https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Khamis, 23 Februari 2012

'Tarik balik logo 1Malaysia pada tiga barang kawalan'

MOHD-FIRDAUS

BUKIT BESAR - Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menarik balik penggunaan logo 1Malaysia pada tiga barang kawalan iaitu gula, tepung dan minyak masak yang dijangka akan berkuat kuasa pada Mac hadapan.

Mohd Firdaus berkata, beliau mendesak kementerian berkenaan menarik balik arahan yang dikeluarkan melalui satu kenyataan Timbalan Menterinya bahawa pengusaha tiga barangan kawalan itu diwajibkan memaparkan logo 1Malaysia pada pakej produk yang dijual mulai bulan ini, jika mereka mahu terus menikmati subsidi kerajaan.

Menurutnya, desakan itu dibuat kerana memikirkan tentang nasib pengilang tiga barangan terbabit yang terpaksa menanggung kerugian akibat arahan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa itu.

"Saya sudah menghubungi pengilang yang membekalkan bahan terbabit, mereka memberitahu pada saya, sebenarnya kalau nak (guna logo 1Malaysia) pada bulan Mac, kami (pengilang) kena membungkus pada Ogos (2011). Kalau nak bulan Mac kena beritahu (arahan kuat kuasa) pada Jun (2011).

"Pengilang nak cetak bungkusan plastik (untuk logo 1Malaysia pada paparan produk), tapi kalau nak (guna logo 1Malaysia) pada Mac, gula dijual untuk bulan Mac sudah ada dalam pasaran," katanya ketika ditemui di Pertandingan Memancing Sungai Sala, di sini.

Mohd Firdaus berkata, apabila tiga barangan berkenaan yang difahamkan oleh pengilang sudah berada di dalam pasaran untuk Mac ini iaitu sudah ada dalam stok pemborong, beliau bimbang sekiranya pemborong akan menghentikan edaran gula dalam pasaran kerana tidak memaparkan logo 1Malaysia.

Menurutnya, tiga barang kawalan itu berkemungkinan akan berkurangan ataupun tidak ada di dalam pasaran pada Mac ini kerana tidak memaparkan logo 1Malaysia. [Sinar Harian]

Tiada ulasan: