Isnin, 14 Jun 2010

Anwar paling layak pemimpin utama Pakatan : Tg Nik Aziz

KOTA BHARU, 14 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin nombor satu Pakatan Rakyat kerana beliaulah paling layak dan sudah teruji.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," kata Nik Aziz kepada media selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di sini hari ini.

Nik Aziz juga berkata, Anwar juga telah lulus ujian dari segi moralnya apabila menghadapi segala cabaran dengan tabah dan penuh dedikasi.

Beliau ditanya apa komen beliau terhadap cadangan seorang perwakilan dalam muktamar PAS selepas kejayaan beliau memimpin PAS dan kerajaan negeri Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Sebelum ini, Datuk Zaid Ibrahim yang kini menyertai PKR mencadangkan agar Nik Aziz dilantik sebagai Pemimpin Spiritual (Spiritual Leader) Pakatan Rakyat.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Tiada ulasan: