Rabu, 17 Mac 2010

Anwar puji kepimpinan MB Kedah

ALOR SETAR : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kepimpinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang telah berjaya menguruskan negeri itu sepanjang dua tahun menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, Ustaz Azizan telah yang berjaya menempatkan Kedah di kalangan negeri yang terbaik dalam pengurusan kewangan hasil dari pentadbiran yang telus dan bersih daripada sebarang amalan rasuah.

Sepanjang tempoh dua tahun itu juga katanya Kedah telah merekodkan pendapatan hasil bumi yang amat memberangsangkan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

"Kejayaan ini amat membanggakan dan pujian harus diberikan kepada Kerajaan Negeri Kedah di bawah kepimpinan Ustaz Azizan.

"Rakyat perlu meneruskan sokongan kepada Ustaz Azizan demi untuk memastikan kesinambungan pentadbiran sebuah kerajaan yang cekap, telus dan bersih dari amalan rasuah," katanya ketika berceramah umum, di Kompleks PAS Kedah baru baru ini..

Menurutnya lagi, kebijaksanaan Ustaz Azizan memimpin jentera pentadbiran negeri tidak perlu dipertikaikan lagi apabila sering membuat keputusan yang tepat dalam memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Anwar turut membenarkan Kerajaan Negeri mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermasalah dan menyeleweng daripada tugas yang diamanahkan.

"Kalau mereka bermasalah dan menyeleweng dari tugas hingga menjejaskan kerajaan negeri, ambillah tindakan ke atas mereka. Kita bukannya mementingkan parti semata-mata, kesejahteraan rakyat adalah matlamat yang paling utama," ucapnya.

Tiada ulasan: