PERHEBAT PERLU DIPERLUASKAN KE SELURUH NEGARA
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) ditubuhkan melalui Perintah Lembaga Angkatan Tentera, 1994 yang diperbuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Seksyen 23 Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 bertujuan menjayakan visinya menjadi sebuah pusat latihan yang cemerlang dalam pembangunan sumber manusia kepada bakal pesara dan bekas anggota tentera setelah bergelar orang awam.
Dalam memastikan pelatih-pelatih ini mendapat asas latihan yang sempurna, PERHEBAT harus diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi kemudahan kepada pelatih yang berada di segenap pelusuk negara yang sebelum ini hanya menjalani latihan peralihan di agensi-agensi lain di bawah pantauan PERHEBAT. Kebanyakan pelatih hanya sekadar mendapatkan pengesahan latihan dari agensi yang dipilih dan bukannya dilengkapi dan dibekalkan dengan latihan seperti yang digariskan PERHEBAT.
PERHEBAT disarankan untuk menitikberatkan kelengkapan latihan yang sempurna dan bukannya membiarkan pelatih-pelatihnya hanya sekadar menghabiskan masa peralihan mereka tanpa latihan yang mencukupi untuk mereka mengharungi kehidupan selepas bergelar pesara dan orang awam. Rungutan pelatih-pelatih PERHEBAT kebelakangan ini tentang kekurangan bahan mentah dan material untuk tujuan latihan di PERHEBAT adalah amat tidak munasabah kerana peruntukan kerajaan kepada pembangunan sumber manusia adalah tidak terhad.
Kementerian yang bertanggungjawab diminta untuk mempertimbangkan dan memberi perhatian terhadap cadangan dan rungutan ini sekiranya mahu melihat kejayaan dan keberkesanan PERHEBAT dalam mengurus tadbir hal ehwal bekas angkatan tentera yang banyak berjasa kepada negara.
SEKSYEN 107 KANUN PROSEDUR JENAYAH
PDRM merupakan salah sebuah agensi keselamatan kerajaan tertua yang menjangkaui usia 202 pada tahun ini dan dianggotai seramai 93,348 pegawai dan anggota pelbagai pangkat. Agensi ini mempunyai sebuah pusat pentadbiran di peringkat persekutuan, 14 buah ibupejabat kontinjen, 148 buah ibupejabat daerah dan 837 buah balai yang lengkap untuk mendokong visi dan misi agensi penguatkuasaan utama ini.
Di kawasan Parlimen Jerai, terdapat 3 buah balai polis iaitu Balai Polis Gurun yang berada di bawah pentadbiran IPD Kuala Muda dan Balai Polis Guar Chempedak dan Balai Polis Yan yang di bawah pentadbiran IPD Yan. Sering kedengaran rungutan rakyat yang tampil berurusan dengan Balai Polis Gurun dalam hal-hal berkaitan permasalahan mereka yang memerlukan repot polis dibuat. Pegawai polis di sini tidak mahu menerima pengaduan mereka dan meminta ianya dibuat ke Balai Polis Sungai Petani atau IPD Sungai Petani. Keengganan pegawai atau anggota di Balai Polis Gurun untuk menerima aduan adalah menyalahi Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah yang mengkehendaki Ketua Polis Balai atau pegawai polis lain di bawah arahannya menulis maklumat apabila pengaduan atau repot dibuat berkenaan sebarang kejadian sesuatu kesalahan.
Persoalan ini telah dikemukakan ke IPD Kuala Muda dan jawapan yang diberikan adalah kerana ketiadaan pegawai penyiasat di balai berkenaan. Jawapan ini menggambarkan bahawa di balai-balai polis yang lain juga turut berlaku krisis yang sama seperti di Balai Polis Gurun ini. Adalah amat mendukacitakan kerana di saat negara sedang menuju kepada status sebuah negara maju, kita tidak seharusnya memandang ringan aspek-aspek keselamatan rakyat. Kementerian harus mengambil tindakan segera memperbaiki kelemahan pentadbiran agensi penguatkuasaan utama negara ini dengan menambah bilangan pegawai-pegawai penyiasat atau menempatkan mereka di balai-balai polis seluruh negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan rakyat.
Di samping itu, kementerian juga disarankan untuk mengujudkan sebuah balai polis di Pekan Jeniang memandangkan kadar pertambahan penduduknya dan jarak perjalanan ke balai polis terhampir iaitu Balai Polis Gurun yang agak jauh dengan penempatan penduduk di sini. Kewujudan balai polis di Pekan Jeniang ini secara tidak langsung akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan Balai Polis Gurun yang telah dikecilkan kawasan pentadbirannya dan sekaligus akan memenuhi keperluan penduduk dan keselamatan mereka akan lebih terjamin.
PERBADANAN ASET KERETAPI
Perbadanan Aset Keretapi adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan untuk dipertanggungjawabkan bagi menguruskan tadbir semua harta-harta KTM mengikut Seksyen 92 dan Seksyen 93 Akta Keretapi 1991. Antara aktivitinya ialah menguruskan penyewaan tanah milik KTM dan tanah rizab KTM bagi tujuan premis kediaman dan komersial. Dalam menjayakan projek landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar yang dalam pembinaan, banyak premis-premis kediaman dan komersial di atas tanah milik dan tanah rizab KTM yang perlu dikosongkan.
Di Parlimen Jerai, mereka yang membina premis kediaman di atas tanah ini telah diarahkan untuk mengosongkan premis dengan kadar pampasan yang berpatutan tetapi bagi mereka yang membina premis komersial atau perniagaan di atas tapak yang disewa dari PAK ini diarahkan mengosongkan premis tanpa dibenarkan untuk menuntut sebarang kadar pampasan dari PAK. Ini menimbulkan rungutan dan ketidakpuasan hati mereka yang tidak berselang membayar sewa kepada PAK. Adalah diharapkan kementerian yang bertanggungjawab di atas dasar kemanusiaan dapat menimbangkan untuk meluluskan sedikit kadar pampasan kepada peniaga-peniaga yang menyewa aset PAK bagi meringankan bebanan dalam meneruskan aktiviti perniagaan mereka di tempat dan tapak yang baru.
Kementerian juga disarankan berbincang dengan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan sebidang tanah untuk dijadikan tapak penempatan penduduk-penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi projek pembinaan landasan keretapi berkembar di seluruh negeri Kedah. Penduduk-penduduk yang terlibat ini menghadapi masalah tapak penempatan untuk mendirikan rumah kediaman mereka apabila diarahkan berpindah. Dengan bayaran pampasan yang dijanjikan, penduduk-penduduk yang terlibat ini dapat menjadikannya modal untuk mendirikan rumah bagi didiami bersama keluarga mereka. Kesediaan kementerian terbabit dalam menyediakan sebahagian prasarana utama ini akan dapat menyelesaikan permasalahan penduduk-penduduk yang terlibat dan sekaligus akan menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini.
SKIM BANTUAN SEGERA PERSEKUTUAN BAGI KAWASAN PARLIMEN (BSKP)
Pakej ransangan ekonomi 2009 yang dibentangkan oleh baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk program kebajikan masyarakat. Sudah semestinya Jabatan Kebajikan Masyarakat akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pengagihan 6 billion ringgit yang diperuntukkan melalui skim-skim bantuan jabatan ini. Skim Bantuan Segera Persekutuan Bagi Kawasan Parlimen (BSKP) yang disalurkan terus kepada Ahli Parlimen kawasan berkenaan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan segera dalam kawasan mereka adalah salah satu skim bantuan yang terdapat dalam senarai bantuan JKM. Hak ini seharusnya tidak dinafikan kepada Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sekiranya kerajaan benar-benar mahu rakyat melihat mereka didahulukan seperti yang dinukilkan dalam konsep 1Malaysia.
Pegawai-pegawai JKM hendaklah bertindak secara profesional dengan tidak mengambil kira ideologi politik Ahli Parlimen yang mewakili kawasan berkenaan dalam menyalurkan bantuan-bantuan seperti ini. Kita tidak mahu pegawai-pegawai JKM lebih cenderung untuk bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin politik dan bukannya bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin masyarakat yang dipilih secara sah oleh rakyat seperti yang berlaku di Daerah Kuala Muda. Daerah Kuala Muda ini mempunyai tiga orang pemimpin masyarakat di peringkat parlimen yang senantiasa mendekati dan menyelami kehidupan rakyat di kawasan masing-masing di atas kapasiti mereka sebagai Ahli Parlimen.
Pegawai JKM Daerah Kuala Muda ini tidak bersedia untuk bekerjasama dengan kami yang bergelar Ahli Parlimen Sungai Petani, Ahli Parlimen Merbok dan Ahli Parlimen Jerai tetapi sebaliknya lebih gemar memberi layanan istimewa dan bekerjasama dengan seorang pemimpin puteri sebuah parti politik untuk menjayakan agenda dan aktiviti politiknya. Layanan seperti itu sepatutnya diberikan kepada kami yang bergelar Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat mengikut peruntukan yang digariskan dalam menyalurkan bantuan-bantuan JKM seperti Skim BSKP tersebut. Sikap pegawai ini jelas menyalahi etika kerja sebagai seorang penjawat awam dalam sesebuah agensi kerajaan. Adalah menjadi harapan kementerian yang bertanggungjawab dengan agensi ini haruslah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan permasalahan ini agar laungan 1Malaysia bukanlah sekadar retorik semata-mata.
Selain dari itu, terdapat berbagai-bagai skim bantuan lain yang diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ini. Melalui pemerhatian saya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan amat perlu direformasikan. Pada masa ini, setiap permohonan yang diajukan memerlukan suatu tempoh masa yang terlalu lama sehingga ada yang mencecah atau melebihi 1 tahun untuk mendapatkan kelulusan JKM. Tempoh masa siasatan yang terlalu lama amatlah tidak praktikal di era serba canggih ini. Amatlah wajar pihak kementerian mengarahkan Jabatan terbabit untuk mengkaji semula tempoh masa mendapatkan kelulusan permohonan skim-skim bantuan JKM ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan