https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiMEHuSNpxSdenUl8erDe-o8w8cvdwxY_VaXtUKyK4_s_K8SXLxSahjccW08cCd2kPQ3H_DvOPtq-asARm7urBo5xypKUZJ5lYYbrITO_6kdD2C1WuGFUy8mseZYSf_DlTbSfCmiOEDqD6Y/s320/kedah%2520sejahtera%25202.png

Isnin, 24 Ogos 2009

Tindakan Radzhi untungkan Pakatan

KUALA LUMPUR, 24 Ogos : Pengisytiharan keluar PKR oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh tidak banyak memberi keuntungan kepada dirinya mahupun kepada BN.

Apatah lagi pengumuman dibuat selepas gagal memujuk ADUN pakatan lain bersamanya.

Dakwaan bahawa Umno mendapat talian hayat baru dengan pengisytiharan tersebut adalah meleset sama sekali apabila satu persatu pekong Radzhi mula didedahkan oleh mereka yang mengenali diri beliau khususnya dalam media internet.

Mengulas perkara itu Ketua Penerangan PKR, Lateefa Koya berpendapat, isu ini tidak banyak membantu Umno khususnya, jika dicanang kepada pengundi di Permatang Pasir.

�Saya tak fikir, dengan menggunakan Adun yang bermasalah ini, Umno BN boleh mendapat undi. Calon mereka sendiri (Rohaizat) pun bermasalah, itu memperbodoh pengundi namanya. Tapi ianya tidak pelik, sebab pada saya Umno memang tengah desprate (terdesak) sekarang,� ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Mohd Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dia juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Sepanjang bergelar wakil rakyat pula, dia dikatakan jarang berada dikawasan dan sering mengabaikan masyarakat di kawasannya.

Prestasinya yang lemah semasa menjawat jawatan dalam kerajaan negeri itu juga turut diadu masyarakat setempat sehingga beberapa amaran diberikan kerajaan negeri kepadanya agar meningkatkan prestasi kerja.

Hairannya, dalam keadaan gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga membawa dirinya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

Jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia yang disandangnya juga didakwa digunakan lebih kepada dirinya sendiri berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat.

Semasa menjawat jawatan itu, dia didakwa telah membeli harta, memiliki kilang dan kedai makan.

Ramai yang berpendapat, beberpa masalah termasuk masalah disiplin dengan kerajaan pakatan Kedah, masalah perkahwinannya di Thailand dan masalah berdepan siasatan SPRM berhubung tuntutan melampau telah menyebabkan dirinya dalam keadaan tersepit.

Ruang tersebut telah digunakan Umno bagi �memanfaatkan� Adun Lunas ini sebagaimana yang dilakukan terhadap dua Adun PKR di Perak sebelum ini.

Tindakannya meletakkan sebab �tidak percaya kepada pucuk pimpinan parti� untuk keluar PKR dilihat sebagai alasan semata-mata.

�Yang saya hairan kenapa SPRM yang sebelum ini kata akan siasat kes itu tetapi tiba-tiba kata tiada kes lepas dia (Radzhi) umum keluar PKR, semacam ada perundingan dan tawaran tertentu bagi menutup kes ini pula,� ujar Lateefa.

Seperti yang didedahkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media malam tadi, bahawa pihaknya telah lama mengesan wujud cubaan menggunakan Radzhi untuk menarik beberapa lagi Adun pakatan lain supaya menyertai BN tetapi gagal.

Beberapa bulan lalu katanya, dia mendapat aduan dari beberpa orang Adun mengatakan dipujuk oleh Radzhi supaya berpindah kepada Umno dan akan dibayar dengan jumlah yang tinggi.

Dengan rekod yang dimiliki Radzhi, ternyata Umno tidak mudah menggunakan bekas Adun PKR itu sebagai peluru kempen memburukkan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat khasnya PKR gambira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya.

Ianya juga sekaligus menguntungkan Pakatan dengan memberikan kredit yang besar kepada imej bersih calon PAS di Permatang Pasir, Ustaz Salleh Man yang dilihat calon terbaik untuk rakyat.

Semalam, Mohd Radzhi Salleh mengumumkan keluar PKR dalam satu sidang media mengejut di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau dilaporkan mengisytiharkan dirinya sebagai Adun bebas tetapi tidak akan melepaskan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini dijangka menghadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bagi memaklumkan permintaan PKR supaya Radzhi, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas, digugurkan daripada jawatan exco.

Kedah mempunyai lima Adun dari PKR dan tiga daripadanya termasuk Mohd Radzhi dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

PAS mempunyai 16 Adun dan tujuh daripadanya dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri. BN pula mempunyai 14 Adun, manakala DAP hanya mempunyai seorang Adun.

Dengan keputusan Radzhi, komposisi Adun dalam Dun Kedah adalah 21 Pakatan Rakyat, 14 BN dan satu bebas.

Tiada ulasan: