikmatan kampung dan boleh memilih hotel, chalet dan sebagainya.
Saya pohon pihak kementerian supaya melihat semula destinasi pelancongan Jerai, kawasan Parlimen Jerai yang terdapat Gunung Jerai, yang merupakan antara gunung yang berada di tengah bandar, yang dikelilingi bandar Gurun dan bandar Yan, yang sudah tentulah menjadi tarikan kepada pelancongan. Mudah-mudahan, ia memberi penambah ekonomi kepada rakyat Jerai itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan