https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Khamis, 20 Ogos 2009

PRK N11 : Yusri buat penjelasan atas pentas PAS

Bekas rakan kongsi Rohaizat Othman - calon BN di pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir - akan menggunakan pentas ceramah pembangkang bagi membersihkan dirinya berhubung kes pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002.

Yusri Isahak berkata, beliau akan menemui kepimpinan PAS dan PKR untuk menggunakan pentas ceramah mereka bagi memberi penjelasan mengenai isu tersebut serta membersihkan dirinya.

Rohaizat kini berdepan dengan isu pembatalan lesen guamannya oleh Majlis Peguam berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Yusri berkata, tanpa berbuat demikian, beliau tidak ada ruang untuk membuat penjelasan mengenai perkara itu.

Beliau memanggil sidang akhbar tersebut bagi menjawab laporan Utusan Online yang memetik ketua penerangan Umno, Ahmad Maslan sebagai berkata Rohaizat hanya bertanggungjawab ke atas tindakan yang dilakukan rakan kongsinya.

Ahmad Maslan dilaporkan berkata, tindakan tatatertib ke atas Rohaizat berdasarkan aduan KPGNPP membabitkan pembelian satu hartanah yang dikendalikan firma Saif Ariff T Jayaraj & Rohaizat.

Ahmad juga dilaporkan berkata, semua urusan jual beli untuk pihak KPGNPP dikendalikan rakan kongsi Rohaizat - Yusri - dan diterima secara eksklusif dan dideposit ke dalam akuan klien firma tersebut di Bank Islam Cawangan Butterworth.

Menurut Ahmad lagi, akaun berkenaan termasuk semua surat berhubung KPGNPP ditandatangani dan diuruskan Yusri yang menjadi rakan kongsi beliau dari tahun 1999 hingga 2003.

Yusri juga turut membaca kenyataannya bagi membuat penjelasan bagi membersihkan dirinya daripada 'dikambinghitamkan' berhubung kes membabitkan pembelian hartanah oleh KPGNPP pada 2002.

Mengulas lanjut, Yusri berkata beliau akan menemui kepimpinan PAS dan PKR selepas itu untuk membincangkan perkara tersebut.

Menurut Yusri, beliau mula mengenali Rohaizat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sejak 1989 dan menjadi rakan kongsinya dalam firma guaman tersebut antara 1999 hingga 2003.

Menurutnya, beliau tidak lagi menjadi peguam dan kini menjalankan kontrak perladangan.

Bagaimanapun, Yusri menjelaskan bahawa lesen guamannya tidak dibatalkan tetapi beliau yang tidak memperbaharuinya sejak 2004.

Ditanya mengapa beliau tidak memperbaharui lesen guamannya, Yusri berkata tidak sesuai dengan profesyen tersebut.

Mengenai latarbelakangnya, Yusri berkata, beliau pernah aktif dalam Umno tetapi berhenti membayar yuran sejak 1998.

Ditanya mengenai laporan yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Rohaizat membuat Akuan Bersumpah (SD) bagi membersihkan namanya, Yusri berkata, perkara itu amat kecil dan semua orang boleh buat.

“Sebelulm ini, kita sumpah guna al-Quran. Hari ini, kita guna SD. Ini satu perkara kecil,” katanya.

Mengenai pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini, Yusri meminta para pengundi supaya membuat penilaian yang teliti sebelum memilih calon.

Tiada ulasan: