Ahad, 25 Oktober 2009

Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat bincang keperluan muktamar khas

KUALA LUMPUR, 25 Okt : PAS mengambil pendirian untuk membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang keperluan mengadakan muktamar khas "dalam tempoh terdekat ini."

Pendirian ini dinyatakan melalui satu kenyataan ringkas lima perenggan dikeluarkan Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Kenyataan itu memberitahu cadangan Mursyidul Am itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat.

PAS juga akan mendapatkan penjelasan daripada Mursyidul Am berhubung pandangannya tentang keperluan mengadakan muktamar khas.

"Sama ada muktamar khas luar biasa itu perlu diadakan atau tidak, kita perlu dengar dahulu penjelasan daripada Mursyidul Am," kata Idris ketika dihubungi Harakahdaily.

Idris juga menggesa pemimpin-pemimpin PAS agar tidak membincangkannya secara terbuka untuk mengelakkan isu ini dimanipulasi.

"Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti," tegas kenyataan itu lagi.

Nik Abdul Aziz dalam blog peribadinya menimbulkan cadangan untuk diadakan satu muktamar khas luar biasa bertujuan menolak beberapa orang pemimpin yang didakwa bermasalah.

Cadangan itu menerima respons pelbagai daripada banyak pihak termasuk pemimpin-pemimpin Umno peringkat pusat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali akan mengadakan sidang media khas esok bagi menjelaskan sikap PAS dalam menghadapi serangan dari Mursyidul Amnya ini.

Menurut satu kenyataan, sidang media itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut mulai jam 11 pagi esok.

Harakahdaily difahamkan, sidang media ini dibuat untuk menjelaskan sikap dan pendirian pimpinan utama PAS ekoran cadangan Nik Aziz agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula pimpinan parti Islam itu.

Ini adalah untuk kesekian kalinya Nik Aziz membuat kenyataan yang mempertikaikan kenyataan dan tindakan para pimpinan PAS. Ia dibuat dalam blognya 22 Oktober dan dipetik oleh kebanyakan media.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan PAS telah menemui Nik Aziz di Kota Bharu semalam untuk mendengar sendiri pandangan beliau mengenai perkara ini selepas tulisan beliau keluar dalam blognya.

Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden, Salahudin Ayub telah bertemu beliau semalam.

Dalam pada itu, seorang AJK PAS Pusat, Mujahid Yusof berpandangan, PAS perlu menyelesaikan isu ini secara berorganisasi.

"Ia tidak boleh diselesaikan secara bertemu, peluk-peluk dan buat kenyataan yang masalah sudah selesai sahaja. Ia mesti dibincangkan secara terbuka oleh organisasi utama parti dan selesaikannya dengan cara yang baik," katanya.

Beliau mencadangkan, Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura perlu bermesyuarat segera dan bincangkan isu ini secara terbuka dan telus.

"Selepas itu barulah kita boleh pertimbangkan, perlu atau tidak mesyuarat agung khas sebagaimana yang dicadangkan oleh Tok Guru itu," katanya.

Mujahid yang mempunyai ijzah PhD dalam pengurusan organisasi dan telah menjadikan PAS sebagai rujukan tesisnya berkata, isu ini tidak boleh dibiarkan.

"Organisasi yang perlu bertindak segera bukannya individu. Barulah kita akn dilihat terbuka dan bertanggungjawab," katanya.

Menurut beliau, PAS perlu mengambil teguran Nik Aziz ini sebagai satu yang serius dan perlu dilihat menyelesaikan segala teguran dengan terbuka dan profesional.

Beliau bersetuju bahawa persepsi umum khasnya di kalangan bukan Islam terhadap PAS kurang baik sejak kebelakangan ini berikutan isu di Selangor.

Kekalahan PAS di Bagan Pinang pula telah dianggap sebagai pengesahan kepada persepsi negatif itu.

Tiada ulasan: