https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Selasa, 26 Julai 2011

27.7 | Padang Lembu Gurun - Bersama Mahfuz, Ust Firdaus & Chan Min Kai

Memorandum sokongan terhadap isu pusat hiburan

Memorandum sokongan

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Malaysia prihatin terhadap isu pusat hiburan yang dibangkitkan di tiga buah negeri dengan menyatakan pendirian menerusi memorandum yang diserahkan kepada pemimpin tertinggi negeri terbabit.

:Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyerahkan memorandum pertama kepada Kerajaan Negeri Kedah, dengan menyokong tindakan Kerajaan Negeri melaksanakan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997, yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan.

"Walaupun diberi kelonggaran dengan membenarkan pusat hiburan beroperasi dengan syarat tidak membenarkan orang Islam memasuki premis hiburan, namun ia langkah bijak menghormati bulan Ramadan yang mulia, selain dapat mengekang gejala sosial berleluasa," katanya.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Pemuda Pas bangga kerana kerajaan Pas Kedah serius mahu melaksanakan enakmen itu pada tahun ini setelah tidak mampu melaksanakannya tiga tahun lalu.

"Tindakan ini tepat pada masanya dan saya harap bukan Islam menghargai sikap toleransi Menteri Besar ini," katanya pada media, selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, menyokong tindakan Kerajaan Negeri melaksana enakmen 1997 berkaitan isu pusat hiburan sepanjang Ramadan, di Wisma Darul Aman, semalam.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Mohd Khalid. Hadir sama, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Majlis Pimpinan Pusat PKR yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kasim.

Mohd Firdaus berkata, memorandum sama akan dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat, bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan Kerajaan Negeri yang bertegas mengharamkan sebarang bentuk perjudian di Kelantan termasuk tiket loteri walaupun dicabar MCA baru-baru ini.

"Pemuda Pas Pusat juga akan ke Melaka dalam minggu ini untuk serah memorandum ketiga kepada Ketua Menteri, membantah tindakan Kerajaan Negeri itu melanjutkan operasi pusat hiburan daripada 1 pagi hingga 3 pagi pada hujung minggu," katanya.

Menurutnya, inisiatif Pemuda Pas ini adalah usaha untuk mengekang gejala sosial, selain mahu membentuk umat Islam menghayati bulan Ramadan.

"Kami berterima kasih pada pemimpin Pas yang tegas dalam keputusan mereka berhubung isu ini, dan menambahkan lagi keyakinan pada kepimpinan mereka yang menunjukkan betapa pentingnya memilih pemimpin yang bukan sahaja menjaga hal-hal duniawi, tetapi juga menitikberatkan soal akhirat," katanya.

Sementara itu, Ahmad menyifatkan kemelut isu pusat hiburan di Kedah dipolitikkan banyak pihak namun berjaya diselesaikan dengan bijak oleh Menteri Besar.

"Kebijaksanaan pemimpin Pakatan Rakyat ini membuktikan mereka sepakat dan telah melaksanakan agenda dalam Buku Jingga. Pentadbiran yang mengutamakan rakyat dalam semua aspek, di mana dalam buku itu mengatakan, tumpuan diberi untuk memperbaiki hubungan antara kaum dan agama yang telah rosak serta memupuk budaya berasaskan nilai moral dan bersikap terbuka," katanya.

Menurutnya, pendekatan PR amat bertepatan dan meraikan semua kaum, tanpa ada unsur ekstremisme dalam apa jua tindakan.

"Sebelum ini parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan mungkin lupa mereka yang luluskan enakmen itu cuma tidak dilaksanakan sahaja. Sekarang setelah Menteri Besar dedahkan kebenaran, mereka malu dengan tindakan sendiri yang membantah pelaksanaan undang-undang yang diluluskan sendiri oleh mereka," katanya.

Selasa, 19 Julai 2011

23.7 - Ceramah di Sg Pau

Hiburan: Syabas Kedah, bagaimana dengan Melaka

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Rakyat negeri Kedah rata-ratanya menyokong tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abu Bakar yang tetap dengan keputusan kerajaan negeri yang mahu melaksanakan secara sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang melarang pusat-pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, walaupun sedikit kelonggaran diberikan iaitu pusat-pusat hiburan dibenarkan beroperasi dengan syarat hanya yang bukan beragama Islam sahaja yang dibenarkan namun ianya merupakan satu langkah yang bijak daripada kerajaan negeri bagi menghormati Ramadhan, bulan yang mulia.

Katanya, dengan tertegaknya perintah larangan terhadap umat Islam di Negeri Kedah itu, sedikit sebanyak dapat membentuk masyarakat Islam bagi lebih menghayati bulan Ramadhan.

"Rakyat negeri Kedah akan lebih terdidik dengan program Ihya' Ramadhan sambil ruang-ruang mungkar ditutup," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, dengan suasana yang ada sekarang ini yang lebih membawa ke arah gejala sosial, negeri Kedah menggunakan undang-undang sediakan ada bagi membendung kegiatan yang menjurus ke arah maksiat.

Beliau yang juga Exco Pemuda PAS Pusat berkata, walaupun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya namun sedikit sebanyak dapat membantu dalam mendidik rakyat kembali ke jalan yang benar.

Lagipun, ujarnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 diluluskan di zaman Umno BN memerintah lagi cumanya tidak dilaksanakan.

Menurutnya, umum semua mengetahui bahawa Umno BN hanyalah menggunakan agama sebagai alat untuk mengaburi mata rakyat yang mana undang-undang hanyalah digubal sedangkan perlaksanaan tidak menjurus kearah itu demi menjaga 'hati' parti komponen yang lain di dalam BN.

"Lihat bagaimana kerajaan negeri Melaka yang sanggup melanjutkan masa tempoh operasi pusat hiburan di negeri itu sehingga jam 3 pagi tanpa rasa bersalah dengan hanya berpaksikan kepada keuntungan duniawi semata-mata tanpa memikirkan akibat daripada keputusan ini.

"Persoalannya, siapakah yang memerintah Melaka? Mengapa perkara maksiat diberikan ruang seluas-luas sedangkan ceramah agama disekat dengan berbagai syarat?" soalnya.

Ini, katanya berbeza dengan PAS.

Beliau berkata, walaupun ianya menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pimpinan Pakatan Rakyat (PR) namun PAS tetap melaksanakan sambil penerangan diberikan kepada mereka yang tidak beragama Islam agar faham akan maksud dan tujuan sebenar berbuat demikian menyebabkan tidak lagi timbul rasa keliru di kalangan mereka.

"Inilah pentingnya memilih pemimpin yang bukan sekadar menjaga hal-hal berkaitan dunia namun ianya harus dikaitkan dengan akhirat dengan erti kata lain dunia dan akhirat 'berjalan' seiring bagi membentuk jati diri rakyat yang lebih mantap dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berguna kepada agama,bangsa dan negara.

"Syabas Kedah!" ujarnya.

Sabtu, 16 Julai 2011

Pemuda PAS: Di mana UMNO dan PERKASA?

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri Kedah yang telah mengharamkan operasi pusat-pusat hiburan seperti - karaoke, pub, disko, dan persembahan terbuka di bulan Ramadhan.  Bagi DPPM, tindakan ini bertepatan dengan ajaran Islam yang menegah sebarang perbuatan mungkar atau mengundang kemungkaran dilakukan terutama di bulan Ramadhan.

Dalam kenyataan Menteri Besar Kedah (gambar kanan), pusat rekreasi seperti snooker, billiard, cuber cafe, dan bowling dibenarkan termasuk persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam.  Dalam hal ini, DPPM mempersoalkan mengapa MCA harus melenting dan menentang larangan ini.  Larangan ini sebenarnya bukanlah menyanggah hak asasi manusia khususnya masyarakat bukan Islam, tetapi adalah sebagai langkah mendidik masyarakat untuk mengelakkan diri mereka dari tercebur ke gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.  Pemimpin MCA harus melihat kepada realiti yang berlaku dalam masyarakat.  Apakah nilai positif yang ingin diambil dengan berleluasanya pusat-pusat hiburan, pub, disko dan kelab-kelab malam selain untuk menambahkan gejala sosial seperti perzinaan, pelacuran, dadah, gangster, pergaulan bebas sehingga membawa kepada kes pembuangan anak.  Gejala sosial tidak mengira warna kulit, bangsa atau keturunan.  Adakah MCA bangga dengan meningkatnya gejala sosial dan jenayah hasil dari pusat-pusat hiburan pada hari ini.

Selain itu, nilai hak asasi manusia ada batasnya.  Segala perkara yang baik dan menjurus kepada kebaikan bolehlah diteruskan.  Tetapi, perkara yang boleh memudaratkan atau membawa keburukan tidak boleh dibiarkan.  Hiburan dibenarkan tetapi ada batasnya.  DPPM menganggap semua agama dan bangsa tidak boleh menerima hiburan yang boleh membaa implikasi buruk kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. 

Sebagai ingatan, larangan ini hanya berkuatkuasa di bulan Ramadhan, iaitu bulan suci umat Islam.  Bulan Ramadhan dikenali sebagai bulan amal ibadat.  Seharusnya MCA menghormati bulan suci umat Islam ini.

Di dalam isu ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pihak PERKASA dan UMNO sedangkan mereka sebelum ini kononnya lantang membela agama dan bertindak menyelar PAS yang dikatakan bersekongkol dengan BERSIH 2.0 yang dipengerusikan oleh Ambiga yang dikatakan membela orang murtad sedangkan mereka lupa Ambiga bertindak atas undang-undang yang diluluskan oleh UMNO/BN sendiri.

Ini adalah akibat apabila UMNO yang merupakan parti tunjang di dalam BN tidak menjelaskan Islam yang sebenar sehinggakan selepas 54 tahun merdeka, MCA masih "terkapai-kapai" dalam hendak memahami Islam.  Agama hanya digunakan apabila ada kepentingan politik semata-mata.  Islam hanya dibibir mereka bagi mengaburi mata rakyat kononnya merekalah pejuang agama.  Ini berbeza dengan DAP yang amat-amat menghormati Islam sebagai agama rasmi negara.

Akhirnya, DPPM menggesa UMNO agar menasihati MCA untuk menghormati amalan agama umat Islam.  Jangan hanya kerana memenuhi kehendak politik sempit UMNO tidak berani menegur rakan komponennya.  UMNO perlu jelaskan apakah nilai Islam sebenar serta larangan dalam Islam, jika benar UMNO memperjuangkan agama Islam di negara ini.

*Kenyataan media oleh Mohd Firdaus Jaafar (gambar kanan) selaku Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Isnin, 11 Julai 2011

Jumaat, 8 Julai 2011

Nota penting untuk peserta-peserta BERSIH 2.0..jumpa disana....

Nota penting untuk peserta-peserta BERSIH 2.0 - Suaram

Berilut adalah panduan untuk anda semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Tuntutan Bersih 2.0:
  • Pendaftaran automatik
  • Reformasi undi pos
  • Penggunaan dakwat kekal
  • Akses kepada media
  • Masa berkempen minima 21 hari
  • Pengukuhan perbadanan awam
  • Hentikan rasuah
Anda dinasihatkan:
  1. Datang ke KL seawal mungkin – cuba elak dari memandu ke KL.
  2. Sementara menunggu 2pm, anda boleh bersarapan atau makan angin di tempat awam berdekatan Stadium Merdeka (sokong peniaga tempatan).
  3. Rakan2 Muslimin/Muslimat boleh tunaikan solat Zohor di mana-mana masjid sesuai.
  4. Sebelum 2pm, sila menuju ke Stadium Merdeka.
  5. Terpulang kepada anda jika ingin memakai kuning atau tidak. Rakyat memakai kuning mungkin akan menghadapi sekatan yang lebih kuat untuk masuk KL.
Kami menjangkakan pelbagai kaum akan muncul, pelbagai ideologi dan kepercayaan akan berhimpun untuk menyatakan pandangan mereka khususnya dalam mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk mereformasikan pilihanraya.

Oleh itu bagi melancarkan perhimpunan ini, pihak kami mengeluarkan satu garis panduan yang diharapkan dapat membantu anda dan kami diperingkat penganjur dalam memastikan perhimpunan ini dapat berjalan dengan lancar dan aman.

*Perkara yang perlu anda bawa/sediakan *
  1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.
  2. Duit-maksimum RM100 sahaja.
  3. Memakai pakaian yang sopan-T-shirt /baju berwarna Kuning. Sebaiknya ada logo Bersih 2.0
  4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.
  5. Aksesori kempen-Button, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya boleh digunakan.
  6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.
  7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.
  8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.
  9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.
  10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis *N100 Respirator, N95 Respirator *dan* Surgical facemask* untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.
  11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.
  12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.
  13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.
  14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com
*Perkara yang tidak dibenarkan*
  1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.
  2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.
  3. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal yang menghalang pergerakkan.
  4. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.
  5. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 / Bersihkan Pilihanraya.
  6. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.
  7. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan tuntutan Bersih 2.0 tidak dibenarkan.
  8. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.
  9. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.
  10. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.
  11. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.
  12. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.
  13. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.
*Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan*
  1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.
  2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.
  3. Pastikan anda telah menunaikan 'hajat' sebelum memasuki perhimpunan.
  4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.
  5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.
  6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.
  7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.
  8. Jangan lupa *charge* bateri handphone dan kamera.
  9. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan -- Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru
  10. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.
  11. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.
  12. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).
  13. Jangan memakai baju Bersih 2.0 sebelum perhimpunan bermula.
  14. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan Sogo, DBKL, & Masjid Kg Baru dan tunggu arahan dari *Field Commander* yang dilantik.
*Semasa perhimpunan dan perarakan*
  1. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau *Field Commander* sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepada *Field Commander*
  2. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan *Field Commander*.
  3. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.
  4. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.
  5. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.
  6. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.
  7. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.
  8. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.
  9. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.
  10. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.
  11. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi *sound system* akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.
  12. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.
  13. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.
  14. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.
  15. Rakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.
  16. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.
*Selepas perhimpunan*
  1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.
  2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan.
  3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan bantuan daripada Unit Amal.
  4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah di tempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.
  5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.
  6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha Bersih 2.0 H/P: 0162208784; Email: bersih2.0electoral@gmail.com.
*Apa anda perlu buat jika kumpulan Anti-tuntutan Bersih 2.0 buat Provokasi*
  1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan *Field Commander* Unit Amal.
  2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.
  3. Jangan hampiri mereka.
  4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.
  5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.
  6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.
*Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan*
  1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.
  2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan meriam air.
  3. Duduk jika pimpinan arahkan.
  4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air *water canon* berwarna kuning.
  5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.
  6. Ambil gambar mereka jika sempat.
  7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.
*Apa yang anda perlu buat jika ditahan*
  1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.
  2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.
  3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).
  4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawab dengan ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.
  5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab "Masih tengah cari kerja" atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai pelajar. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab "Saya kerja swasta atau kerja sendiri". Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.
  7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu di luar balai jika anda ditahan.
  8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab "saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja". Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.
  9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah terpedaya bila mereka berlembut.
  10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.
  11. Jangan terlalu risau kerana di luar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.
*Apa yang anda buat selepas dibebaskan*
  1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.
  2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.
  3. Buat laporan Polis jika anda diberi layanan kasar semasa perhimpunan atau semasa ditahan.
  4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.
  5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.
  6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.
  7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.
  8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.
  9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.
  10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.
  11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.
*Perhatian!*
  1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.
  2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.
  3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.
  4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini
Secara keseluruhannya, kita berharap Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak SPR dan kerajaan persekutuan mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan dan proces implementasi negara kita.

Perhimpunan Bersih berjaya pada 10 November 2007 kerana ketabahan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk mereformasikan pilihanraya, mengkukuhkan perbadanan institusi dan hentikan korupsi.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada *Field Commander* atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini.

source: http://cenangau.blogspot.com/2011/07/nota-penting-untuk-peserta-peserta.html#ixzz1RTTnp9Xa