Rabu, 6 Januari 2010

Imiginasi Zahid dibuktikan Gani Patail

Sejak awal lagi Menteri Pertahan, Dato' Seri Zahid Hamidi sudah membayangkan kehilangan enjin dan perkakas jet yang bernilai melebihi RM100 juta itu adalah angkara anggota bawahan TUDM.

Nah, sekarang Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah membuktikan kebenaran imiginasi Zahid Hamidi itu dengan mengheret seorang laskar udara dan seorang sarjan udara bersama-sama seorang pengarah syarikat yang tidak dinyatakan dari syarikat mana ke mahkamah.

Laskar udara Mohamad Shukri Yusop didakwa mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 milik TUDM, manakala sarjan udara, N Tharmendran pula didakwa bersubahat dengan Mohamad Shukri. Pengarah syarikat, K Rajandran Prasad pula dituduh dengan sengaja menolong menghapuskan barang curi milik TUDM.
Jahat sungguh anggota-anggota bawahan TUDM ini, tak jujur dan tak beramanah langsung menjaga harta negara yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka. Tak cukupkah gaji yang dibayar oleh kerajaan setiap bulan sampai tergamak menjual harta negara yang boleh menjejaskan keselamatan negara?

Mungkin itulah persoalan yang diutarakan oleh rakyat sekiranya siasatan kes kehilangan enjin ini dilakukan oleh Suruhanjaya DiRaja yang bebas dari tangan-tangan ghaib yang sering mengganggu kerja-kerja siasatan ke atas kes berprofil tinggi.

Tetapi apa yang dibualkan rakyat selepas dikhabarkan status terkini kes enjin hilang berkisar tentang ketidak logikan senarai individu yang terlibat apabila diumumkan hanya di kalangan mereka yang berada di anak tangga terendah dalam carta organisasi TUDM.

Majoriti rakyat berkeyakinan individu-individu itu telah dikambing hitamkan hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu yang terlibat secara langsung dalam melenyapkan harta negara yang bernilai ratusan juta ringgit. Rata-rata rakyat percaya kalau enjin jet yang besar itu mampu dilenyapkan, tidak mustahil fakta dan bukti yang sekadar di dalam kertas itu juga boleh dihapuskan sebagai mana menghapuskan kotoran degil pada pakaian.

Tempoh siasatan yang lama iaitu hampir satu tahun setengah, menguatkan lagi kesangsian rakyat terhadap penemuan ajaib pihak penyiasatan yang telah sedia diragui itu. Berbagai-bagai muslihat yang boleh dilakukan dalam tempoh yang lama itu untuk menyelamatkan individu-individu besar dan berkuasa.

Inilah akibatnya apabila kerja-kerja penyiasatan kes-kes berprofil tinggi diserahkan kepada pihak yang telah hilang kredibilitinya. Sama seperti kes mata lebam DSAI, kes video Lingam, kes kematian Beng Hock, kes Altantuya dan macam-macam lagi yang jelas membuktikan badan penyiasat yang terikat dengan kerajaan tidak mampu menemui penamatnya.

Percayalah, sekiranya tugas ini diserahkan kepada Suruhanjaya DiRaja yang bebas dan diyakini sudah pasti akan ada percanggahan senarai individu terlibat dengan kes ini seperti mana yang berlaku pada kes-kes besar terdahulu yang mana penyudahannya melibatkan mereka yang berstatus tinggi.

1 ulasan:

Explore Digital berkata...

Assalamualaikum YB,
Saya rasa dah takdak benda yg 'bebas' dah di tanah air kita ni kecuali pada pesalahlaku... tgk kes Lingam pun cukup dah. Lepaih buat suruhanjaya, last-last, tertuduh yang bebas! Apa yang kita boleh buat, bukak mata rakyat tu luas-luas biaq depa tak pejam dah sampai ke next PRU. Wallahua'lam