Ahad, 28 Jun 2009

Permohonan Nizar ditolak Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya panel lima hakim akan mendengar rayuan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membatalkan pengisytiharaan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar negeri itu.
Peguam Nizar, Leong Cheok Keng berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak membenarkan permohonan anggota panel penuh 11 hakim.

"Surat yang difaks ke firma saya semalam (kelmarin), jawapan kepada permintaan kami ialah (panel) Mahkamah Persekutusan hanya akan terdiri daripada lima orang hakim. Tiada alasan atau penjelasan diberikan atas penolakan (permohonan) itu," kata beliau dalam kenyataan yang diemelkan petang semalam.
Minggu lalu, Nizar menekankan bahawa panel 11 hakim itu amat perlu memandangkan rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap mahkamah untuk menyampaikan keputusan adil dan saksama bagi menyelesaikan krisis politik Perak.

Sehubungan itu, Leong memberitahu, “Barisan anggota penuh adalah penting untuk mengembalikan keyakinan terhadap sistem kehakiman bahawa tiada amalan "memilih hakim" selain memastikan kebebasan menyeluruh, penolakan permohonan adalah sesuatu yang amat mengecewakan rakyat Malaysia.”
Leong berkata, beliau akan menasihatkan Nizar agar mempertimbangkan dengan serius untuk tidak meneruskan permohonan tanpa manfaat panel hakim rayuan yang lebih besar.

"Pada masa yang sama, saya akan menulis kepada mahkamah agar mempertimbangkan permohonan menambah panel dan juga sebab-sebab permohonan mereka telah ditolak," katanya.

Tiada ulasan: