Rabu, 4 Mei 2011

KENYATAAN MEDIA DPPP : TALIAN HAYAT UMNO KINI HANYA PADA PAS!

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
TALIAN HAYAT UMNO KINI HANYA PADA PAS!
(4 Mei 2011)

http://hazrul7.files.wordpress.com/2009/04/mohd-firdaus-jaafar.jpg

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan UMNO yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.

UMNO kini ibarat ‘orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja’ sedangkan mereka selama inilah yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan huduh dan menghinakan. Selama ini mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.

Perlu dingat bahawa selama puluhan tahun UMNO hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka. PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar. Bahkan hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR. Selain itu, hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihanraya umum dan kecil. Apakah dalam keadaan demikian, UMNO masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?

DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia. Bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah di ISA kan, dipenjara, bahkan dibunuh. Ini semua dilakukan oleh pemimpin UMNO yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu. Masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan UMNO terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS. Begitu juga nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.

Sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya UMNO lah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu. Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN. Bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik. Kemana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion. Ini semua berlaku kerana UMNO sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.

Tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang melayu kepada UMNO sudah semakin terhakis. PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang melayu.Lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang. Orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik ‘Machiavelli’ UMNO sehingga sanggup menengepikan syariat Islam. Dalam kes video lucah yang disebarkan hari ini, DPPP mencabar UMNO agar membawa kes ini ke Mahkamah Syariah dan sanggup menghadapi hukuman Qazaf sekiranya mereka terbukti benar.

Sebelum ini, bangsa Cina dan India juga sudah semakin hilang kepercayaan kepada UMNO-BN akibat kegagalan BN memerintah Malaysia dengan aman dan adil. Bangsa Cina dan India telah lama membuka mata melihat keabsahan pemerintahan BN yang rasuah, korupsi, kronisme serta bersifat perkauman. Sedangkan PAS bersama PR terus konsisten dengan memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira bangsa dan kaum serta mengembalikan hak-hak rakyat yang hilang selama ini.

DPPP juga melihat tindakan Presiden UMNO yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR. Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat UMNO yang semakin menghampiri penghujungnya. PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan UMNO sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13.

Disediakan oleh;

YB MOHD FIRDAUS JAAFAR
Pengarah Pilihanraya
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan: