Rabu, 19 Oktober 2011

Apa rasional burukkan PAS di kursus imam, bilal

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mempersoal rasional kerajaan mewajibkan imam, bilal dan siak masjid di Kedah dan Pulau Pinang menyertai kursus berunsurkan politik khususnya memburuk-burukkan PAS.

Menurut Firdaus, beliau menerima maklumat daripada beberapa imam, bilal dan siak bahawa mereka diwajibkan hadir ke Kursus Pemantapan Nilai Islam di Institut Pembangunan Desa Infra, Bangi pada 10 hingga 13 Oktober yang lalu.

Namun katanya, mereka terpaksa mendengar ceramah brain wash memburuk-burukkan PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ditayangkan video perhimpunan Bersih 2.0, Jemaah Islam (JI) dan Al-Maunah.

"Saya meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagitahu siapa yang gunakan imam dan bilal untuk kepentingan politik," kata Firdaus ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat mempertikai perkara itu apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata bahawa elaun dan kursus adalah perkara berbeza.

Firdaus sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sebelum itu meminta Jamil menyatakan pihak mana yang terlibat menganjurkan kursus tersebut.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat menaikkan elaun siak masjid selari dengan kenaikan elaun imam dan bilal, baru-baru ini.

Jamil bagaimanapun tidak menjawab soalan Firdaus mengenai kursus tersebut sebaliknya berkata kerajaan pusat hanya bertanggungjawab terhadap elaun imam dan bilal manakala elaun siak tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri.

Ekoran jawapan itu, Firdaus membangkitkan mengenai kursus melibatkan ketiga-tiganya itu.

"Kalau menteri kata elaun imam dan bilal berbeza dengan elaun siak, kenapa libatkan siak dalam kursus ini?

"Saya ada bukti bergambar, rakaman mengenai apa yang diperkatakan dalam kursus ini," katanya.

Tambahnya, peserta kursus turut diberikan buku berjudul PAS bukan parti Islam.

Elaun bagi imam dan bilal ialah RM750 daripada Kerajaan Pusat dan RM50 daripada kerajaan negeri.

Manakala elaun bagi siak ialah RM290 yang dibayar kerajaan negeri.

Tiada ulasan: