Kelmarin Muhyiddin Yassin turun ke Hulu Selangor dalam rangka kerja yang kononnya atas platform beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran. Media tidak langsung menyebut kehadiran beliau sebagai Timbalan Presiden Umno atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional walaupun hakikatnya kehadiran beliau itu atas tujuan rasmi parti yang dinaunginya.
Hari ini pula, Najib Razak pula menjejakkan kakinya ke kawasan pilihanraya yang sama juga atas urusan partinya. Najib menghabiskan sehari suntuk bersama-sama peneroka-peneroka Felda, masyarakat orang asli, masyarakat cina dan india yang bermastautin dan menjadi pengundi di situ. Sudah tentulah lawatan kerjanya itu juga dikatakan sebagai lawatan kerja rasmi seorang Perdana Menteri Malaysia walaupun kehadirannya di situ sah-sah sebagai seorang Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional.
Apa tujuan sebenar kedua-dua pemimpin Umno turun ke kawasan Hulu Selangor dalam tempoh dua hari berturut-turut itu? Jawapannya sudah tentu untuk berkempen bagi memenangkan calon BN yang belum diputuskan lagi akibat percakaran parti-parti komponen BN yang makin parah dari hari ke hari.
Kebiasaannya, Pengerusi SPR akan berpesan semasa sidang media selepas membincangkan tarikh sesuatu pilihanraya samada kecil atau umum iaitu parti-parti atau calon-calon yang bertanding hanya dibenarkan berkempen selepas proses penamaan calon selesai, itu pun tertakluk kepada peraturan-peraturan pilihanraya yang telah ditetapkan oleh SPR dan pihak keselamatan iaitu Polis DiRaja Malaysia.
Beberapa hari lalu, Polis juga telah membuat kenyataan tidak akan mengeluarkan sebarang permit berkempen selagi proses penamaan calon PRK Hulu Selangor tidak selesai. Tidak dapat dipastikan permit macam manakah yang dimaksudkan oleh pihak keselamatan itu. Biasanya permit polis perlu dipohon sekiranya berhasrat untuk menganjurkan sesuatu program yang melibatkan perhimpunan orang ramai untuk tujuan ceramah atau tujuan-tujuan lain tanpa mengira waktu samada siang atau malam hari.
Dalam hal yang melibatkan Najib dan Muhyiddin tadi, secara terang-terangan kedua-dua pemimpin BN itu telah memukul gendang memulakan kempen mereka di Hulu Selangor walaupun proses penamaan calon PRK Hulu Selangor belum lagi berlangsung.
Berdasarkan kenyataan amaran kedua-dua pihak pengendali pilihanraya tadi, Najib dan Muhyiddin tidak seharusnya dibenarkan berkempen di situ walaupun kehadiran mereka atas platform PM atau TPM. Kehadiran mereka walaupun di siang hari memang sah-sah untuk berkempen dan inti pati ucapan mereka tersiar di media-media cetak dan elektronik seluruh negara.
Malangnya SPR dan Polis tidak pula nampak pelanggaran undang-undang yang berlaku selama dua hari berturut-turut itu. Atau, apakah siri-siri kempen BN di Hulu Selangor itu memperolehi kelulusan dan permit dari pihak keselamatan?
Kedua-dua pengendali pilihanraya, SPR dan Polis perlu bersikap adil dalam hal ini. Peraturan dan undang-undang yang ada bukan hanya untuk sebelah pihak sahaja. SPR dan Polis perlu menyiasat salah laku kedua-dua pemimpin tertinggi BN itu seperti siasatan yang sering dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.
SPRM juga perlu memantau kempen kedua-dua pemimpin tertinggi BN yang sering dikaitkan dengan rasuah pilihanraya. Media tanpa segan silu mendedahkan kedua-dua mereka memberikan rasuah pilihanraya ketika berkempen di Hulu Selangor di kedua-dua hari tersebut.
Muhyiddin dalam kempennya cuba merasuah pengundi di Kampung Sentosa dengan projek mengatasi masaah banjir yang sering melanda penduduk di situ. Manakala Najib pula dikesan cuba merasuah peneroka-peneroka Felda, masyarakat orang asli, masyarakat cina dan india dengan projek-projek segera yang menjadi amalan mereka sejak dulu, kini dan selamanya.
Perlu diingatkan bahawa SPR, PDRM dan SPRM adalah agensi-agensi kerajaan yang menerima gaji dari rakyat Malaysia. Oleh itu ketiga-tiganya diharapkan dapat bersifat sebagai sebuah jabatan kerajaan dan bukannya bersifat sebagai sayap-sayap BN. Janganlah ketegasan mereka hanya terhadap lawan BN sahaja.
1 ulasan:
Assalamu'alaikum, YB.
Maafkan saya kerana membuat ulasdan yang tidak ada kena mengena dengan tulisan ustaz di atas. Saya lebih berminat memperkatakan permasalahan di kawasan kita sendiri dari berbincang permasalahan besar, di kawasan orang pula.
Pernahkan ustaz melalui jalan dari Guar Chempedak ke Yan? Kalau pernah berbuat demikian tentu ustaz sempat melihat bagaimana peniaga-peniaga buah-buahan memetak barang mereka di hadapan bangunan koperasi.
Ruang pejalan kaki telah ditutup dengan buah-buahan mereka. Begitu juga dengan sebahagian jalanraya di situ. Hal ini menyulitkan para pengguna jalanraya ditambah lagi dengan pemandu-pemandu yang 'buta perut' meletak kenderaan mereka semasa mahu membeli buah.
Perkara ini menyumbang banyak masalah kepada orang ramai terutama pada waktu tengahari dan petang. Hal ini jugalah banyak menyumbang kepada masalah kesesakan di jalan Yan itu lebih-lebih lagi pada hari Rabu dan Sabtu.
Saya lihat telah setahun lebih perkara ini dibiarkan. Tiada siapa yang peduli. Pihak berwajib dari Majlis Daerah Yan sendiri tidak peduli. Pegaai Daerah tidak peduli. ADUN tidak peduli. Ahli Parlimen tidak peduli gara-gara mereka ini para pengundi. Pihak polis juga buat tidak kisah terhadap pemilik kenderaan yang degil.
Adakah pihak PBT tidak nampak atau buat tidak nampak? Adakah ada 'hadiah-hadiah' tertentu dari peniaga-peniaga ini menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa? Bukankah Pasar Tani yang lebih kurang 500 meter dari situ lengang sahaja? Kenapa tidak boleh gerai-gerai buah ini dipindahkan sahaja ke bangunan yang indah itu?
Permasalahan ini rasanya lebih penting dari memperkatakan hal-hal Hulu Selangor kepada orang-orang kampung seperti kami. Kepada siapa kami boleh meminta bantuan bagi mengatasi masalah seperti ini?
sekian. Terima kasih dan Salam!
Catat Ulasan