Selasa, 20 Oktober 2009

PAS rancang cabar kemenangan Isa

PAS sedang mengumpulkan bukti untuk memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan PInang atas dakwaan berlaku penyelewengan undi pos.

Perkara itu sedang diuruskan oleh unit guaman parti tersebut yang dipengerusikan oleh Hanipa Maidin.

Ketua Dewan Pemuda parti itu, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai banyak pilihan bagi mengetengahkan dakwaaan berlakunya penyelewengan dalam kaedah pengundian pos di DUN tersebut.

Tambahnya, PAS telah melakukan pelbagai pendekatan berhubung perkara itu, termasuklah demonstrasi, laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Pencegaran Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tidak mendatangkan hasil.

"Unit guaman kita sedang kumpulan bukti yang kukuh. Kalau tidak ada bukti, tidak guna juga bawa ke mahkamah," katanya.

Selain itu, dakwaan penyelewengan itu akan turut dipanjangkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) esok.

Ia bertujuan mendesak Suhakam mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan berlaku penyelewengan undi pos dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Dalam pilihan raya DUN lalu, PAS membuat pelbagai desakan terhadap SPR berhubung prosedur dan pengendalian undi pos yang sering dicurigai pembangkang sebelum ini.

Bagaimanapun, calon BN Tan Sri Isa Samad tetap menang besar dengan jumlah 5,345 undi. Beliau yang mendapat 8,013 undi mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar dengan 2,578 undi.

Manakala bagi undi pos pula, BN mendapat 3,521 undi dan PAS mendapat 601 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai jumlah pengundi pos yang sangat ramai, 4,611 daripada keseluruhan 13,664 pengundi. Seramai 4,571 merupakan anggota tentera.

Tiada ulasan: