Rabu, 14 Oktober 2009

Pemuda cabar Mohamad Hasan berdebat

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mencabar Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berdebat mengenai isu ruang manipulasi dalam pengurusan undi pos di Malaysia.

Cabaran ini dibuat oleh Ketua Penerangan DPPP, Suhaizan Kaiat melalui kenyataan medianya yang bertarikh 14 Oktober bagi menjawab kritikan Mohamad terhadap PAS yang disiarkan melalui Utusan Malaysia pada 13 Oktober lalu.

Menurut Suhaizan, PAS menerima kekalahannya di Bagan Pinang dan akur dengan keputusan tersebut, namun PAS tetap yakin sistem pengundian pos yang dimanipulasikan adalah penyumbang besar kekalahan parti itu.

Suhaizan mendakwa, PAS mempunyai asas kukuh untuk membuktikan wujudnya ruang penyelewengan dan bersedia menyenaraikan setiap kelemahan sistem yang mudah dimanipulasikan pihak tertentu dalam perlaksanaan pengundian pos.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya DPPP, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar ketika dihubungi mendakwa, keputusan undian pos bagi karung bernombor 14, 15 dan 16 membuktikan undian pos telah dimanipulasikan.

"Adalah suatu yang amat pelik tapi benar apabila calon PAS tidak langsung mendapat undi bagi karung-karung itu," ujarnya.

"Tapi inilah yang berlaku di Bagan Pinang, tidak mungkin PAS boleh menerima penipuan secara terang-terangan yang dilakukan lawan. Kenapa pula Hishamuddin secara tiba-tiba menasihatkan PAS agar tidak pertikai undi pos?" soalnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dilaporkan menasihati PAS agar tidak mempertikaikan proses pengundian pos kerana telah memperolehi 601 undi pos di Bagan
Pinang.

Calon BN memenangi kerusi Dun Bagan Pinang setelah menewaskan calon PAS dengan majoriti 5435 undi.

Tiada ulasan: