Ahad, 14 Ogos 2011

Pemuda PAS: Gubal Akta Murtad, jadikan Jumaat cuti hujung minggu


KUALA LUMPUR, 14 Ogos ─ Di sebalik kontroversi berkaitan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja, Dewan Pemuda PAS pusat menggesa kerajaan pusat mengadakan satu akta yang khusus bagi menangani isu-isu berkaitan dengan murtad.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuaratnya semalam bagi mempertahankan akidah umat Islam, kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Selain itu Dewan Pemuda PAS juga mahu kerajaan menukar kembali cuti hujung minggu hari Ahad kepada Jumaat sebagai hari kebesaran umat Islam.

Kini hanya beberapa negeri menetapkan Jumaat sebagai cuti hujung minggu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Nasrudin (gambar) berkata, PAS pernah mengesyorkan Akta Murtad sebelum ini tetapi telah ditolak.

"Pada 25 Mac 1988, Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi malangnya ditolak. Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru (Hadi) sekali lagi tidak dibenarkan membentang rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.

"Demikian juga pada sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, YB Salahudin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad," kata Nasrudin lagi.

Katanya, Dewan Pemuda PAS telah mempunyai Front Bertindak Anti Murtad (Forkad) untuk menangani isu pencemaran akidah khasnya berkait dengan kes murtad.

"Insya-Allah Forkad akan terus berperanan khasnya operasi pembanterasan usaha memurtadkan umat Islam dan operasi pemulihan akidah bagi Muslim yang tercemar akidah dan keliru terhadap pegangan agamanya.

"Dewan Pemuda PAS bersedia memberi kerjasama dengan semua pihak untuk menjadi benteng mempertahankan akidah umat Islam. Komitmen ini selaras dengan dasar perjuangan PAS yang tidak pernah berubah," kata beliau sambil menambah, "kita sokong Jais yang bertindak untuk menyelamatkan akidah ummat Islam dan kita konsisten dalam perkara ini."

Namun katanya, Jais juga mestilah bermuhasabah dan jika jelas agensi itu tersalah langkah, mestilah memohon maaf kepada umat Islam atas tindakan mereka meroboh, merantai dan menutup rumah Allah seperti yang pernah berlaku ke atas Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Masjid Kampung Berembang di Ampang dan Masjid Fatimah az Zahra' Taman Kosas Ampang.

"Begitu juga mengenai tangkapan yang dilakukan ke atas penceramah-penceramah hanya kerana kesalahan tidak mempunyai tauliah sedang Jais boleh mengeluarkan tauliah kepada penceramah tersebut untuk membolehkan mereka berdakwah," katanya lagi.

Katanya, murtad di negara ini berlaku disebabkan beberapa punca, tetapi sama ada faktor itu kecil atau besar, ia perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak khasnya pihak berkuasa negara dan juga pihak berkuasa negeri.

Nasrudin juga berkata, Pemuda PAS mahu pihak berkuasa mengekang sebarang aktiviti yang melemahkan iman, akhlak dan pemikiran ummat Islam seperti hiburan keterlaluan, pergaulan bebas dan apa jua aktiviti maksiat dan mungkar.

Selain itu, Pemuda PAS juga mengusulkan agar Kementerian Pelajaran mewajibkan silibus pengajian agama sebagai silibus wajib ambil dan wajib lulus dalam semua jenis dan peringkat sijil peperiksaan.

Menurut Nasrudin, Pemuda PAS juga menggesa supaya agensi seperti Pusat Pungutan Zakat dan Baitulmal dapat membuat agihan adil dan tepat kepada golongan yang memerlukannya termasuk membantu menaikkan taraf kehidupan mereka.

Sayap PAS itu juga mencadangkan supaya agensi kerajaan membiayai atau mengeluarkan peruntukan untuk menghantar pendakwah Islam ke kawasan-kawasan perlu seperti pendalaman, perkampungan Orang Asli, Sabah dan Sarawak dan juga mendesak kerajaan menambah pegawai agama di semua sektor agar dakwah Islam dapat digerakkan secara sistematik.

Dalam kenyataannya, Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS juga tidak mahu berlakunya pelanggaran hak bukan Islam yang telah dipelihara seperti menafikan hak mereka melaksanakan aktiviti agama mereka dan melakukan pencerobohan terhadap hak-hak mereka.

"Umat Islam mestilah peka dan sensitif dengan sebarang bentuk aktiviti yang boleh merosakkan nilai akidah dan keperibadian mereka sebagai seorang Muslim.

"Serentak itu menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim mendalami agama Islam melalui sumbernya yang betul agar keyakinan atau pegangan agamanya tidak mudah tergugat dan tercemar," katanya lagi.

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemuda-pas-gubal-akta-murtad-jadikan-jumaat-cuti-hujung-minggu/

Tiada ulasan: