Isnin, 17 Januari 2011

Sistem Undi Proksi Bakal Merosakkan Sistem Pilihanraya Malaysia!

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah cadangan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mahu mewujudkan sistem undi proksi. Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sistem undi proksi ini dibuat bagi membolehkan seseorang pemilih diwakili oleh mana-mana individu yang layak pada hari pengundian.

DPPM merasakan cadangan SPR untuk mewujudkan undi proksi ini tidak wajar dilaksanakan. Ini kerana undi proksi mudah terdedah dengan pelbagai manipulasi dan penipuan. SPR tidak menjelaskan siapakah proksi yang layak dilantik bagi menggantikan pemilih yang tidak dapat hadir pada hari mengundi.



Meskipun sistem ini dilaksanakan dengan kawalan ketat, DPPM merasa sangsi bagaimana pengundi proksi mampu mengundi secara jujur bagi pihak pengundi sebenar. Mereka tidak merasakan sentimen bahawa hak mereka sebagai pengundi perlu ditunaikan dengan penuh amanah kerana mereka hanyalah wakil bagi pihak pengundi sebenar. Justeru mereka boleh mengundi calon lawan secara sesuka hati ataupun merosakkan undi pemilih sebenar yang tidak hadir.

Selain itu, sistem ini boleh mewujudkan rasuah pilihanraya di mana pengundi sebenar boleh diugut atau dipujuk agar memberikan hak mereka kepada proksi. Tidak ada siapa yang boleh memberikan jaminan bahawa pengundi sebenar menyerahkan hak mereka kepada proksi tanpa apa-apa pujukan, tawaran, mahupun ugutan. Jika undi proksi benar-benar diadakan, DPPM berpendapat tidak ada faedahnya diadakan kempen pilihanraya apabila pemilih sebenar tidak turun mengundi, sebaliknya diserahkan kepada pengundi proksi yang tidak tahu latar belakang parti politik mereka.

DPPM mengingatkan kepada SPR agar menjayakan proses pilihanraya yang sedia ada dengan secara lebih telus dan adil. Mencadangkan sistem yang baru dengan tidak memperbaiki sistem yang sedia ada tidak mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di Malaysia.

Pakatan Rakyat telah lama mendesak agar sistem celup jari digunapakai bagi mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali, membersihkan daftar pemilih, serta menghapuskan undi pos. Seharusnya SPR melihat dahulu kepada pelaksanaan sistem undi pos yang sangat dicurigai kerana berlaku ketempangan yang jelas dalam mana-mana pilihanraya.

DPPM juga menegaskan agar SPR tidak masuk campur dalam pertempuran politik antara Pakatan Rakyat dengan BN. Biarlah pilihanraya ke 13 akan datang berlangsung dengan suasana paling tenang dan aman. Janganlah kerana keadaan BN yang sedang nazak, SPR cuba untuk menyambung talian hayat mereka. Rakyat tidak akan sesekali boleh ditipu buat kesekian kalinya.


YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: