http://3.bp.blogspot.com/_flipuZb0buo/TFI8qrEYV3I/AAAAAAAAA68/rx6A5LBdy18/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Sabtu, 10 September 2011

Tak berhemah atau jalan bermasalah?

Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia (LaPAS) melahirkan rasa kesal dan bimbang ekoran peningkatan kadar kemalangan khususnya yang melibatkan kematian dalam Ops Sikap ke 24 yang berakhir pada 7 September 2011 yang lalu. Difahamkan Ops Sikap ke-24 adalah yang terburuk sejak Ops Sikap dilancarkan 11 tahun yang lalu. Ops Sikap ke-24 mencatatkan mencatatkan 259 kemalangan maut dengan 289 kematian. Keseluruhannya sebanyak 19,462 kemalangan dicatatkan dalam Ops Sikap Ke-24 iaitu meningkat 2,645 kes (15.7 peratus) berbanding sebelum ini.

Penunggang dan pembonceng motosikal adalah mangsa tertinggi dengan kadar kemalangan maut dan kematian berjumlah 178 kes (61.6 peratus) daripada 289 kematian yang direkodkan iaitu meningkat 35 kes (24.5 peratus). LaPAS mempersoalkan keberkesanan Ops Sikap kali ini gagal membendung kemalangan khususnya yang melibatkan kemalangan maut. Meskipun pelbagai usaha dan kempen dibuat, namun kadar kemalangan terus meningkat.

Faktor sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri apabila memandu dalam keadaan cuai, letih, tertidur, mengekori kenderaan lain terlalu rapat dan leka menjadi sebab utama kemalangan terus meningkat. Dalam hal ini, sesuatu tindakan drastik perlu dikenalpasti dan dilaksanakan agar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Antaranya LaPAS menyokong usaha penjenamaan semula Ops Sikap yang dilihat agak ketinggalan dan kurang berkesan.

Selain itu, antara tindakan yang berkesan adalah dengan melicinkan perjalanan trafik di jalan-jalan raya. Antara sebab pemandu letih adalah kerana kerana faktor kesesakan jalan raya yang membosankan dan meletihkan.

Dengan jumlah kenderaan yang banyak, dengan suasana yang panas dan tidak selesa sudah tentu pemandu menjadi hilang sabar, marah, tekanan perasaan, serta mengantuk. Kesannya pemandu memilih untuk menggunakan jalan alternatif walaupun ianya jauh dan merbahaya. Di musim perayaan seperti Aidilfitri ini pula, R&R sepanjang lebuhraya biasanya sesak dengan pengunjung. Ramai pemandu terpaksa meneruskan perjalanan dalam keadaan mengantuk kerana gagal untuk berhenti di R&R ekoran terlalu ramai orang. Justeru LaPAS mengharapkan kerajaan dan syarikat konsesi tol memperbanyakkan lagi R&R di lebuhraya bagi keselesaan pemandu. Selain itu, jalan di kawasan perbandaran juga perlu disediakan kawasan R&R bagi kemudahan pemandu. Pemandu biasanya tidak ada alternatif selain bersekang mata yang keletihan kerana tidak ada tempat persinggahan untuk rehat di jalan selain lebuhraya.

Selain itu, faktor jalan raya seperti seperti selekoh tajam, jalan berlubang, tidak rata, tidak jelas papan tanda serta ketiadaan lampu jalan antara sebab berlakunya kemalangan jalan raya. Jalan di kawasan kampung ketika waktu malam amat gelap dan berbahaya.

Keadaan ini lebih mengundang bahaya terutama di waktu hujan. LaPAS mengharapkan antara langkah keselamatan ialah mengadakan lampu jalan bagi menerangi jalan-jalan kawasan di luar bandar serta di kawasan selekoh berbahaya. Banyak lagi faktor dilihat sebagai punca kemalangan jalan raya dan banyak perkara boleh diperbaiki bagi mengatasi masalah ini. LaPAS percaya antara cadangan yang dikemukakan ini, jika dilaksanakan dengan segera mampu membendung kemalangan di jalan raya, Insyaallah.

Takziah kepada mereka yang terkorban di dalam kemalangan dan Al Fatihah LaPAS sedekahkan bagi mereka yang beragama Islam. Semoga Allah swt mengampuni dosa-dosa mereka dan meletakkan roh mereka dikalangan orang-orang beriman. Al Fatihah.

Mohd Firdaus Jaafar Penulis adalah pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar,
Dewan pemuda PAS Malaysia.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kemalangan waktu malam mungkin juga disebabkan faktor silau. Ada tiga sebab yang boleh menerbitkan kesilauan. 1. lampu putih, 2. lampu kenderaan 4x4 dan yang sekelas dengannya yang terlalu tinggi, 3. set lampu ganti yang dipasang, tidak dilaraskan mengikut ketinggian asal. Ketiga-tiga faktor ini adalah di bawah kuasa JPJ. Ini kepentingan awam, yang saya lihat seperti tidak pernah dikuatkuasakan. Tetapi JPJ hanya menguatkuasakan peraturan yang mengenai orang awam, seperti saiz plat nombor kenderaan, cermin gelap, dan lain-lain yang kena pada orang awam. Di lebuhraya, saya tidak pernah melihat bus penumpang yang dipandu ikut kelajuan. Kemana perginya pegawai yang menyamar? Itulah, kalau kena JPJ senang2 ditutub sebelah mata. Ada apa-apa ke? Warga emas pencen.