https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Rabu, 30 Jun 2010

Aktiviti di dalam kawasan hujung minggu lepas

Bertemu pengunjung dan peniaga pasar malam Padang Lembu di dalam DUN Gurun

Memenuhi undangan perkahwinan di Pulau Mas dalam DUN Sungai Limau

Ceramah Yahudi dan Judi bersama Tn Hj Mohamad Sabu dan DS Nizar Jamaludin di Bedong

Umno takut kuasa undi anak muda

KUALA LUMPUR, 30 Jun: “Pemuda Umno mungkin tiupkan sentimen perkauman ini kerana mereka sendiri mungkin yakin bahawa anak muda Melayu mampu mengancam Umno pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Umno kononnya nisbah pengundi baru antara Melayu dan bukan Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu adalah 1 Melayu nisbah 40 bukan Melayu.

Menurut beliau, Umno tidak ada jalan lain untuk mengekalkan kuasa mereka dalam negara, kecuali mereka terpaksa bergantung pada undi tradisi daripada ahli-ahli Umno serta pengundi Melayu yang masih menaruh harapan pada parti perkauman tersebut.

“Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain umumnya lebih berminat dengan Pakatan Rakyat, kalau nak bergantung pun mungkin dengan undi tradisi dari Umno dan orang Melayu,” ujar beliau.

Pun begitu, beliau berkata, para pengundi bandaran serta mereka yang terdedah dengan media baru yang sebelum ini pernah mengundi Umno telah menunjukkan minat dengan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang tsunami politik PRU12 lalu.

Impaknya, beliau berkata, rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di Kedah, Selangor, Perak (sebelum kudeta) dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai turut mempersoal pendirian Umno ekoran sokongan semua kaum bukan Melayu sebelum PRU12 yang lalu.

“Sudah 50 tahun orang Cina, orang India dan lain-lain mengundi, mengapa hak mengundi mereka ini seakan terancam dengan kenyataan pemuda Umno ini.

“Jadi Umno, dia buat kenyataan bersifat ancaman macam ini kononnya orang Cina dan India nak ambil kuasa politik daripada Umno,” ujarnya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno supaya bersikap rasional dalam melihat minat pengundi baru di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Dunia twitter, dunia Facebook, dunia blog serta lambakan maklumat yang mengelilingi anak muda tak kiralah Melayu atau bukan Melayu sekarang ini, bagaimana Pemuda Umno masih dengan ‘politik ancaman’ yang lama,” nasihat beliau.

Tuntas dari itu, beliau mengajak pengundi baru yang berminat dengan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kuasa undi masing-masing pada PRU13 kelak.

“Tak cukup kalau minat saja, daftarlah mengundi dan sokonglah calon PAS dan Pakatan Rakyat guna kuasa mengundi masing-masing,” ujar beliau. -harakahdaily

Sabtu, 26 Jun 2010

Terbukti Najib seorang yang pembohong

Terbukti Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 membohongi keseluruhan rakyat negara ini termasuk penyokong-penyokong tegarnya yang bermatian mempertahankannya dalam isu kelulusan lesen judi sukan kepada Ascort Sport kepunyaan Vincent Tan.

Najib ketika menjawab pertanyaan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat awal Jun lalu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia seperti yang dihebohkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma perlesenan dengan syarikat tersebut bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

“Kerajaan masih mendapatkan maklum balas atau pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia,” katanya.

Kenyataannya itu dijadikan hujah untuk penyokong-penyokong Umno menjawab kecaman dan kritikan golongan yang melancarkan penentangan terhadap pemberian lesen judi sukan ini termasuklah mereka yang bergelar lagenda bolasepak negara.

Tetapi dalam keghairahan Najib menyambut kemasukan 40 'ulama muda' yang sebahagian besarnya berkelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana dan PhD dari universiti dalam dan luar negara, beliau mengumumkan penarikan balik pemberian lesen judi sukan kepada syarikat yang berkenaan .

Persoalannya, mengapa perlu ditarik balik atau dibatalkan pemberian lesen tersebut jika ianya belum diluluskan?

Terbuktilah di sini bahawa Najib tidak bercakap benar atau dengan kata lainnya telah membohongi 27 juta rakyat Malaysia. Najib perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dicetuskannya.

Rabu, 23 Jun 2010

Ayuh Cabar Kerajaan Dedahkan Bukti Penglibatan Mahasiswa dalam Gerakan Pengganas!

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan, semalam di Lobi Parlimen.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau seperti yang dilaporkan Harakahdaily.

Hari ini pula, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI). Mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak, terutama pembangkang, bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh. [berita lengkap di sini]

Sebagai seorang anak muda, saya berasakan isu ini sengaja diada-adakan bagi menutup atau mengalih pandangan rakyat kepada isu-isu besar yang lain. Soal judi sukan tidak terjawab, pelbagai skandal, pendedahan, GLC lingkup dan rugi, kes DS Anwar Ibrahim, keselamatan Negara dan lain-lain, kini timbul pula permasalahan yang lain.

Masih ingat lagi peristiwa 11 September 2001? CIA merancang, digembar-gemburkan perbuatan ‘pengganas’ Al-Qaeda, satu dunia kacau bilau, lalu Amerika Syarikat mengistiharkan perang membasmi keganasan. Kebanyakan pemimpin dunia termasuk di Malaysia sujud di kaki Amerika Syarikat, kononnya menyahut seruan membasmi keganasan. Maka, ditangkap beberapa individu, disumbat ke dalam ISA, kemudian disabitkan dengan kegiatan pengganas.

Sepertimana Amerika, Malaysia juga menggunakan operasi yang sama menyekat kebangkitan pejuang kebenaran. Pada ketika zaman reformasi yang tercetus pada tahun 1998 dan momentumnya berterusan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada cara lain selain dari menjadikan ancaman keganasan seperti ini bagi mengalih pandangan rakyat kepada isu yang sebenar, juga sebagai satu cara meneruskan legasi pemerintahan beliau. Amerika pula melancarkan ‘War on Terror’ bagi menghalalkan serangan ke atas Afghanistan dan kemudiannya Iraq. Walhal semua itu tercetus bagi menyelamatkan ‘adik angkat’ mereka di tanah Palestin. Siapa lagi kalau bukan Zionis Yahudi Laknatullah.

Berbalik semula kepada tuduhan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri. Apa yang dibangkitkan bukanlah perkara main-main, boleh dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. Jika ianya benar, benarlah. Jika ianya sengaja diada-adakan, maka celakalah.

Oleh yang demikian, sebagai seorang anak muda yang mempunyai autoriti di dalam Parlimen, saya menarik perhatian pembaca akan perkara-perkara ini :

1. Isu ini diolah dan dicipta oleh kerajaan bagi mencetuskan keadaan yang tegang di kalangan masyarakat, kerana mereka sedar sokongan rakyat kepada mereka semakin jauh dan berkurangan.

2. Jangan menghalang mahasiswa dari mengambil tahu berkaitan isu-isu semasa, menyatakan pendirian mereka dalam sebarang isu, turun ke jalan raya menentang kekejaman Zionis Yahudi (baik Zionis di Palestin, mahupun APCO di Malaysia), menjadikan mahsiswa ‘mandul’ ilmu pengetahuan isu lokal mahupun antarabangsa, terlibat dengan diskusi ilmu, menghadiri kuliah-kuliah agama dari mana-mana ustaz atau Ulamak atau sebarang bentuk bacaan Islamik. Mereka bakal mewarisi Negara, jangan cuba memomokkan mereka dengan perkara yang menjengkelkan.

3. “Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” – YB Salahudin. Persoalannya, mengapa pihak KPT sendiri mengakui tidak ada bukti yang kukuh mensabitkan mahasiswa di beberapa university tempatan terlibat dengan keganasan?

4. Hishammuddin dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini. – YB Mahfuz Omar. Persoalannya, jika ianya benar seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, kenapa ianya tidak disertakan sekali dengan bukti? Mengapa tiada pertuduhan di mahkamah? Adakah ianya sengaja ditimbulkan bagi menghalalkan ISA?

5. “Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” – YB Khalid Samad. Nah, inilah natijahnya. Malaysia menghasilkan produk pengganas. Lebih malang lagi, disabitkan pula dengan penglibatan mahasiwa.

6. Kenapa tidak diketengahkan masalah sebenar yang melanda university tempatan? Tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik di dunia? Gejala sosial yang melanda mahasiswa? Pelajar gagal menguasai subjek atau kursus yang diikuti? Bagaimana pula sikap kementerian berkaitan permasalahan ini?

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua mahasiswa yang bernaung di bawah persatuan-persatuan seperti GAMIS, PKPIM, GPMS, juga mahasiswa beraliran berbeza di university, baik Pro Mahasiswa, mahupun Pro Aspirasi, Majlis-majlis Perwakilan Pelajar di setiap Universiti serta para Mahasiswa yang lain agar MENCABAR Datuk Seri Hishamudin Hussein, Menteri Dalam Negeri, memberikan bukti yang kukuh penglibatan mahasiswa di universiti tempatan dalam keganasan.

Saya juga menyeru kepada semua ahli akademik, baik pensyarah sehinggalah ke peringkat yang tertinggi di dalam Universiti membela pelajar anda dengan menyatakan mereka tidak sama sekali terlibat dengan pengganas.

Ini penting bagi membersihkan nama Mahasiswa, juga nama universiti tempatan.


Mohd Firdaus Jaafar

RMK10 perlu selamatkan belia negara

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, RMK10 seharusnya memberi lebih penekanan kepada pembebasan remaja dari kepungan keruntuhan moral dan akhlak.

Menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan RMK10 di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan belia negara ini hidup bersyariat bagi mengelak keruntuhan moral dan akhlak mereka.

"Kerajaan perlu ada garis panduan, selamatkan remaja-remaja kita daripada krisis yang dialami sekarang ini," katanya.

Kementerian yang berkaitan agama, katanya perlu bersama dengan kementerian lain seperti pendidikan, pengajian tinggi dan juga pertahanan melalui PLKN, untuk merancang garis panduan tersebut.

Beliau juga menggesa penubuhan Majlis Belia Negara yang melibatkan 12 kementerian dipercepatkan.

Selain itu, bagi menarik golongan muda ke masjid pula, beliau mencadangkan kouta imam muda ditambah.

"Saya cadangkan kouta imam muda di kalangan hafiz diwujudkan. Orang muda mampu menarik gologan remaja dan belia ke masjid," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan meneliti semula keberkesanan kurikulum Kemahiran Asas Fardu Ain yang dilihat sukar membentuk generasi berakhlak tinggi pada waktu ini.

http://www.harakahdaily.net/