Khamis, 10 Disember 2009

Piala Emas Raja-Raja : Kedah Janjikan Kejutan Berdepan Singapura

ALOR SETAR, 10 Dis (Bernama)-- Skuad bola sepak Piala Emas Raja-Raja Melayu Kedah yang berjaya melayakan diri ke peringkat separuh akhir perlu berusaha bersungguh-sungguh jika berhasrat menjulang piala itu sebagai hadiah buat peminat di negeri ini.

Pasukan itu akan bertemu Singapura pada perlawanan separuh akhir pertama di Singapura Sabtu ini dan mereka harus menundukkan pasukan itu untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Ketua jurulatihnya, Mohamad Ramlee berkata walaupun skuadnya dijangka menghadapi laluan sukar menentang Singapura di gelanggang lawan, namun beliau tetap menaruh keyakinan anak buahnya mampu membuat kejutan.

"Singapura adalah sebuah pasukan yang mantap dan jika kita mampu seri, itu sudah memadai sebagai bekalan untuk perlawanan separuh akhir kedua di hadapan penyokong sendiri," katanya selepas sesi latihan skuad itu di sini Khamis.

Ramlee berkata, skuad itu juga telah mendapatkan khidmat empat orang pemain Liga Super Kedah iaitu Mohd Faizal Abu Bakar, Mohd Syafiq Jamal, Mohd Fazliata Taib dan juga penjaga gol Mohd Al-Hafiz Hamzah untuk memantapkan pasukan.

Tahun lepas, Kedah tersingkir pada pusingan awal dan beliau menganggap pencapaian mara ke separuh akhir adalah satu peningkatan besar bagi pasukan itu.

Pada suku akhir kedua Sabtu lalu, Kedah menumpaskan juara bertahan, Kelantan, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat 2-2 dalam masa tambahan.

--BERNAMA

Tiada ulasan: