Kelmarin, Pakatan Rakyat telah selesai mengumumkan calon yang bakal menggalas cabarannya di pusingan ke-10 pilihan raya kecil selepas PRU12. Pengumumannya dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR) di suatu majlis yang turut dihadiri oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) dan Lim Kit Siang (Pengerusi DAP).
Pakatan Rakyat menamakan Dato' Zaid Ibrahim, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai calon tanpa perlu bertegang leher sesama sendiri walaupun ramai lagi yang disenarai pendek untuk menggalas cabaran di P94.
Berbeza dengan BN yang sedari awal lagi telah mencetuskan konfrantasi sesama komponen bagi memenangi hati presiden bagi membolehkan dinobat sebagai sebagai calon yang akan membawa cabaran parti usang itu di P94 nanti.
Pusingan awal menyaksikan pertarungan di antara Umno dan MIC. Umno menamakan Tan Sri Muhamad Taib, manakala MIC mempertaruhkan Dato' G. Palanivel untuk diadili oleh panel yang dianggotai oleh Dato' Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor. Berlaku pertarungan yang maha sengit dengan ugutan-ugutan dari kedua-dua belah pihak yang akhirnya dimenangi oleh MIC.
Umno Bahagian Hulu Selangor nampak seperti akur dengan keputusan itu, tetapi pada masa yang sama masih tidak mahu menurunkan banner menyokong Muhamad Taib yang dipasangnya di merata simpang di Hulu Selangor. Mungkin banner itu masih belum tamat tempoh kebenaran yang diperolehi dari pihak berkuasa tempatan di situ, sebab itulah ianya dibiarkan terpasang lagi.
Umno Bahagian Hulu Selangor seakan menerima kekalahannya di tangan MIC tetapi bukan dengan hati yang terbuka. Selepas kalah, mereka meletakkan syarat pula agar calon yang akan diputuskan nanti bukannya G. Palanivel tetapi V. Mugilal.
Tindakan mereka itu telah membangkitkan kemarahan kepimpinan MIC yang sebulat suara mahukan Timbalan Presiden MIC, G. Palanivel sebagai ayam tambatan mereka di P94 Hulu Selangor nanti. MIC dengan sekeras-kerasnya menolak calon pintu belakang yang cuba diketengahkan oleh Umno Bahagian Hulu Selangor.
Kemelut ini tidak akan berakhir walaupun selepas BN melalui Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan calonnya nanti. Bagi meredakan ketegangan dalam parti usang ini, lebih baik BN adakan proses pengundian untuk pilih calon terbaik yang akan mewakilinya dalam PRK P94 Hulu Selangor.
Untuk berlaku adil, BN boleh minta SPR kendalikan proses pilihan raya dalaman ini. Pada masa itu, barulah parti-parti komponen BN selain dari Umno akan kenal istilah pengundi hantu, akan faham maksud rasuah politik dan akan mengerti definasi pengundi pos. Sudah pasti mereka juga akan menuntut agar satu pilihan raya yang bersih diadakan seperti yang perjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
Siapa yang menang nanti boleh dinobatkan sebagai calon BN untuk menentang Dato' Zaid Ibrahim yang sedia menanti bagi mempertahankan kerusi P94 Hulu Selangor dan menjadikan aggregat 8 - 2 selepas pusingan ke-10 ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan