https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Rabu, 30 Jun 2010

Aktiviti di dalam kawasan hujung minggu lepas

Bertemu pengunjung dan peniaga pasar malam Padang Lembu di dalam DUN Gurun

Memenuhi undangan perkahwinan di Pulau Mas dalam DUN Sungai Limau

Ceramah Yahudi dan Judi bersama Tn Hj Mohamad Sabu dan DS Nizar Jamaludin di Bedong

Umno takut kuasa undi anak muda

KUALA LUMPUR, 30 Jun: “Pemuda Umno mungkin tiupkan sentimen perkauman ini kerana mereka sendiri mungkin yakin bahawa anak muda Melayu mampu mengancam Umno pada pilihan raya umum akan datang,” kata Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Pemuda Umno kononnya nisbah pengundi baru antara Melayu dan bukan Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu adalah 1 Melayu nisbah 40 bukan Melayu.

Menurut beliau, Umno tidak ada jalan lain untuk mengekalkan kuasa mereka dalam negara, kecuali mereka terpaksa bergantung pada undi tradisi daripada ahli-ahli Umno serta pengundi Melayu yang masih menaruh harapan pada parti perkauman tersebut.

“Kaum Cina, India dan kaum-kaum lain umumnya lebih berminat dengan Pakatan Rakyat, kalau nak bergantung pun mungkin dengan undi tradisi dari Umno dan orang Melayu,” ujar beliau.

Pun begitu, beliau berkata, para pengundi bandaran serta mereka yang terdedah dengan media baru yang sebelum ini pernah mengundi Umno telah menunjukkan minat dengan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang tsunami politik PRU12 lalu.

Impaknya, beliau berkata, rakyat memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah kerajaan negeri di Kedah, Selangor, Perak (sebelum kudeta) dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai turut mempersoal pendirian Umno ekoran sokongan semua kaum bukan Melayu sebelum PRU12 yang lalu.

“Sudah 50 tahun orang Cina, orang India dan lain-lain mengundi, mengapa hak mengundi mereka ini seakan terancam dengan kenyataan pemuda Umno ini.

“Jadi Umno, dia buat kenyataan bersifat ancaman macam ini kononnya orang Cina dan India nak ambil kuasa politik daripada Umno,” ujarnya.

Ekoran itu, beliau menasihatkan Pemuda Umno supaya bersikap rasional dalam melihat minat pengundi baru di kalangan masyarakat bukan Melayu.

“Dunia twitter, dunia Facebook, dunia blog serta lambakan maklumat yang mengelilingi anak muda tak kiralah Melayu atau bukan Melayu sekarang ini, bagaimana Pemuda Umno masih dengan ‘politik ancaman’ yang lama,” nasihat beliau.

Tuntas dari itu, beliau mengajak pengundi baru yang berminat dengan Pakatan Rakyat untuk menggunakan kuasa undi masing-masing pada PRU13 kelak.

“Tak cukup kalau minat saja, daftarlah mengundi dan sokonglah calon PAS dan Pakatan Rakyat guna kuasa mengundi masing-masing,” ujar beliau. -harakahdaily

Sabtu, 26 Jun 2010

Terbukti Najib seorang yang pembohong

Terbukti Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 membohongi keseluruhan rakyat negara ini termasuk penyokong-penyokong tegarnya yang bermatian mempertahankannya dalam isu kelulusan lesen judi sukan kepada Ascort Sport kepunyaan Vincent Tan.

Najib ketika menjawab pertanyaan Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat awal Jun lalu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan atau memberi lesen kepada Syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia seperti yang dihebohkan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma perlesenan dengan syarikat tersebut bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia.

“Kerajaan masih mendapatkan maklum balas atau pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia,” katanya.

Kenyataannya itu dijadikan hujah untuk penyokong-penyokong Umno menjawab kecaman dan kritikan golongan yang melancarkan penentangan terhadap pemberian lesen judi sukan ini termasuklah mereka yang bergelar lagenda bolasepak negara.

Tetapi dalam keghairahan Najib menyambut kemasukan 40 'ulama muda' yang sebahagian besarnya berkelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana dan PhD dari universiti dalam dan luar negara, beliau mengumumkan penarikan balik pemberian lesen judi sukan kepada syarikat yang berkenaan .

Persoalannya, mengapa perlu ditarik balik atau dibatalkan pemberian lesen tersebut jika ianya belum diluluskan?

Terbuktilah di sini bahawa Najib tidak bercakap benar atau dengan kata lainnya telah membohongi 27 juta rakyat Malaysia. Najib perlu bertanggungjawab terhadap apa yang dicetuskannya.

Rabu, 23 Jun 2010

Ayuh Cabar Kerajaan Dedahkan Bukti Penglibatan Mahasiswa dalam Gerakan Pengganas!

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan, semalam di Lobi Parlimen.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau seperti yang dilaporkan Harakahdaily.

Hari ini pula, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, tampil menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengaitkan mereka dengan Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI). Mereka berkata, dakwaan pelbagai pihak, terutama pembangkang, bahawa isu keselamatan negara yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan sebagai permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh. [berita lengkap di sini]

Sebagai seorang anak muda, saya berasakan isu ini sengaja diada-adakan bagi menutup atau mengalih pandangan rakyat kepada isu-isu besar yang lain. Soal judi sukan tidak terjawab, pelbagai skandal, pendedahan, GLC lingkup dan rugi, kes DS Anwar Ibrahim, keselamatan Negara dan lain-lain, kini timbul pula permasalahan yang lain.

Masih ingat lagi peristiwa 11 September 2001? CIA merancang, digembar-gemburkan perbuatan ‘pengganas’ Al-Qaeda, satu dunia kacau bilau, lalu Amerika Syarikat mengistiharkan perang membasmi keganasan. Kebanyakan pemimpin dunia termasuk di Malaysia sujud di kaki Amerika Syarikat, kononnya menyahut seruan membasmi keganasan. Maka, ditangkap beberapa individu, disumbat ke dalam ISA, kemudian disabitkan dengan kegiatan pengganas.

Sepertimana Amerika, Malaysia juga menggunakan operasi yang sama menyekat kebangkitan pejuang kebenaran. Pada ketika zaman reformasi yang tercetus pada tahun 1998 dan momentumnya berterusan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak ada cara lain selain dari menjadikan ancaman keganasan seperti ini bagi mengalih pandangan rakyat kepada isu yang sebenar, juga sebagai satu cara meneruskan legasi pemerintahan beliau. Amerika pula melancarkan ‘War on Terror’ bagi menghalalkan serangan ke atas Afghanistan dan kemudiannya Iraq. Walhal semua itu tercetus bagi menyelamatkan ‘adik angkat’ mereka di tanah Palestin. Siapa lagi kalau bukan Zionis Yahudi Laknatullah.

Berbalik semula kepada tuduhan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri. Apa yang dibangkitkan bukanlah perkara main-main, boleh dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. Jika ianya benar, benarlah. Jika ianya sengaja diada-adakan, maka celakalah.

Oleh yang demikian, sebagai seorang anak muda yang mempunyai autoriti di dalam Parlimen, saya menarik perhatian pembaca akan perkara-perkara ini :

1. Isu ini diolah dan dicipta oleh kerajaan bagi mencetuskan keadaan yang tegang di kalangan masyarakat, kerana mereka sedar sokongan rakyat kepada mereka semakin jauh dan berkurangan.

2. Jangan menghalang mahasiswa dari mengambil tahu berkaitan isu-isu semasa, menyatakan pendirian mereka dalam sebarang isu, turun ke jalan raya menentang kekejaman Zionis Yahudi (baik Zionis di Palestin, mahupun APCO di Malaysia), menjadikan mahsiswa ‘mandul’ ilmu pengetahuan isu lokal mahupun antarabangsa, terlibat dengan diskusi ilmu, menghadiri kuliah-kuliah agama dari mana-mana ustaz atau Ulamak atau sebarang bentuk bacaan Islamik. Mereka bakal mewarisi Negara, jangan cuba memomokkan mereka dengan perkara yang menjengkelkan.

3. “Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” – YB Salahudin. Persoalannya, mengapa pihak KPT sendiri mengakui tidak ada bukti yang kukuh mensabitkan mahasiswa di beberapa university tempatan terlibat dengan keganasan?

4. Hishammuddin dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini. – YB Mahfuz Omar. Persoalannya, jika ianya benar seperti apa yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri, kenapa ianya tidak disertakan sekali dengan bukti? Mengapa tiada pertuduhan di mahkamah? Adakah ianya sengaja ditimbulkan bagi menghalalkan ISA?

5. “Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” – YB Khalid Samad. Nah, inilah natijahnya. Malaysia menghasilkan produk pengganas. Lebih malang lagi, disabitkan pula dengan penglibatan mahasiwa.

6. Kenapa tidak diketengahkan masalah sebenar yang melanda university tempatan? Tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik di dunia? Gejala sosial yang melanda mahasiswa? Pelajar gagal menguasai subjek atau kursus yang diikuti? Bagaimana pula sikap kementerian berkaitan permasalahan ini?

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua mahasiswa yang bernaung di bawah persatuan-persatuan seperti GAMIS, PKPIM, GPMS, juga mahasiswa beraliran berbeza di university, baik Pro Mahasiswa, mahupun Pro Aspirasi, Majlis-majlis Perwakilan Pelajar di setiap Universiti serta para Mahasiswa yang lain agar MENCABAR Datuk Seri Hishamudin Hussein, Menteri Dalam Negeri, memberikan bukti yang kukuh penglibatan mahasiswa di universiti tempatan dalam keganasan.

Saya juga menyeru kepada semua ahli akademik, baik pensyarah sehinggalah ke peringkat yang tertinggi di dalam Universiti membela pelajar anda dengan menyatakan mereka tidak sama sekali terlibat dengan pengganas.

Ini penting bagi membersihkan nama Mahasiswa, juga nama universiti tempatan.


Mohd Firdaus Jaafar

RMK10 perlu selamatkan belia negara

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, RMK10 seharusnya memberi lebih penekanan kepada pembebasan remaja dari kepungan keruntuhan moral dan akhlak.

Menjelaskan perkara yang dibangkitkan dalam perbahasan RMK10 di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, kerajaan perlu memastikan belia negara ini hidup bersyariat bagi mengelak keruntuhan moral dan akhlak mereka.

"Kerajaan perlu ada garis panduan, selamatkan remaja-remaja kita daripada krisis yang dialami sekarang ini," katanya.

Kementerian yang berkaitan agama, katanya perlu bersama dengan kementerian lain seperti pendidikan, pengajian tinggi dan juga pertahanan melalui PLKN, untuk merancang garis panduan tersebut.

Beliau juga menggesa penubuhan Majlis Belia Negara yang melibatkan 12 kementerian dipercepatkan.

Selain itu, bagi menarik golongan muda ke masjid pula, beliau mencadangkan kouta imam muda ditambah.

"Saya cadangkan kouta imam muda di kalangan hafiz diwujudkan. Orang muda mampu menarik gologan remaja dan belia ke masjid," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mahu kerajaan meneliti semula keberkesanan kurikulum Kemahiran Asas Fardu Ain yang dilihat sukar membentuk generasi berakhlak tinggi pada waktu ini.

http://www.harakahdaily.net/

AL-FATIHAH UNTUK ALMARHUM DATO' FADZIL NOOR





Selasa, 22 Jun 2010

Choo Keong perbodoh diri sendiri

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong dilihat menyerlahkan kebodohan diri sendiri apabila mendakwa Pakatan Rakyat termasuk PAS, hipokrit berhubung bantahan isu lesen judi tetapi membenarkan penjualan arak.

Beliau memberi contoh Kelantan di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwanya membenarkan penjualan arak yang juga diharamkan oleh Islam.

Ahli Parlimen Baling, Taib Azzamuddin Mohd Taib ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Choo Keong sewajarnya membuat rujukan terlebih dahulu sebelum menyinggung mana-mana pihak dengan kenyataan dangkalnya.

Dalam pensyariatan hukum Islam, judi dan arak, katanya dua perkara berbeza.

Judi, jelasnya diharamkan oleh semua agama manakala arak tidak semua agama mengharamkannya.

Katanya, Kelantan menghadkan penjualan arak kepada bukan Islam di premis-premis tertentu sahaja dan bukannya secara terbuka.

"Kalau dia (Chee Keong) tak cakap, dia takut orang kata dia bodoh, bila dia cakap, jelas memang dia bodoh," katanya.

Dalam pada itu, Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berkata, contoh yang digunakan Choo Keong, salah dan langsung tidak tepat.

"Contoh yang digunakan itu salah, saya cadangkan dia belajar lagi dan kaji juga agama-agama lain," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Dr Mujahid Yusof (PAS-Parit Buntar) berkata, tindakan Choo Keong itu seolah-olah beliau lebih hebat dari ulama.

"Hanya 'agama' (fahaman) Umno sahaja Yang menghalalkan judi di dunia, (sedangkan) agama Islam haram judi, begitu juga Kristian, Hindu, Buddha dan pelbagai lagi agama budaya yang lain di Malaysia," kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar).

Menurut beliau, kelulusan lesen arak tersebut sebenarnya sekadar untuk tidak menafikan hak masyarakat bukan Islam dari meminum minuman keras itu.

"Arak ini macam babi lah, walaupun umat Islam diharamkan makan babi atau arak, kerajaan (Kelantan) tidak boleh menghalang penganut agama-agama lain dari makan dan minum kedua-duanya.

"Ianya kerana Islam agama yang adil (dan) keadilan Islam tidak boleh menghalang hak penganut agama lain, sebab arak ini kalau ikut fekah seperti harta mereka," ujarnya.

Disebabkan itu, sekiranya umat Islam terjebak dalam meminum arak, menurut beliau, mereka tetap akan dikenakan tindakan syarak.

Maka, katanya lagi, tidak salah sekiranya kerajaan menggunakan duit dari cukai judi untuk membangunkan prasarana di negeri Kelantan.

Ini kerana, beliau berkata, Sheikh Dr. Yusof Abdullah al-Qardhawi, Pengerusi Majmak Fiqh al-Islami al-'Alami (Ikatan Fiqh Islam Sedunia) pernah berfatwa bahawa kerajaan diharuskan menggunakan duit dari cukai arak untuk pembangunan prasarana awam daripada membakar duit cukai itu.

Ini kerana, beliau berkata, Dr. Yusuf berpendapat membakar duit hasil dari cukai arak tidak ubah seperti melakukan pembaziran yang nyata ditegah di sisi Islam juga.

Berbeza dengan isu judi, beliau berkata, semua agama mengakui bahawa aktiviti itu memunahkan keharmonian rumah tangga.

Sehubungan itu, beliau menganggap kenyataan Choo Keong mengelirukan Dewan Rakyat dan wajar dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Bercakap pada suatu kenyataan lain, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, dengan meluluskan lesen judi mencerminkan kerajaan tidak mempunyai aras tanda utama (KPI) tersendiri.

"Perdana Menteri ini dalam semua perkara ada KPI lah, NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) lah, tetapi dalam isu judi ini nampaknya Najib cukup bebas tidak kira sensitiviti agama dan bangsa kita," katanya.

Melihat pada tindak tanduk Najib, beliau menyeru rakyat supaya menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak demi menyelamatkan Malaysia dan rakyat daripada terus punah.

Sementara itu, Choo Keong ketika diterjah Harakahdaily semasa keluar dewan, enggan mengulas.

"Saya nak makan ubat," ujarnya.

Khamis, 17 Jun 2010

Ceramah di Bedong


Kenyataan Najib petanda PRU sudah dekat

KUALA LUMPUR, 17 Jun: PAS menganggap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung tarikh pilihan raya umum (PRU) yang didakwa "akan mengejutkan semua pihak" sebagai petanda PRU ke-13 akan berlaku dalam masa terdekat sebelum genap tempoh lima tahun penggal ini.

Mengulas kenyataan Najib itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar)berkata, kemungkinan PRU ke-13 akan berlaku serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak awal tahun hadapan.

"Ini petanda bahawa PRU ke-13 akan dibuat awal sebelum tempoh asal tamat.

"Saya jangka dibuat pada awal tahun 2011 bersekali dengan pilihan raya negeri Sarawak," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Ditanya asas kepada jangkaan itu beliau menjelaskan, Umno kini mengetahui angin perubahan sedang berlaku di Sarawak di mana rakyatnya kini mula beralih menyokong Pakatan Rakyat dan menolak Umno BN.

Jika Umno ditakdirkan kalah pada pilihan raya Sarawak katanya, sudah tentu akan memberi kesan besar kepada pengundi di Semenanjung dalam pilihan raya umum nanti.

Jelasnya, oleh kerana Sarawak adalah talian hayat Umno BN, maka mereka akan cuba menyekat penumpuan Pakatan Rakyat di Sarawak dengan mengumumkan pilihan raya serentak.

"Umno tahu Pakatan Rakyat mampu tumbangkan mereka di Sarawak pada pilihan raya negeri itu nanti berdasarkan keputusan pilihan raya kecil Sibu.

"Mereka akan berisiko jika mengadakan pilihan raya Sarawak berasingan dengan pilihan raya umum kerana Pakatan Rakyat akan tertumpu di Sarawak.

Berbeza jika kedua-dua pilihan raya diadakan serentak, maka katanya tumpuan Pakatan Rakyat akan dibahagikan ke seluruh kawasan di seluruh negara.

Najib semalam ketika diminta mengulas cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya beliau mengadakan pilihan raya berkata, tarikh PRU ke-13 yang akan diumumkannya akan mengejutkan semua pihak.

PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali pada Mei lalu juga, pernah mengemukakan jangkaan bahawa PRU ke-13 akan diadakan pada April 2011 berserentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Sementara itu, PAS akan melancarkan Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS) pada 20 Jun ini di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali ke arah persediaan menghadapi PRU ke-13.

Semua pemimpin utama PAS bermula dari Ahli Majlis Syura dan AJK PAS Pusat hinggalah Pengarah Majlis Tindakan Dun dan jentera pilihan raya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan berkumpul pada majlis itu yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

ILPAS ditubuhkan oleh Jabatan pilihan raya PAS Pusat untuk memberikan latihan pengendalian kempen pilihan raya kepada semua jentera pilihan rayanya.

Isnin, 14 Jun 2010

Ustaz Hassan Shukri dalam kenangan

Pemergian Ustaz Hassan Syukri mengejutkan ramai pihak khasnya di dalam PAS. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan negara. Berikut adalah tulisan yang pernah dibuat wartawan AZAMIN AMIN yang disiarkan oleh akhbar Siasah Oktober 2009.

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala lumpur, begitu sinonim dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal RM20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.

Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan
penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan 3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah.

“Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.

“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabatsahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu semasa.

“Malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS.

“Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.