Sabtu, 27 Jun 2009

TG Nik Aziz ajak Najib berdebat

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjemput Datuk Seri Najib Razak mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno-PAS.

Menteri besar Kelantan itu juga berkata draf surat jemputan rasmi kepada perdana menteri untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat, lapor Bernama.

"Jemputan itu sengaja dibuat memandangkan kekecohan yang berlaku dalam politik hari ini, terutama antara PAS dan Umno," beliau dipetik berkata selepas mengimamkan solat sunat dhuha di perkarangan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pagi ini.

Turut hadir pada majlis sempena sambutan Bulan Sembahyang itu exco pendidikan, pembangunan Islam dan dakwah Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Nik Aziz dilaporkan berkata hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda Umno negeri membuat aduan polis kelmarin berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Katanya lagi, perkara yang berlaku sekarang tidak akan selesai hanya dengan menggunakan media sebagai saluran tetapi mesti dibincang secara berdepan.Nik Aziz dilaporkan menyamakan Umno dengan ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Tiada ulasan: