Rabu, 26 Ogos 2009

Sultan Kedah perkenan Adun Lunas digugurkan daripada jawatan Exco

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenankan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohd Radzhi Salleh, yang mengisytiharkan dirinya wakil bebas Ahad lepas, digugurkan daripada jawatan Exco berkuatkuasa semalam.

Titah perkenan Sultan Kedah itu juga diterima semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Mohd Radzhi melalui pembantu peribadinya kerana beliau tidak ada di pejabat, dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah diarahkan untuk memaklumkan bahawa jawatan Exco telah digugurkan mulai 25 Ogos," katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ahad lepas, Mohd Radzhi yang juga Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu serta mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

Pada 24 Ogos, Azizan menyembahkan surat kepada Sultan Kedah bagi memohon perkenan baginda supaya perkhidmatan Mohd Radzhi ditamatkan dan digantikan dengan orang lain.

Memperkenan permohonan tersebut, Sultan Kedah memperkenankan pelantikan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee untuk mengisi jawatan Exco yang kosong itu.

"Majlis angkat sumpah akan dilakukan minggu depan kerana ramai pegawai-pegawai masih berada di luar negara dan kita kena tengok masa Tuanku," katanya.

Azizan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri sama ada akan melakukan penambahan atau perubahan portfolio Exco berkenaan."Buat sementara, saya akan pegang portfolio itu (Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Manusia), sebelum majlis angkat sumpah.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata pemilihan Lim untuk menggantikan Mohd Radzhi dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan antara Menteri Besar dan Penasihat parti itu.

Pemilihan Lim juga dibuat dengan mengambil kira faktor geografi kedudukan Lunas yang terletak berhampiran dengan Kulim

Tiada ulasan: