Ahad, 18 Oktober 2009

Pakatan Rakyat yakin pertahan kerajaan Kedah

ALOR SETAR, 18 Okt: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan bahawa Pakatan Rakyat(PR) tidak akan tergugat dengan pindaan perlembagaan Umno.

Menurut beliau lagi, Umno boleh bercakap apa sahaja yang mereka inginkan, tetapi PR akan tetap mempertahankan negeri ini daripada dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Hanya pilihan raya umum nanti kita dapat tahu jawapan yang sebenarnya siapa yang rakyat inginkan untuk menjadi kerajaan. PR tidak berasa tergugat dengan pindaan perlembagaan yang dibuat oleh Umno baru-baru ini. Itu adalah urusan rumah tangga mereka, kita tidak mahu mencampuri hal ini," katanya.

Azizan yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata jika Umno mahu merampas kerajaan negeri yang ada di negeri Kedah daripada PR dengan pelbagai cara mereka maka PR juga sudah pasti mempunyai strategi untuk mempertahankan negeri ini daripada jatuh ke tangan Umno dan BN.

Umno baru-baru ini telah mengadakan perhimpunan Agong khas parti tersebut bagi meminda perlembagaan parti.

Namun begitu tindakan tersebut dilihat sebagai satu usaha terdesak parti tersebut untuk meraih semula sokongan daripada rakyat yang mulai terhakis selepas berlakunya tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Mengikut pecahan kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah, BN mempunyai 14 kerusi manakala PR 21 kerusi dan Bebas 1 kerusi setelah Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Mohd Radzhi Salleh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisytiharkan diri beliau sebagai Adun Bebas.

Tiada ulasan: