http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 29 Jun 2009

Ahli majlis sokong saranan aktifkan semula gotong-royong

GUAR CHEMPEDAK- Program gotong-royong perdana merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh jabatan dan agensi kerajaan yang ada di daerah Yan untuk bersama masyarakat membantu mengindahkan persekitaran daerah tersebut. Ahli-ahli Majlis Daerah Yan (MDY) menyokong aktiviti yang dijalankan itu dalam usaha menyahut saranan kerajaan negeri yang mahukan budaya gotong-royong disuburkan semula di kalangan masyarakat kita hari ini.

Ahli Majlis MDY, Mohamaad Ismail berkata, langkah itu dapat merapatkan hubungan antara jabatan kerajaan dan orang ramai sekali gus dapat bersama-sama menjadikan daerah Yan salah satu daerah bersih yang ada di negeri ini. Menurutnya, masyarakat pula dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat dan mengetahui peranan serta fungsi sesebuah jabatan apabila mereka bergaul dengan kakitangan agensi berkenaan ketika gotong-royong tersebut.
“Program itu diadakan juga bagi memastikan kebersihan daerah Yan terkawal dan ditingkatkan supaya dapat menarik lebih ramai pelancong ke sini. Aktiviti seumpama ini amat bermanfaat dan patut dijadikan amalan oleh sesiapa sahaja dalam kehidupan mereka,” katanya kepada Sinar Harian semasa hadir pada program gotong-royong perdana membersihkan sekitar pekan Guar Chempedak, di sini, bersama pelbagai agensi kerajaan daerah.
Antara yang terlibat ialah jabatan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Daerah Yan (MDY), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Ketua Kampung (MKK), Penghulu Mukim Daerah Yan, masyarakat setempat dan pelbagai agensi lain.
Sementara itu, Ahli Majlis MDY, Jamaluddin Abd Hamid juga menyokong saranan kerajaan negeri ini yang ingin budaya gotong-royong disuburkan kerana ia dapat mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kejiranan dan menjalin kerjasama antara penduduk itu sendiri.
“Langkah tersebut juga sebagai usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran berkaitan kebersihan dalam kalangan masyarakat di kawasan masing-masing serta dapat dijadikan contoh oleh masyarakat kawasan lain,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis MDY, Muhammad Hafiz Abdullah berkata, aktiviti itu dapat memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa tugas menjaga dan memelihara kebersihan bukan terletak di bahu pihak berkuasa tempatan semata-mata.
“Aktiviti itu patut diteruskan dan menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita hari ini serta menjadi ikutan generasi muda,” katanya.
Sepanjang aktiviti gotong-royong itu, peserta terlibat membersihkan longkang, mengutip sampah, membersihkan Tanah Perkuburan Islam dan mengindahkan kawasan pekan Guar Chempedak.

Tiada ulasan: